Selamat Datang Diucapkan Kepada Semua Pengunjung Blog Ini Segala Komen Dan Saranan Teman Teman Amat Seri Hargai

Kurik Kundi Merah Saga (Agama)

Kategori Agama




Ada berempat sahabat nabi,
Ada seorang jadi khalifah;
Abu Bakar, Omar, Usman, dan Ali,
Saidina Ali suami Fatimah.

Akar keramat akar bertuah,
Akar bertepuk di gua batu;
Nabi Muhammad cintakan Allah,
Di mana tuan masa itu?

Al-Hassani wal Hussain,
Wahai cucu Rasulullah;
Wafat Hassan tinggal Hussain, Hassan/Hussain
Wafat perang sabillullah.

Ambil galah jolok limau,
Limau jatuh atas paku;
Ditakdir Allah ditangkap harimau,
Kalau hidup tak boleh kat aku.

Ambil galah kupaskan jantung,
Orang Arab bergoreng kicap;
Kepada Allah tempat bergantung,
Kepada nabi tempat mengucap.

Anak ayam turun dua,
Satu mati tinggal satu;
Minta ampun segala dosa,
Hendak menyebut Tuhan yang satu.

Anak ayam turun empat,
Mati seekor tinggalnya tiga;
Supaya hamba membaca sifat,
Lekas juga jalan ke syurga.

Anak ayam turun empat,
Satu mati tinggal tiga;
Minta tulis dalam makrifat,
Minta masuk dalam syurga.

Anak ayam turun enam,
Satu mati tinggal lima;
Minta doa tetapkan iman,
Minta mati dalam agama.

Anak ayam turun lima,
Satu mati tinggal empat;
Minta mati dalam agama,
Biarlah tulis jalan makrifat.

Anak ayam turun satu,
Satu mati sambar helang;
Minta ampun Tuhan yang satu,
Minta mati dalam Islam.

Anak ayam turun sembilan,
Mati seekor tinggalnya lapan;
Akan bekalan hari kemudian,
Di dalam kubur berdinding papan.

Anak ayam turun sepuluh,
Mati seekor tinggal sembilan;
Kutuntut ilmu bersungguh-sungguh,
Akan buat bekalan hari kemudian.

Anak ayam turun tiga,
Satu mati tinggal dua;
Minta masuk dalam syurga,
Minta habis segala dosa.

Anak ayam turun tujuh,
Satu mati tinggal enam;
Minta jauh neraka tujuh,
Minta doa tetapkan iman.

Anak ayam turunnya enam,
Mati seekor tinggalnya lima;
Dijilat oleh neraka jahanam,
Budi Tuhan sudah diterima.

Anak ayam turunnya lapan,
Mati seekor tinggalnya tujuh;
Di dalam kubur berdinding papan,
Hancur luluh seluruh tubuh.

Anak ayam turunnya lima,
Mati seekor tinggalnya empat;
Budi Tuhannya sudah diterima,
Supaya hambanya membaca sifat.

Anak ayam turunnya tiga,
Mati seekor tinggalnya dua;
Supaya tahu jalan ke syurga,
Hilai-hilai dimakbulkan doa.

Anak ayam turunnya tujuh,
Mati seekor tinggalnya enam;
Hancur luluh seluruh tubuh,
Dijilat oleh neraka jahanam.

Anak labi makan mengecap,
Beri makan kelopak jantung;
Pada nabi saya mengucap,
Pada Tuhan saya bergantung.

Anak Cina menganyam tikar,
Bawa mari ke pasar lama;
Kalau tuan ajaknya tukar,
Mintalah doa selama-lama.

Angin bertiup lautan bergelombang,
Di tengah lautan kapal berlabuh;
Diharap keluarga tak usahlah bimbang,
Doakan sakit segera sembuh.

Apa guna berkaki dua,
Kalau tidak berjalan lagi;
Apa guna kita bersua,
Kalau tidak bersembahyang lagi.

Asal buah asam gelugur,
Tiga dengan asam bali;
Menangis diri di pintu kubur,
Dunia tak boleh balik dua kali.

Asalnya kandis buah gelugur,
Masak sebiji di pintu pagar;
Duduk menangis di pintu kubur,
Terkenang di dunia tidak belajar.

Asam cuka si ramania,
Pancukan baginda Ali;
Suka-suka di dalam dunia,
Qadak hidup dua kali.

Asam kandis asam gelugur,
Dua urat asam belimbing;
Menangis mayat dalam kubur,
Melihat papan menjadi dinding.

Asam kandis asam gelugur,
Kena dengan asam rumbia;
Tuan menangis di pintu kubur,
Rasa nak balik ke dunia.

Asam kandis asam gelugur,
Ketiga dengan asam rumbia;
Hati menangis di pintu kubur,
Kerana nak balik dalam dunia.

Asam rumbia dibelah-belah,
Buah separah dalam raga;
Dunia ikut firman Allah,
Akhirat juga mendapat syurga.

Ayuhai yudin papan yudin,
Rapat papan Seri Jawa;
Cik Malim terapat dinding,
Terapat badan serta nyawa.

Banyak benar ikan di laut,
Dualah ekor di tapak dulang;
Banyak benar malaikat maut,
Di dalam kubur rasa nak pulang.

Banyak bulan antara bulan,
Tidak sama bulan puasa;
Banyak Tuhan antara Tuhan,
Tidak sama Tuhan Yang Esa.

Banyaklah banyak gelang di pasir,
Minyak penawar di dalam cangkir;
Anak siapa berjanji mungkir,
Anak Islam menjadi kafir.

Belah buluh bersegi-segi,
Buat mari serampang ikan;
Kuasa Allah berbagai-bagai,
Lebih laut dari daratan.

Belahnya belum bunyinya malam,
Bunyi di darat rumah penghulu;
Allah belum menjadikan alam,
Barang bersurat dari dahulu.

Bentang tikar bentang cukin,
Bentang mari pagi hari;
Bila tersiram air talkin,
Umat baru sedarkan diri.

Berbunyi mawas serta bangsi,
Raja Janjuma dari seberang;
Syurga terbuka saya tangisi,
Hendak menumpang ilmu pun kurang.

Berburu tidak mengejar pun tidak,
Hendak masuk ke dalam hutan;
Berguru tidak belajar pun tidak,
Sesat tak tahu cara Islam.

Berdentum guruh di atas papan,
Kilatnya sampai di atas bahu;
Tujuh syurga di dalam badan,
Tolong huraikan satu persatu.

Betapa lebat bunga remia,
Lebat lagi bunga pegaga;
Betapa hebat pakaian dunia,
Hebat lagi pakaian syurga.

Bila-bila Mak Milah mandi,
Petang hari jalan ke kubur;
Bila-bila kami nak mati,
Hendak masuk pintu kubur.

Buah ini buah berangan,
Masak dibungkus sapu tangan;
Dunia ini dunia pinjaman,
Akhirat kelak kampung halaman.

Buah jambu dimakan kera,
Dipetik Rukiah lari ke hutan;
Ilmu itu bertiang tiga,
Dialah cahaya penyuluh jalan.

Budak-budak baik mengaji,
Dapat mengaji sangat terpuji;
Cari nafkah dapat naik haji,
Boleh menziarah makam nabi.

Budak-budak baik mengaji,
Lagi alim lagi terpuji;
Cukup bekal naik haji,
Supaya dapat syafaat nabi.

Bunga cina di dalam taman,
Sayang keduduk bercabang dua;
Dunia ini pinjam-pinjaman,
Nak tumpang duduk sehari dua.

Bunga kesum tebing tinggi,
Nampak dari Kuala Segamat;
Singgah terlangsung saya ke mari,
Minta doa biar selamat.

Bunga melur berjinjang-jinjang,
Bunga mawar dalam raga;
Minta doa umur panjang,
Lambat laun bertemu juga.

Burung belatuk jambul merah,
Sepakat dengan rajawali;
Minta ampun kepada Allah,
Minta syafaat kepada nabi.

Burung kedidi burung kelicap,
Makan nisan kelopak jantung;
Suruh Nabi bawa mengucap,
Pada Allah tempat bergantung.

Cari galah kayu di hutan,
Singgah menetak cendana gaharu;
Minta doa mudah-mudahan,
Boleh rezeki datang selalu.

Cik Pandan pergi ke seberang,
Membeli tauhu dengannya ikan;
Kalaupun tidak dikenang orang,
Tuhan mengetahui iakah bukan.

Cik Salleh membeli pari,
Campur seekor ikan tenggiri;
Toleh kanan kiri berdiri,
Soal kubur datang mencari.

Dari Acheh pergi ke Madinah,
Sehari semalam tengah laut;
Nangis adik Siti Fatimah,
Dengar suara Nabi Daud.

Dari hulu turun ke pekan,
Sampannya rosak di tengah hari;
Kalau selalu ingatkan Tuhan,
Apa dipinta pasti diberi.

Dari teluk pergi ke pekan,
Singgah bermalam di Batu Lima;
Sekalian makhluk Tuhan jadikan,
Kaya miskin dipandang sama.

Dayang mengurai semalam mandi,
Tupai terjatuh tengah halaman;
Perangai iblis jangan hampiri,
Kerana iblis menggugur iman.

Delima batu dipenggal-penggal,
Bawa galah ke tanah merah;
Lima waktu kalau ditinggal,
Allah taala memang marah.

Dewa-dewa melihat sakti,
Diam dalam gua batu;
Jangan encik susah hati,
Susah ada Tuhan membantu.

Disimpan gula dengan sirih,
Datang ia dari tanah;
Sudah ada Nabi Idris,
Ada pula Nabi Noh.

Dua puluh enam jerat kutahan,
Kena seekor rusa jantan;
Sudah patut terima balasan,
Kerana kita derhaka Tuhan.

Dua puluh lima nabi terbilang,
Nabi Muhammad rasul pilihan;
Mati dahulu atau kemudian,
Itu semua kerja Tuhan.

Dua puluh tujuh bilangan bulan,
Tujuh likur bulan puasa;
Sudah patut dibalas Tuhan,
Kerana kita orang derhaka.

Encik Akop menggali kolam,
Delima batu dipenggal-penggal;
Kalau dah sanggup jadi Islam,
Lima waktu jangan ditinggal.

Encik Ali membawa galah,
Sampai kuala menjala ikan;
Bukit tinggi dijadi Allah,
Lautan dalam siapa galikan?

Encik Esah pergi Merlong,
Sampai Merlong masak petola;
Orang susah wajib ditolong,
Baru kita dapat pahala.

Gendang Cik Samat gembala angsa,
Telur angsa sarang setalam;
Umat Muhammad punya bangga,
Embun menitis serata alam.

Gesek biola nama Cik Mamat,
Mari digesek Tanjung Jati;
Doa saya biar selamat,
Ada umur bertemu lagi.

Gunung Medan Hutan Aji,
Padang Mawa bendang berlumpur;
Kalau dah anak mengaji,
Bolehlah berdoa di atas kubur.

Hai berkayuh ke Sungai Panjang,
Di sana urusan berhari-hari;
Minta doa umur panjang,
Kalau berjumpa terkenang lagi.

Halia ini halia tanaman,
Tempat hiris bintang berlenguh;
Dunia ini dunia pinjaman,
Akhirat juga tempat yang sungguh.

Halia ini tanam-tanaman,
Di darat jua tumbuhnya;
Dunia ini pinjam-pinjaman,
Akhirat jua akan sungguhnya.

Halia ini tanam-tanaman,
Ke barat juga akan condongnya;
Dunia ini pinjam-pinjaman,
Akhirat juga akan sudahnya.

Hari ini hari Ahad,
Besok hari Isnin;
Mudah-mudahan nabi mengaku umat,
Barulah masuk kaum muslimin.

Hari ini hari Arba¦,
Besok hari Khamis;
Segala ingat segala qada¦,
Malaikat Katibin sedia menulis.

Hari ini hari Isnin,
Besok hari Selasa;
Jika masuk kaum muslimin,
Mudah-mudahan terlepas seksa.

Hari ini hari Jumaat,
Besok hari Sabtu;
Jika nak kenal Nabi Muhammad,
Pergilah sembahyang lima waktu.

Hari ini hari Sabtu,
Besok hari Ahad;
Pergi sembahyang lima waktu,
Baharu nabi mengaku umat.

Hari ini hari Selasa,
Hari besok hari Arba¦;
Mudah-mudahan terlepas seksa,
Segeralah membayar segala qada¦.

Hendak berjalan jambatan panjang,
Orang bertukang jambatan roboh;
Adik berdoa umur panjang,
Selagi hayat kita berjodoh.

Jelutung batang jelutuk,
Batang jelutuk dibelah-belah;
Mana pula tak boleh colek telunjuk,
Telunjuk diberi oleh Allah.

Kain baldu dibuat tilam,
Dara berdandan pengantin baru;
Rosak madu kerana jadam,
Rosak iman kerana nafsu.

Kain pelikat di dalam peti,
Satu Jumaat sekali buka;
Sudah terikat dalam hati,
Satu rakaat tidak lupa.

Kalau ada gajah berjuang,
Jemurlah beras di atas para;
Kalau ada Allah menolong,
Siang malam barat utara.

Kalau ada kepuk di ladang,
Boleh juga tumpang mandi;
Diberi Allah umur panjang,
Boleh kita jumpa lagi.

Kalau menebang kayu jati,
Papan di Jawa mari dibelah;
Bukan boleh sekehendak hati,
Semuanya di bawah perintah Allah.

Kalau perahu puan tenggelam,
Anak buaya pandai berenang;
Kalau dah tahu cara Islam,
Bolehlah abang tolong ajarkan.

Kalau tuan mandi di hulu,
Hanyutkan saya tempurung dasar;
Kalau tuan mati dahulu,
Tunggu saya di padang Mahsyar.

Kalau tuan memetik rambai,
Rambai ada di hujung dahan;
Sungguh berpantun kita beramai,
Berserah kita kepada Tuhan.

Kapal layar bertiang tiga,
Tiang keempat batang galah;
Ikhtiar ilmu bahagian kita,
Hasil pendapatan di tangan Allah.

Katak betung berbunyi malam,
Tala-menala bunyi dahulu;
Tuhan belum menjadikan alam,
Kita sudah berjanji dahulu.

Kayu pagar berikat tali,
Diikat-ikat bawa ke tanjung;
Kalau benar berkali-kali,
Akhirat jangan tanggung-menanggung.

Kelapa muda muda juga,
Kelapa tua dibuat inti;
Suka suka juga,
Sembahyang kita jangan dihenti.

Kirim surat orang seberang,
Surat ini bunga perada;
Saya pesan pada abang,
Amal ibadat jangan dilupa.

Landak makan buah salak,
Kumat lumat dengan bijinya;
Api neraka kalau tak galak,
Umat belum takut dirinya.

Langit biru apa tongkatnya?
Bunga cempaka kembang biru;
Hidup dunia apa hakikatnya?
Pintu neraka sedia menunggu.

Layang-layang terbang melayang,
Marilah hinggap di hujung ranting;
Siapa bilang kamek tak sembahyang,
Di dalam tidur membawa sembahyang.

Layang-layang terbang melayang,
Turun ke tanah memakan padi;
Kalau ada kita sembahyang,
Padang Mahsyar kita berhenti.

Luputlah siang malam berganti,
Cahaya terang gelap menjadi;
Tidak disangka sekali-kali,
Kesemuanya adalah kehendak Ilahi.

Makan kugaul hanya sedikit,
Air berkocak di dalam talam;
Badan berpeluh mataku sakit,
Angkat mengucap di tengah malam.

Makan sirih ujung-ujungan,
Makan sekapur sambil berludah;
Saya di sini untung-untungan,
Hidup bersyukur di tangan Allah.

Malam ini malam Ahad,
Malam besok malam Isnin;
Inilah jalan-jalan makrifat,
Tuntutlah ilmu sampai berkenan.

Malam ini malam Arba¦,
Malam besok malam Khamis;
Kepada Allah minta doa,
Di hari akhirat tidak menangis.

Malam ini malam Isnin,
Malam besok malam Selasa;
Tuntutlah ilmu sampai berkenan,
Lepaslah kamu dari seksa.

Malam ini malam Jumaat,
Malam esok malam Sabtu;
Hendak jumpa Nabi Muhammad,
Hendak menghadap Tuhan yang satu.

Malam ini malam Jumaat,
Pasang lilin depan pintu;
Kalaulah kita umat Muhammad,
Kena sembahyang lima waktu.

Orang musafir datang memanah,
Memanah ia di Sengam Padang;
Datang Jibrail mengambil tanah,
Diambil ia tanah segenggam

Malam ini malam Khamis,
Malam besok malam Jumaat;
Di hari akhirat tidak menangis,
Hendak jumpa Nabi Muhammad.

Malam ini malam Sabtu,
Malam besok malam Ahad;
Rupa yang tujuh menjadi satu,
Inilah jalan jalan makrifat.

Malam ini malam Selasa,
Malam besok malam Arba¦;
Lepas kamu dari seksa,
Di hari kiamat minta doa.

Mali-mali hujung pangkalnya,
Asam kandis asam gelugur;
Kembalilah dagang asalnya,
Duduk menangis pintu kubur.

Memukul itik di tepi kota,
Mari dikayuh sampan pengail;
Imam khatib lagi berdosa,
Bertambah lagi kita yang jahil.

Nyiur manis baru gugur,
Dibawa nyonya keluar pagar;
Jasad menangis di pintu kubur,
Menyesal di dunia tidak belajar.

Orang berniaga semalam-malaman,
Apa jualan pulut berinti;
Hidup di dunia buat amalan,
Untuk bekalan akhirat nanti.

Orang bersalam di dalam perahu,
Makan ubi dengan kurma;
Orang Islam hendaklah tahu,
Bilangan nabi dua puluh lima.

Orang Deli balik ke Deli,
Bawa duit beribu dinar;
Allah di langit menjadi saksi,
Saya berdiri tempat yang benar.

Orang menjamu bulan terang,
Hari Ahad tanah seberang;
Tuntut ilmu jangan kurang,
Ke liang lahad tergolek seorang.

Pagi-pagi kapal berlabuh,
Singgah di Bentan membeli kopi;
Bangun pagi sembahyang Subuh,
Minta Tuhan tambahkan rezeki.

Panggang simbubu tak bertulang,
Entahkan pandan meluruti;
Emak di kubur takkan pulang,
Entahkan badan menuruti.

Panglima raja mudik bergalah,
Ditiup angin selatan daya;
Laut darat dijadikan Allah,
Asam manis semua serupa.

Pergi Makkah lalu Madinah,
Singgah bermalam tengah laut;
Dengarlah ratap Siti Fatimah,
Dengarlah suara Nabi Allah Daud.

Pukul rebab pukul rebana,
Pukul lesung rumah Encik Ali;
Apa sebab apa kerana,
Minta tolong syariat nabi.

Raja di Jawa raja sakti,
Menghadap sultan berganti-ganti;
Doa saja umur tak mati,
Dukun dan bidan ada menanti.

Raja Sulung Indera Shah Johan,
Gagah berani lagi perkasa;
Kalau ada pertolongan Tuhan,
Mana boleh rosak binasa.

Rumput tinggi tepi hutan,
Bintang timur tinggi melambung;
Minta rezeki besar lautan,
Minta umur tinggi gunung.

Sayang galah hujungnya tirus,
Hendak mengait sarang merpati;
Demi Allah sumpah putus,
Sudah berjanji wajib tepati.

Sayang kepayang tumbuh di batu,
Buluh hutan dibelah-belah;
Kasih dan sayang boleh ditentu,
Jodoh pertemuan di tangan Allah.

Sayang selasih samaselasih,
Kalau tinggi ambil galah;
Sungguhpun jadi bertemu kasih,
Jodoh pertemuan di tangan Allah.

Serindit terbang rendah,
Terbang mari menyongsong angin;
Siapa tauhid kepada Allah,
Masuk syurga jannatunnaim.

Sirih gagang tumbuh di batu,
Buluh hutan buatkan galah;
Kasih sayang tak boleh tentu,
Jodoh pertemuan di tangan Allah.

Sungai Bintangor airlah merah,
Tempat orang mencuci gigi;
Kalau sungguh dipanjang Allah,
Boleh kita berjumpa lagi.

Sungai Tompok airnya dalam,
Sungguh dalam bercampur pasir;
Orang Tompok banyak Islam,
Sungguh Islam bercampur kafir.

Tak ada damar pasang lilin,
Buat terang waktu malam;
Bukannya pandai bukannya alim,
Tetapi tahu cara Islam.

Tebang tebu banyak-banyak,
Mari bawa dalam raga;
Tuntut ilmu biar banyak,
Nak menutup pintu neraka.

Terang bulan muka diukir,
Minyak penawar di dalam cangkir;
Anak siapa berjanji mungkir,
Anak Islam menjadi kafir.

Tetak tebu buatkan dayung,
Hendak berdayung tanah besar;
Tuntut ilmu buatkan payung,
Hendak berpayung di Padang Mahsyar.

Tetak tebu kilas ke dayung,
Nak berdayung Laut Melaka;
Tuntutlah ilmu buatkan payung,
Nak menghindar api neraka.

Tetaklah akar akar merah,
Semut meniti di dalam talam;
Badan berpeluh mataku merah,
Angkat mengucap di tengah malam.

Tidak tumbuh tidak melata,
Patah galah dalam padi;
Tidak sungguh kehendak kita,
Perintah Allah juga yang jadi.

Tinggi sungguh Gunung Tahan,
Di Tanah Melayu gunung yang tinggi;
Berdoa kita ke hadrat Tuhan,
Panjang umur berjumpa lagi.

Tuan haji berbaju jubah,
Turun ke padang menembak rusa;
Tuan mengaji memuji Allah,
Tuan sembahyang mengampun dosa.

Tuan Haji memakai jubah,
Turun ke padang memburu rusa;
Orang mengaji memuji Allah,
Orang sembahyang mengampun dosa.

Tudung saji pasak ke timah,
Buat penudung buah Melaka;
Naik haji Makkah - Madinah,
Nak buang segala dosa.

Tumbuk beras jadikan tepung,
Buat mari kuih kelepong;
Ribut sampai taufan pun kepung,
Doa yang mana boleh tolong?

Tupai mengusik bunga durian,
Durian berbuah di depan rumah;
Tidak menyesal hari kemudian,
Supaya badan tidak punah.

Turun ke sawah memikul bajak,
Hendak menyemai bunting padi;
Sudah terpijak bumi Allah,
Di situ tempat berakhir janji.

Yang berlari sangat pantas,
Yang menang sangat bertuah;
Yang memberi tangan di atas,
Yang menerima tangan di bawah
.


Dipetik Dari Buku Kurik Kundi Merah Saga Terbitan Dewan Bahasa Dan Pustaka

3 Pandangan:

rayban wayfarer Julai 12, 2010  

tq admin...
banyak manfaat diperolehi

Wasbir Santosa Januari 06, 2017  


Nice artikel and I like your writing because it's help ini to make happy and success. Paket umroh desember 2016

promo paket umroh
Biaya Paket Umroh
Promo Umroh Desember
Promo Umroh November
Promo umroh plus Turki
Travel umroh


by : Wasbir21

Teman Setia

This Blog Is Proudly Sponsored By SURF7 Template Modified By Seri Bahasa Proud To Be A Kinabatangan Blogger