Selamat Datang Diucapkan Kepada Semua Pengunjung Blog Ini Segala Komen Dan Saranan Teman Teman Amat Seri Hargai

Peribahasa Yang Bermula Dengan Huruf "P"

Peribahasa Yang Bermula Dengan Huruf "P"



1. Pacat hendak menjadi ular.
Maknanya: Orang miskin berlaku seperti orang kaya; mengharapkan yang bukan-bukan.

2. Pada sangka pohon beringin, kiranya tersandar di punggur lapuk.
Maknanya: Pada sangka beristeri (bersuami) orang kaya, kiranya beristeri (bersuami) orang miskin.

3. Padam menyala tarik puntung.
Maknanya: Di mana mati, di situlah ditanam.Maknanya:

4. Padang perahu di lautan, padang hati di fikiran.
Maknanya: Fikirkan masak-masak sebelum berbuat sesuatu.

5. Padi dikebat dengan daunnya.
Maknanya: Anak dikahwinkan dengan kemanakan.

6. Padi masak, jagung mengupih.(mengupih - sudah tua)
Maknanya: Keuntungan yang berlipat ganda.

7. Padi rebah, paksa tekukurlah.
Maknanya: Mendapat keuntungan tanpa berusah payah.

8. Pada sama tumbuh dengan siangan, adat sama tumbuh dengan sengketa.
Maknanya: Adat berdiri kerana ada sebabnya.

9. Padi sekepuk hampa, emas seperti loyang, kerbau sekandang jalang.
(kepuk - lumbung padi; jalang - liar)
Maknanya: Kelihatan kaya (pandai) sebenarnya miskin (bodoh); bernasib malang.

10. Padi selumbung dimakan orang banyak.
Maknanya: Fikiran isteri daripada seorang suami yang beristeri dua tiga.

11. Padi setangkai bernas semuanya.
Maknanya: Keluarga yang hidupnya beruntung dan berbahagia. bernas = berisi penuh.

12. Pagar makan padi (tanaman).
Maknanya: Orang yang kita percayai berkhianat kepada kita.

13. Pagi tidak dibuang, senja tidak dikejar.
Maknanya: Menggunakan waktu dengan sebaik-baiknya.

14. Pahamnya (fahamnya) bagai getah cair.
Maknanya: Pendirian yang tidak tetap.

15. Pahit dulu, manis kemudian.
Maknanya: Perjanjian hendaklah dibuat dengan syarat-syarat yang terang dan tegas; supaya jangan timbul perselisihan di kemudian hari.

16. Paksa tekukur padi rebah, paksa tikus lengkiang terbuka.
Maknanya: Mendapat keuntungan tanpa bersusah payah.

17. Paku sebatang, kuat bunyi tukulnya bertalu-talu.
Maknanya: Bercakap besar tetapi bukti kerja tidak ada.

18. Panas setahun dihapuskan oleh hujan sehari.
Maknanya: Kebaikan hilang kerana kejahatan yang sedikit.

19. Panas setahun hujan sehari, liput tanjung dengan pulau.(liput - genang)
Maknanya: Kebaikan hilang kerana kejahatan yang sedikit.

20. Panas tidak sampai ke petang.
Maknanya: Sesuatu yang baik tidak akan tetap selamanya.

21. Pancing makan umpan.
Maknanya: Orang yang kita percayai berkhianat kepada kita.

22. Pandai berminyak air.
Maknanya: Memuji-muji kerana ada sesuatu maksud; pandai berpura-pura; pandai menggunakan sesuatu yang sebenarnya kurang baik.

23. Pandai makan tak pandai simpan.
Maknanya: Tak pandai menyimpan rahsia.

24. Pandai mencuri terasa mendapat, tak pandai mendapat terasa mencuri.
Sesuatu yang diperoleh dengan kepintaran terasa usaha yang benar, dan sesuatu yang diperoleh dengan jalan menipu terasa didapat dengan curian.

25. Pandai mengambil otak di dalam kepala, tiada diketahui oleh tuan tubuh.
Maknanya: Pandai berkata-kata; arif bijaksana.

26. Pandai menyelam air dangkal.
Maknanya: Pandai membawa diri.

27. Pandai seperti pisau raut: bongkok orang dapat dibetulkan (dilepaskan), bongkok diri sendiri tinggal kekal.
Maknanya: Hanya pandai memperbaiki kesalahan orang lain, tetapi tak dapat memperbaiki kesalahan diri sendiri.

28. Pandang jauh dilayangkan, pandang dekat ditukikkan.
(tukik - arah ke bawah)
Maknanya: Menyelidiki sesuatu perkara dengan saksama.

29. Pandang-pandang orang dijadikan ganti tubuh; pertama tegak, kedua roboh.
Maknanya: Orang yang akan dijadikan wakil dalam sesuatu perkara hendaklah dipilih dengan saksama, kerana kalau orang itu baik dan setia, selamatlah, tetapi kalau orang itu jahat dan tidak jujur, binasalah.

30. Panjang langkah koyak pesak seluar, tinggi loncat tembuk ubun-ubun.
(pesak - secarik kain yang bentuknya sebagai baji yang ditambahkan pada selangkangan celana atau depan celana atau di bawah ketiak baju)
Maknanya: Melakukan sesuatu pekerjaan yang melebihi kesanggupan sendiri akhirnya akan mendatangkan kebinasaan.

31. Panjang langkah, singkat permintaan.
Maknanya: Telah sampai ajalnya.

32. Pangku tangan cerut perut.
Maknanya: Malas bekerja tak dapat makan.

33. Pantang elang dengan ayam, lambat-laun disambarnya juga.
Maknanya: Mudah menimbulkan sesuatu hal yang tak baik kalau diperdekatkan.

34. Pantang kutu dicukur, pantang manusia dihinakan.
Maknanya: Bercakap-cakap haruslah hemat dan cermat, jangan sampai melukai hati orang lain; tiap-tiap orang mempunyai harga diri.

35. Pantang patah di tengah.
Maknanya: Tidak mahu mundur sebelum maksud tercapai.

36. Pantang si tegang dibawa mengetul.
(si tegang - orang yang keras kepala; mengetul - melipatkan, seperti meringkuk waktu tidur)
Maknanya: Orang yang degil tidak mahu menurut nasihat orang.

37. Pantangan penghulu menyingsingkan lengan.
Maknanya: Orang yang berakal budi, tidak mudah terdorong oleh hawa nafsu.

38. Pantas seperti lipas.
Maknanya: Cepat bekerja.

39. Pantas seperti tangan beruk (monyet).
Maknanya: Kecepatan tangan seseorang yang merampas atau mencuri barang orang.

40. Pantasnya seperti kilat.
Maknanya: Cepat sekali.

41. Parak awak sajalah siangi.
Jagalah diri sendiri atau kaum keluarga saja, jangan dihiraukan hal orang lain.

42. Parang gabus menjadi parang besi.
Maknanya: Orang yang lemah menjadi orang yang kuat (berkuasa).

43. Pasang masuk muara.
Maknanya: Terlalu mudah mencela; mengeluarkan kata-kata tanpa pertimbangan.

44. Pasang pelita dilanggar tikus.
Maknanya: Kegembiraan hilang oleh kerana satu kejadian yang kecil.

45. Pasangan tiba di kodok.
(pasangan - kuk; kodok - tengkuk)
Maknanya: Perintah yang tak dapat dielakkan lagi.

46. Pasangan jerat sembilan mata, pelanduk terjerat terkial-kial, mata satu (pisau) penyudahnya.
Maknanya: Bergotong-royong mengerjakan sesuatu usaha yang berat tetapi yang mendapat faedahnya hanya seorang saja.

47. Pasar jalan kerana diturut, lancar kaji kerana diulang.
Maknanya: Kepandaian atau kemahiran didapat kerana selalu berlatih.

48. Patah batu hatinya.
Maknanya: Hilang sama sekali kemahuannya.

49. Patah dihubung, hilang diganti.
Maknanya: Terus berusaha dengan tiada putus harap.

50. Patah kandar (gandar) di tengah jalan.
Maknanya: Mendapat kemalangan dalam usaha; pekerjaan terhalang kerana kematian.

51. Patah kemudi dengan (e)bamnya.
(bam - kayu papan balok tumpuan kemudi)
Maknanya: Sudah tak ada harapan lagi.

52. Patah kemudi perahu hanyut.
Maknanya: Rakyat yang kehilangan pemimpin akan kucar-kacirlah jadinya.

53. Patah kepala bertongkat paruh, patah paruh bertelekan.
Maknanya: Terus berusaha dengan tiada putus harap.

54. Patah lidah alamat ('kan) kalah, patah keris alamat ('kan) mati.
Maknanya: Apabila alat-alat sudah tidak ada lagi maka alamat tidak selesailah pekerjaan itu.

55. Patah sayap bertongkat paruh.
Maknanya: Terus berusaha dengan tiada putus harap.

56. Patah tongkat berjermang (bertelekan).
(jermang - kayu pendek untuk menopang perahu)
Maknanya: Terus berusaha dengan tiada putus harap.

57. Patah tumbuh, hilang berganti.
Maknanya: Terus menerus ada gantinya.

58. Payah umpama memelihara diri dalam sarang lebah.
Maknanya: Menghadapi musuh yang banyak.

59. Pecah bunyi (tepi), buruk berita.(pecah tepi - pecah sedikit)
Maknanya: Kejadian yang tak baik, kemudian menjadi besar kerana diceritakan orang ke sana ke mari.

60. Pecah buyung, tempayan ada.
Maknanya: Hilang seorang, masih ada orang lain yang akan menggantinya.

61. Pecah kapi, putus suai.
(kapi - kerek, takal; suai - tali penarik, tali kapi)
Maknanya: Sesuatu yang tak dapat diperbaiki lagi; mencerita malu yang amat sangat.

62. Pecah menanti sebab, retak menanti belah.
Maknanya: Sesuatu yang sudah pasti akan berlaku.

63. Pecah periuk nasinya.
Maknanya: Hilang mata pencariannya.

64. Pecah tempayan, buyung ada.
Maknanya: Hilang seorang, masih ada orang lain yang akan menggantinya.

65. Pecah tempayan pekasam, muka berconteng arang.
Maknanya: Mendapat malu besar kerana kejahatan telah diketahui orang.

66. Pecak boleh dilayangkan, bulat boleh digulingkan.
Maknanya: Telah sepakat benar-benar.

67. Pejatian awak, kepantangan orang.(pejatian - kesukaan)
Maknanya: Kesukaan awak, kebencian orang.

68. Pejatian balam padi rebah.
Maknanya: Sesuatu yang sangat diinginkan.

69. Pekak pembakar meriam.
Maknanya: Sesuatu yang mendapat tempat yang sesuai.

70. Pelabur habis, Palembang tak alah.
(pelabur - rangsum, catu makanan atau wang)
Maknanya: Pekerjaan yang sia-sia.

71. Pelanduk di cerang rimba.
(cerang - tempat yang terang (sudah ditebang atau sedikit pohon-pohonnya) di dalam rimba)
Maknanya: Dalam ketakutan; sangat gelisah.

72. Pelanduk di dalam cerang.
Maknanya: Dalam ketakutan; sangat gelisah.

73. Pelanduk dua serupa.
Maknanya: Dua orang yang serupa benar.

74. Pelanduk melupakan jerat, tetapi jerat tidak melupakan pelanduk.
Maknanya: Bahaya yang sentiasa mengancam.

75. Pelanduk yang dekat ditinggalkan, rusa yang jauh yang dikejar.
Maknanya: Kerana mengharapkan keuntungan yang besar tetapi belum tentu diperoleh, keuntungan yang kecil tetapi sudah pasti, dilepaskan.

76. Pelepah bawah luruh, pelepah atas jangan gelak.
Maknanya: Hendaklah insaf bahawa sekalian yang hidup itu akan mati juga.

77. Pelesit dua sejinjang.
Maknanya: Perempuan yang menduakan suaminya.

78. Pelita kehabisan minyak.
Maknanya: Berwajah muram kerana kedukacitaan.

79. Peluru perak pemecah kubu yang kuat.
(peluru perak - wang ringgit)
Maknanya: Wang ringgit dapat memecahkan segala rahsia yang sulit-sulit.

80. Pembasuh tangan bidan.
Maknanya: Hadiah yang diberikan kepada seseorang yang telah menolong melepaskan sesuatu pekerjaan yang besar.

81.Penat tukang menempa, besi binasa senjata tak jadi.
Maknanya: Pekerjaan yang sia-sia.

82. Pencuri dalam selimut.
Maknanya: Musuh yang tiada diketahui.

83. Pendek dihubung, panjang dikerat.
Maknanya: Dapat menyesuaikan sesuatu perkara menurut kemahuan hati.

84. Pendekar elak jauh.
Maknanya: Orang yang amat berhati-hati.

85. Pendusta berdiri tiada berkaki.
Maknanya: Tiap-tiap yang dusta itu lambat laun akan terbuka juga rahsianya.

86. Pengayuh sama di tangan, perahu sama di air.
Maknanya: Tak usah takut-takut, kerana sama-sama mempunyai kekuatan dan alat syaratnya.

87. Pengayuh sayang dibasahkan, sampan takkan sampai ke seberang.
Maknanya: Tak akan tercapai maksudnya kalau tak mahu berusaha dan bersusah payah.

88. Penghisap candu gelap.
Maknanya: Lelaki yang berbuat jahat secara rahsia dengan perempuan, akhirnya akan ketahuan juga.

89. Penghulu disanjung dengan adatnya, orang alim disanjung dengan hajinya, orang muda disanjung dengan manjanya.
Maknanya: Memuji orang hendaklah dengan pujian yang wajar, mengambil hati orang hendaklah dengan perkara-perkara yang disukainya.

90. Penjahit hilang di tiga hari dengan kerbau.
Maknanya: Lebih banyak ongkos perkara daripada harga barang-barang yang diperkarakan.

91. Penuh sudah bagai menggantang.
Maknanya: Penuh benar-benar.

92. Penyapu diikat sutera.
Maknanya: Sesuatu yang tidak pada tempatnya.

93. Penyu bertelur beratus-ratus banyaknya, senyap; ayam bertelur sebutir saja hingar (riuh) sekampung.
Maknanya: Keuntungan yang diperoleh orang kaya sedikit pun tidak menjadi sebutan orang, tetapi keuntungan yang diperoleh orang miskin walaupun sedikit riuhlah orang memperkatakannya.

94. Penyu itu bertelur beribu-ribu, seorang pun tidak tahu; ayam bertelur sebiji, pecah khabar sekampung.
Maknanya: Keuntungan yang diperoleh orang kaya sedikit pun tidak menjadi sebutan orang, tetapi keuntungan yang diperoleh orang miskin walaupun sedikit riuhlah orang memperkatakannya.

95. Pepat di luar, pancung (rancung) di dalam.
(pancung - bersegi runcing)
Maknanya: Baik pada lahirnya, tetapi hatinya jahat.

96. Perahu bertambatan, dagang bertepatan.
Maknanya: Melakukan sesuatu hendaklah sesuai dengan tempatnya.

97. Perahu papan bermuat intan.
Maknanya: Sesuatu yang tidak pada tempatnya.

98. Perahu satu nakhoda dua.
Maknanya: Perempuan yang menduakan suaminya.

99. Perang bermalaikat, sabung berjuara.
Kita boleh berusaha tetapi Tuhan yang menentukan kalah menang.

100. Percakapan sejengkal dibawa sehasta.
Maknanya: Perkhabaran yang sedikit ditambah-tambah.

101. Percaya pada anak, buta mata sebelah; percaya pada orang lain buta mata keduanya.
Maknanya: Tiap-tiap suatu pekerjaan itu janganlah sangat diharapkan kepada orang lain mengerjakannya, kita sendiri jugalah yang mesti memeriksanya.

102. Perempuan melangkahi ular tiada lepas.
Maknanya: Perempuan itu selalu dalam bahaya kerana kelemahannya.

103. Perempuan serasan, lelaki pemalu.
(serasan - seperasaan)
Maknanya: Pegangan hidup yang tidak serupa.

104. Pergi berempap, pulang eban.
(berempap - berjudi dengan melemparkan wang ke atas; eban - heban (membanting dengan kedua belah tangan)
Maknanya: Tidak kalah dan tidak menang.

105. Pergi ke pulau batu digalas.
Maknanya: Sengaja mencari kesusahan.

106. Pergi ke telaga terlupa membawa timba, timba yang dicari dapat yang tiada bertali.
Maknanya: Jalan-jalan mendapat keuntungan ada, tetapi kerana lalai maka keuntungan itu hilang begitu saja.

107. Pergi lempeng balik lepat.
(lempeng - penganan yang tipis dan pipih)
Maknanya: Pergi dengan modal yang sedikit, balik dengan keuntungan yang banyak.

108. Pergi lepat balik lempeng.
Maknanya: Pergi dengan modal yang banyak, balik dengan kerugian.

109. Perigi mencari timba.
Maknanya: Perempuan yang mencari lelaki.

110. Periuk mengumpat belanga.
Maknanya: Orang yang memburukkan orang lain, sedangkan ia sendiri pun buruk juga.

111. Perkataan mengekor itik jantan.
Maknanya: Menyindir dan menyombongkan diri.

112. Permaisuri raja berurap-urapan, lipas di dinding timpa perasaan.
Maknanya: Orang miskin yang ingin menyamai perbuatan orang kaya-kaya. berurap-urapan = berlumas dengan bau-bauan.

113. Permata dibalas dengan senjata.
Maknanya: Kebaikan dibalas dengan kejahatan.

114. Permata lekat di pangkur.
Maknanya: Sesuatu yang tidak pada tempatnya.

115. Pertama hilang, kedua terbilang.
Maknanya: Berusaha dengan keazaman yang bersungguh-sungguh dan tidak takut menanggung risikonya.

116. Perut besar, entah anak entah tahi.
Maknanya: Saudagar yang besar perniagaannya, entah modal sendiri, ataupun modal pinjaman.

117. Perut buncit lama-kelamaan (= lama-lama) menjadi busung.
Maknanya: Alamat bahawa sesuatu perkara akan terjadi. busung = gembung atau bengkak besar kerana penyakit.

118. Perut kenyang lapar tak hilang, minum sejuk haus tak lepas.
Maknanya: Hidup dalam kemiskinan.

119. Perut kosong, dibuat gulai.
Maknanya: Keinginan timbul bila dalam kekurangan.

120. Perut panjang sejengkal.
Maknanya: Merasa tidak senang.

121. Perut kosong penggilap otak.
Maknanya: Lapar menyebabkan orang berfikir.

122. Perut tiada bertelinga.
Sia-sia memberi nasihat kepada orang yang lapar.

123. Pesan dituruti, berhunyikan, berserah berkehendak hati.
(berhunyi - berhuni)
Maknanya: Harap ada percaya tidak.

124. Pesan tak berturuti, petaruh tak berhunyikan.
Maknanya: Percaya dengan sepenuh hati.

125. Peti yang berisikan emas perak itu tiada dilelehkan orang.
(dilelehkan - dibocorkan)
Maknanya: Pengetahuan tidak mudah dihamburkan di mana-mana saja.

126. Pijak-pijat hendak menjadi kura-kura.
Maknanya: Orang kecil hendak menjadi orang besar.

127. Pijat-pijat telah menjadi kura-kura.
Maknanya: Orang bodoh dan hina telah menjadi cerdik dan mulia.

128. Pikir (fikir) itu pelita hati.
Maknanya: Fikiran suluh kebenaran.

129. Pilih-pilih ruas (tebu), terpilih pada buku (dilabu muda).
Maknanya: Kerana terlampau sangat menghendaki yang baik, akhirnya mendapat yang buruk.

130. Pilin telinga saring-saring.(saring - tidak longgar)
Maknanya: Fikirkan habis-habis sebelum berbuat sesuatu.

131. Pinang pulang ke tampuk.
Maknanya: Sudah pada tempatnya; sudah cocok benar.

132. Pinang tua merah ekor.
Maknanya: Perempuan yang sudah berumur, tetapi kelakuannya masih seperti gadis.

133. Pinggan dengan mangkuk, salah sedikit hendak terantuk.
Maknanya: Suami isteri, kaum keluarga, sahabat handai, ada kalanya berselisih juga.

134. Pinggang rampin bagai ketiding.
(ketiding - bakul besar tempat beras dan sebagainya)
Maknanya: Perempuan gemuk yang besar pinggangnya.

135. Pinjam kayu ara.
Maknanya: Meminjamkan wang kepada orang besar, akhirnya rugi percuma.

136. Pipih (pecak) boleh dilayangkan, bulat boleh digulingkan.
Maknanya: Telah sepakat benar-benar.

137. Pipit berperang dengan garuda.
Maknanya: Orang kecil melawan orang besar-besar.

138. Pipit bukan seekor, jagung bukan sebatang.
Maknanya: Menolak tuduhan tentang sesuatu kejahatan.

139. Pipit hendak jadi enggang.
Maknanya: Ingin melakukan sesuatu yang melebihi kesanggupan.

140. Pipit meminang anak enggang.
Maknanya: Orang hina (miskin) meminang anak orang mulia (kaya); sesuatu yang aneh.

141. Pipit itu, pipit jugalah lawannya.
Maknanya: Tiap-tiap sesuatu itu menurut tarafnya masing-masing.

142. Pipit pekak makan berhujan.
Maknanya: Sangat rajin.

143. Pipit tuli makan berhujan, tak ditahan (dihalau) padi habis, hendak (bila) dihalau kain basah.
Maknanya: Serba salah jika berurusan dengan orang yang degil: jika dibiarkan jadi rosak, jika ditegur tiada diikuti; serba salah di dalam sesuatu pekerjaan yang sulit, dikerjakan berbahaya, tak dikerjakan berbahaya.

144. Pipit yang makan padi, merbah terbawa rendong.
(terbawa rendong - terbawa-bawa)
Maknanya: Seorang mendapat kesenangan, orang lain menanggung akibatnya.

145. Pisang ditanam tak berjantung.
Maknanya: Usaha yang sia-sia.

146. Pisang mas di luar, onak di dalamnya.
Maknanya: Mulut manis yang berisi tipu muslihat.

147. Pisang masak separak.
Maknanya: Keluarga yang senang dan berbahagia hidupnya.

148. Pisang sesikat gulai sebelanga, tanda muafakat bersama-sama.
Maknanya: Suka bertolong-tolongan satu sama lain.

149. Pisau bongkok melukakan sarungnya.
Maknanya: Mengkhianati orang yang melindunginya.

150. Pisau tiada berbaja, makin dikilir bertambah tumpul.
(baja - besi keras; kilir - gosok, asah)
Maknanya: Orang yang tiada berilmu makin kaya makin sombong.

151. Pitis habis keinginan tiba.
(pitis - wang)
Maknanya: Keinginan datang bukan pada tempatnya.

152. Pitis sekupang genap hendak membeli kancah berkerawang, nuri pandai berkata.
(sekupang - sepuluh sen; kancah berkerawang - kawah berukir)
Maknanya: Keadaan yang serba salah; keinginan ada tetapi tenaga tidak kesampaian.

153. Pohon yang besar juga yang dinaiki sakat.
Maknanya: Orang yang kaya juga yang bertambah kekayaannya.

154. Potong hidung rosak muka.
Maknanya: Berbuat kurang baik terhadap kaum keluarga maka kita sendiri akan mendapat malu juga.

155. Pucat lesi bagai ayam kena lengit.
Maknanya: Orang yang lemah dan pusat.

156. Pucuk dicita ulam tiba.
Maknanya: Yang diperoleh lebih daripada yang dikehendaki.

157. Pucuk leban gading gajah, bekerja segan makan gagah.
(leban - sebangsa pohon)
Maknanya: Malas bekerja, tetapi banyak makan.

158. Pucuk layu disiram (ditimpa) hujan.
Maknanya: Setelah menderita barulah mendapat kesenangan.

159. Pukat terlabuh, ikan tak dapat.
Maknanya: Usaha yang sia-sia.

160. Pukul anak sindir menantu.
Maknanya: Mengata-ngatai orang, tetapi sebenarnya perkataannya itu ditujukan kepada orang lain.

161. Pukul anjing, tak pandang mata tuannya.
Maknanya: Orang yang terdesak hilang takutnya.

162. Pukul anjing tengok-tengok tuannya.
Maknanya: Berhati-hatilah dalam melakukan sesuatu pekerjaan ataupun ketika mengatakan sesuatu supaya badan selamat.

163. Pulai berpangkat naik, manusia berpangkat turun.
Maknanya: Manusia mati mestilah meninggalkan nama dan perbuatan yang baik.

164. Pulang ke kandang.
Maknanya: Pulang ke asal.

165. Punggung dipukul, gigi habis tanggal.
Maknanya: Lain yang disindir, lain yang merasa.

166. Punggung lading kalau diasah, lama-lama tajam juga.
Maknanya: Biar bodoh sekalipun kalau belajar dengan bersungguh-sungguh, nescaya akan menjadi pandai juga.

167. Punggur rebah, belatuk menumpang mati.
Maknanya: Apabila orang tempat berlindung jatuh miskin (kalah dan sebagainya), maka orang-orang yang berlindung atau anak buahnya pun akan mendapat bencana juga.

168. Puntung sekerat, penyiar rimba.(siar - bakar)
Maknanya: Orang yang banyak anaknya.

169. Pusat jala pumpunan ikan.(pumpunan - tempat berkumpul)
Maknanya: Menjadi tempat tumpuan atau menjadi pusat berbagai-bagai hal.

170. Putih dikejar, hitam tak dapat.
Maknanya: Yang diharapkan tak dapat, sedang apa yang telah ada, hilang.

171. Putih di luar, kuning di dalam.
Maknanya: Baik pada lahirnya, tetapi hatinya jahat.

172. Putih kapas boleh dilihat, putih hati berkeadaan.
Maknanya: Kejujuran seseorang hanya dapat dilihat pada tingkah laku atau perangainya saja.

173. Putih mata kerana memandang.
Maknanya: Menanggung rindu.

174. Putih mengandung awan, kelambaja mengandung hujan.
(kelambaja - awan hitam)
Maknanya: Sesuatu yang belum pasti.

175. Putih seperti kapas dibusar.
Maknanya: Putih bersih; amat putih.

176. Putih tulang dikandung tanah, budi yang baik dikenang juga.
Maknanya: Budi bahasa yang baik akan tetap dikenang orang, walaupun kita telah lama meninggal dunia.

177. Putik mendului bunga, buahnya mabuk dimakan.
Maknanya: Perempuan yang hamil sebelum nikah.

178. Putus benang boleh dihubung, putus arang bercerai lalu.
Maknanya: Persahabatan atau perkahwinan yang sudah putus sama sekali hingga tidak dapat diperbaiki lagi.

179. Putus gayung di belebas, putus kata di pangkalnya (di mulutnya).
(belebas - bilah daripada kayu dipakai sebagai perisai)
Maknanya: Putusan yang berdasarkan kepada pokok pembicaraan.

180. Putus kelikir, rampung hidung.
Maknanya: Perselisihan yang tidak dapat diperdamaikan lagi.

181.Putus tali boleh disambung, patah arang mudah (putus) sekali.
Maknanya: Persahabatan atau perkahwinan yang sudah putus sama sekali hingga tidak dapat diperbaiki lagi.

182. Putus tali keluan, putus keluan rampung hidung.
Maknanya: Perselisihan yang tidak dapat diperdamaikan lagi.

183. Putus tali tempat bergantung, terban tanah tempat berpijak.
Maknanya: Kehilangan orang tempat menumpang hidup kerana, sudah jauh berpisah atau sudah meninggal.

184. Putus timba tinggal tali, putus tali tinggal timba.
Maknanya: Perempuan yang kematian suaminya atau seseorang yang berpisah daripada sahabat yang diharapkan olehnya.


Peribahasa Yang Bermula Dengan Huruf "R"



1. Raga menanti pecah.
Maknanya: Perkara kecil yang akan menimbulkan bencana yang lebih besar.

2. Raja adil raja disembah, raja tak adil (zalim) raja disanggah.
Maknanya: Raja yang adil disayangi dan raja yang tak adil dilawan.

3. Rajin bekerja mudah belanja.
Maknanya: Orang yang rajin bekerja tentulah hidupnya senang.

4. Rambut bapanya sudah pindah ke kepalanya (sendiri).
Maknanya: Orang muda yang sudah pandai seperti orang tua-tua; orang muda yang tahu segala buruk dan baik.

5. Rambut sama hitam, hati masing-masing berlainan.
Maknanya: Tiap-tiap orang itu berlainan pendapatnya.

6. Rambut sudah dua macam (warnanya).
Maknanya: Orang yang sudah setengah umur.

7. Rambut sudah dua macam, lagi juga berbanyak ragam.
Maknanya: Orang tua atau setengah umur berkelakuan seperti orang muda-muda.

8. Ranap pertulang, ijuk penebal.
(ranap pertulang - ranap disangga; ijuk penebal - ijuk untuk penebal)
Maknanya: Pencarian tambahan selain daripada gaji.

9. Rantai besi dimakan bubuk.
Maknanya: Cerita yang tak masuk di akal.

10. Rantau jauh diulangi, rantau dekat dikendana.
Maknanya: Ketua yang selalu menjagai anak buahnya jauh dan dekat.

11. Rantau jauh tidak terulang, rantau dekat tidak terkendanai.
Maknanya: Terlalu tua sehingga tidak terturutkan lagi.

12. Rasa pedih cuping telinga.
Maknanya: Marah.

13. Rasa tak mengapa hidung dikeluani.
Maknanya: Orang yang membiarkan dirinya diperbodohi orang.

14. Rasa termengkelan di hati.
Maknanya: Merasa musykil.

15. Rasam air ke air, rasam minyak ke minyak.
Maknanya: Mencari atau kembali kepada golongannya masing-masing.

16. Rebung tak miang, bemban pula miang.
Maknanya: Orang yang bersangkutan berdiam diri, sedang orang luar ikut campur.

17. Rebung tidak jauh dari rumpun.
Maknanya: Tabiat anak tak akan jauh berbeza dengan orang tuanya.

18. Rebus tak empuk.
Maknanya: Tak mudah dikalahkan.

19. Rebut rampas bertanda-beti.(tanda-beti - tanda bukti)
Maknanya: Sekalian perkara baru boleh diputuskan sesudah cukup bukti dan keterangan.

20. Redup atau panas keras.
Maknanya: Untung-untungan.

21. Rembes dipalit, titik ditampung.
Maknanya: Biar sedikit sekalipun diterima juga.

22 . Rendah bilang-bilang disuruki (diseluduki), tinggi kayu ara dilangkahi.
(bilang-bilang - gelang, sejenis tumbuhan yang rendah)
Maknanya: Berbuat sesuatu atau menghadapi seseorang hendaklah menurut peraturan yang lazim.

23. Rendah dianjung tinggi, kecil diambak besar.
Maknanya: Kebesaran seseorang itu kerana dimuliakan dan dibesarkan oleh anak buahnya.

24. Rendah gunung tinggi harapan.
Maknanya: Harapan yang sangat besar.

25. Rendam tak basah.
Maknanya: Tak mudah dikalahkan.

26. Rentak sedegam, langkah sepijak.
Maknanya: Seia-sekata; semuafakat. degam = bunyi gemuruh.

27. Retak batu.
Maknanya: Perselisihan yang tak dapat didamaikan lagi.

28. Retak menanti (mencari, tanda akan) belah (pecah).
Maknanya: Sesuatu yang sudah pasti akan berlaku.

29. Retak melampaui tara (garis).
Perbuatan yang sudah melampaui batas.

30. Retak pertujuh.
Maknanya: Hati yang sangat rindu.

31. Retak-retak bulu ayam.
Maknanya: Perselisihan yang mudah didapatkan.

32. Rezeki elang tak akan dapat dimakan oleh musang (burung pipit).
Maknanya: Rezeki seseorang tidak akan dapat direbut oleh yang lain.

33. Rindu akan jadi batasnya, maka manis tidak jadi cuka.
Maknanya: Pergaulan yang terlalu mesra, kerap kali berakhir dengan dendam kesumat.

34. Ringan mulut berat punggung.
Maknanya: Malas meninggalkan tempat duduk.

35. Ringan sama menjinjing, berat sama memikul.
Maknanya: Baik buruk sama-sama dipikul; bekerja gotong-royong.

36. Ringan tulang berat perut.
Maknanya: Yang rajin bekerja banyak mendapat rezeki.

37. Riuh gigil seperti Cina kayuh.
Maknanya: Bercakap yang tidak ketentuan buah tuturnya.

38. Riuh seperti Cina karam.
Maknanya: Bercakap yang tidak ketentuan buah tuturnya.

39. Roda yang berpaling, kuda sudah digerindin.
Maknanya: Lahirnya saja kelihatan senang tetapi yang sebenarnya sangat melarat.

40. Rongkongan menghadap hilir.
Maknanya: Sukar mendapat rezeki.

41. Rongkongan menghadap mudik.
Maknanya: Mudah mendapat rezeki.

42. Rosak anak oleh menantu.
Maknanya: Mendapat kerugian kerana perbuatan orang kepercayaannya atau orang yang dikasihinya.

43. Rosak bawang ditimpa jambak.
Maknanya: Menjadi celaka kerana perbuatan (kawan, kaum dan sebagainya) sendiri.

44. Rosak tapai kerana ragi.
Maknanya: Pekerjaan gagal kerana kurang hati-hati waktu melakukannya. ragi = bahan atau zat untuk membuat tapai.

45. Rugi menentang laba, jerih menentang boleh.
Suka menolong kerana ingin mendapat pertolongan pula; berani bersusah payah tentu akan mendapat keuntungan.

46. Rumah buruk disapu cat.
Maknanya: Perempuan tua yang suka bersolek.

47. Rumah gedang bersendi perak.
Maknanya: Bangsawan lagi kaya.

48. Rumah gedang ketirisan.(ketirisan - kebocoran)
Maknanya: Perempuan yang tidak membawa bahagia kepada suaminya.

49. Rumah (tempat kediaman) mana yang tidak bersampah.
Maknanya: Tak ada sesuatu yang tak ada cacatnya.

50. Rumah sudah tukang berbunuh (dibunuh).
Maknanya: Hukuman yang tak dapat dibanding (apel) lagi.

51. Rumah sudah tukul (pahat) berbunyi.
Maknanya: Mengemukakan keterangan dan saksi sesudah perkara diputuskan; mencela (bersungut) tentang sesuatu yang sudah siap dikerjakan.

52. Rumah terbakar tikus habis lari (keluar).
Maknanya: Apabila terjadi sesuatu kesusahan di dalam negeri, maka isi negeri itu pun mengungsi ke tempat lain.

53. Rumah tinggal sarang hantu, orang bujang sarang fitnah.
Maknanya: Orang yang tinggal sendirian senantiasa menjadi tumpuan percakapan.

54. Rumput mencari kuda.
Maknanya: Perempuan yang mencari lelaki.

55. Runcing tanduk bangkah kening.
(bangkah kening - dahinya berbelang, tanda jahat)
Maknanya: Sudah terkenal jahatnya.

56. Runcing telunjuk memalit sambal lada.
Maknanya: Hidup miskin dan melarat.

57. Rupa harimau hati tikus.
Maknanya: Rupa saja yang hebat dan garang, tetapi pengecut.

58. Rusa di hutan, kancah sudah dijerang.
Maknanya: Sudah bersiap sedia untuk mengecap hasil yang belum lagi diperoleh.

59. Rusa dijumpai tiada dikejar.
Maknanya: Mendapat keuntungan dengan tidak bersusah payah.

60. Rusa ditembak, kijang yang kena.
Maknanya: Lain yang dituju lain pula yang didapat.

3 Pandangan:

Dana Telco Mei 15, 2009  

Wah, banyak juga ternyata.

Tanpa Nama,  April 05, 2010  

saya tdk suka

Tanpa Nama,  September 21, 2010  

ringan tulang berat perut

Teman Setia

This Blog Is Proudly Sponsored By SURF7 Template Modified By Seri Bahasa Proud To Be A Kinabatangan Blogger