Selamat Datang Diucapkan Kepada Semua Pengunjung Blog Ini Segala Komen Dan Saranan Teman Teman Amat Seri Hargai

Kurik Kundi Merah Saga (Jenaka)

Kategori Jenaka



Aku suka berumah tinggi,
Pelantar besar sudah roboh;
Aku suka beranak tiri,
Anak besar senang disuruh.

Aku tak suka berumah tinggi,
Tiang bertakuk bendul bertarah;
Aku tak suka beranak tiri,
Anak dikatuk emaknya marah.

Ambil parang cuba dikerat,
Ekornya pendek putus sekerat;
Harimau garang dapat dijerat,
Mulut ternganga dihurung lalat.

Ambil parang pergi menebas,
Dahannya jatuh merata-rata;
Dulu hamba mergastua bebas,
Sekarang dijerat si molek jelita.

Anak Batak pandai menari,
Anak Rama pandai melata;
Kalau masak angkat ke mari,
Sama-sama kita merasa.

Anak Cina masak itik,
Masak mari sampai luluh;
Memang tak guna berbini cantik,
Hari-hari sahaja bergaduh.

Anak dara pandai bergaya,
Kain sempit berbelah dada;
Jalannya lembut berlenggang sahaja,
Rajin bersolek malas bekerja.

Anak ikan anak angsa,
Anak kala makan api;
Patuk tedung abang tak bisa,
Jeling janda nyaris nak mati.

Anak ikan jangan digoreng,
Kalau digoreng hilang lemaknya;
Anak orang jangan dijeling,
Kalau dijeling marah emaknya.

Anak ikan jangan digoreng,
Kalau digoreng pecah lemaknya;
Anak orang jangan dijeling,
Kalau dijeling marah emaknya.

Anak lintah tergedit-gedit,
Anak harimau menyeberang paya;
Nak nikah tergedit-gedit,
Orang tak mahu apakan daya.

Anak merbah di paya Tuk Barat,
Pakai kain dua seragi;
Hang tak megah aku tak minat,
Orang lain ramai lagi.

Anak sepat anak sembilai,
Anak tengkarung di dalam padi;
Dari jauh sengek dan kulai,
Senyum serong haram tak jadi.

Anak tiung terdongak-dongak,
Mari dongak dalam perahu;
Hendak bercium gigi rongak,
Orang luar sudahlah tahu.

Angin ini angin apa?
Angin melelai pucuk jambu;
Main ini main apa?
Main sudah sejelak jemu.

Apa benda bunyi terdesar,
Anak monyet berkejar-kejar;
Bukankah kucing guru yang besar,
Harimau di hutan semua diajar?

Apa benda tepi pagar,
Ular hitam nampak melingkar;
Garang-garang rimau akar,
Lebih-lebih pun baru dia cakar.

Apa guna berkain batik,
Kalau tidak memakai capal;
Apalah guna beristeri cantik,
Kalau tak pandai menumbuk sambal.

Apa guna bermain lilin,
Lilin asal dari lemak;
Apalah guna jeling-menjeling,
Tersalah jeling marah emak.

Apa guna bermain lilin,
Lilin asal dari lemak;
Apalah guna jeling-menjeling,
Tersalah jeling marah emak.

Apa merah dalam padi,
Buah ciku dengan bedak;
Apa dimarah pada kami,
Sekali marah sekali tidak.

Apa merah di dalam padi,
Pucuk kandis digulai asam;
Apa marah di dalam hati,
Muka manis ditarik masam.

Apa merah di kaki langit,
Putik delima dilari kuda;
Apalah merah di sanggul Kak Nit,
Bungalah sirih cempaka muda.

Apa putih di tengah laut,
Ruku-ruku tanaman Cina;
Apa putih di tengah rambut,
Telur kutu disangka bunga.

Apa putih di tengah laut?
Anak Cina menangguk udang;
Apa putih di tengah rambut?
Bunga cina baru nak kembang.

Apa siapa tiga terajur,
Nampak mari Gunung Datuk;
Hati saya sudah hancur,
Kena ilmu dalam rokok.

Ari-ari di balik rumah,
Akarnya bersilang-silang;
Anak dara duduk di rumah,
Janda juga dengan terbilang.

Assalamualaikum salam,
Kayu birah dimakan api;
Siapa lalu semalam,
Baju merah gelang di kaki.

Awal mula dikarang,
Pantun Melayu anak Semarang;
Jika tidak belacu jarang,
Sumpit gandum dipakai orang.

Ayam bulu balik,
Telur atas para;
Abang baru balik,
Tidak bawa apa.

Ayam hitam celah batang,
Jumpa semak baru bertelur;
Sayang Cik Hitam baru datang,
Bawa minyak bunga melur.

Ayun pak pek pak pong,
Ayun laju laju;
Apa kakak dukung,
Dukung kucing kelabu.

Bagaimana mengail udang,
Lepas ditarik dienjut pula;
Bagaimana bermain bujang,
Lepas senyum ketawa pula.

Baik dikepung jangan dipalu,
Anjing hitam datang meluru;
Betullah pesan nenekku dulu,
Harimau menderam makan tak mahu.

Bakar bara waktu petang,
Hendak melayur daun palas;
Antara tiga sanggul melintang,
Mana satu janda berhias.

Balai Cik Wan kecil,
Bentuk panjang lima;
Bertunang dari kecil,
Menikah bulan lima.

Beli terung beli kucai,
Makan mari bulan puasa;
Kena cium orang bermisai,
Tiga tahun terasa-rasa.

Buah durian buah kuini,
Mari jatuh atas para;
Duduk diam laki bini,
Selalu kena sakit kepala.

Buah ketapi tindih-menindih,
Buah kasinar dalam perahu;
Nak berlaki pilih-memilih,
Nak anyam bujam pun tak tahu.

Buah labu masak,
Masak hujung julai;
Apa jamu kakak,
Jamu nasi gulai

Buah limau masak merekah,
Bawa pulang dibelah empat;
Rimau yang garang lagi kulangkah,
Inikan pula musang Jebat.

Buah petai sedap dijeruk,
Kalau jeruk hendak tua;
Deraslah benar tuan merajuk,
Orang merajuk lekaslah tua.

Buah pulut di tepi kota,
Buah dipetik sehari-hari;
Cukup hairan hati saya,
Intan manikam jadi sendiri.

Buai laju-laju,
Sampai pucuk sena;
Apa dalam baju,
Sekuntum bunga sena.

Buaya putih buaya keramat,
Mari tentang lubuk batu;
Abang putih melawa sangat,
Saya tidak memberi malu.

Budak-budak meruncing kalam,
Makin diruncing makin tajam;
Setitik dakwat nak perintah kalam,
Adakah nyamuk nak perintah alam.

Bukan asam sebarang asam,
Asam melilit di tanah raja;
Bukan masam sebarang masam,
Masam sebelum ditegur sapa.

Bukan lada sebarang lada,
Lada burung dari seberang;
Bukan janda sebarang janda,
Janda baru beranak seorang.

Bukit Tinggi tepi kota,
Nampak dari tanah tambak;
Harimau tak bergigi jangan dikata,
Dinyoyot-nyoyot ditelan jugak.

Bulan terang menikam pari,
Asam belimbing mengasah kuku;
Tengah malam kami ke mari,
Bawa kawan nak bersatu.

Bunga sena datuk,
Kembang tajul Malai;
Selawat pinang datuk,
Masuk jenung balai.

Burung Perling muka merah,
Murah beralun pintu;
Emak jeling katakan marah,
Perangainya memang begitu.

Burung tuli mandi berhujan,
Bolehlah mandi sekali lagi;
Orang tua menjunjung uban,
Boleh masuk ke medan lagi.

Cak pipit burung serindit,
Mari mati di kaki bukit;
Kucium hidung pipi tergigit,
Kerana geram tak rasa sakit.

Cepu-cepu karang Cina,
Risik mengisi kain;
Cepu-cepu adik nak tanya,
Betul ke tidak nak cari lain?

Cik Esah menuju ke pekan,
Tumbuh kulat di kaki kuda;
Cik Esah cik tuan pesan,
Kirim surat kupinang muda.

Dagangan datang dari Melaka,
Timbang mari dacing tembaga;
Cakap sombong saya tak suka,
Lantai nibung makan kepala.

Dari cempedak baik nangka,
Nangka panjang tangkainya;
Dari budak baik orang tua,
Orang tua panjang akalnya.

Dari cempedak baiklah nangka,
Nangka juga panjang tangkainya;
Dari budak baiklah janda,
Janda juga banyak akalnya.

Dari Pak terus ke Medan,
Membawa kerepek emping padi;
Sungguh celaka nasib badan,
Inai tempek nikah tak jadi.

Daripada cempedak baiklah nangka,
Kerana nangka si panjang tangkai;
Pada budak baiklah janda,
Kerana janda si panjang akal.

Dentam-dentum atas permatang,
Orang mengemping padi muda;
Abang! Abang! Tunangku datang,
Payungnya kuning tekat pelada.

Di tepi sungai ramai pemuda,
Menangguk ikan di air keruh;
Apa salah berbini janda,
Anak tiri boleh disuruh.

Dulang ini dulang tembaga,
Dibeli ada dipakai tidak;
Malam ini malam celaka,
Berjanji ada datang tidak.

Elok sungguh dangau di padang,
Cacat sedikit bumbungnya lentik;
Elok sungguh tunang cik abang,
Cacat sedikit punggungnya lentik.

Emak! Emak! Anyam ke raga,
Nak mengisi telur merbah;
Emak! Emak! Hantar ke paya,
Saya nak tengok janda mengubah.

Emak! Emak! Anyam raga,
Nak mengisi si raga inai;
Emak! Emak! Hantar ke paya,
Saya nak tengok janda menuai.

Emak! Emak! Mintaku lada,
Hendak menyayur pisang tumbang;
Emak! Emak! Mintaku janda,
Janda ada beranak seorang.

Encik Hamid belayar ke Jawa,
Buah jerap masak merekah;
Tabir langit sudah sedia,
Malam besok abang nak nikah.

Encik Mamat memetik lada,
Tetak daun di rumah tinggal;
Kalau terkena hikmatnya janda,
Tujuh tahun sembahyang tinggal

Gelugu pakai papan,
Buah pauh di atas para;
Nak tegur mukanya masam,
Dia sudah marahkan saya.

Goreng pisang goreng keladi,
Mari goreng kuali besi;
Anak siapa meronggeng tadi,
Cubalah masuk sekali lagi.

Gunung api di atas gedung,
Sudah jerang ke baba Melaka;
Sakit kaki kerana beradung,
Duk ulang janda celaka.

Hendak mandi telaga mana,
Telaga darat Padang Kemunting;
Hendak berbini si muda mana?
Mulut birat betisnya bunting.

Hilang tin gunung ditumpal,
Nampak dari Gunung Jematu;
Pinggang ramping badannya tebal,
Pandai juga membuat laku.

Hilir derap mudik derap,
Singgah pangkalan gaharu;
Bini kurap laki pun kurap,
Boleh lawan bergaru-garu.

Hilir perahu dari seberang,
Dengar suara ayam berkokok;
Kalau dah tahu harimau garang,
Pasang jerat di pangkal pokok.

Hujan renyai-renyai,
Pacat naik kaki;
Orang bujang ramai-ramai,
Pakat cari laki.

Hutan serumpun luar kota,
Mari tebas kanan kiri;
Helang tak rabun musang tak buta,
Biring jangan bebaskan diri.

Ikan gelama dimasak tumis,
Mari dimakan berdua-dua;
Kucing tertawa ayam menangis,
Sebab bercinta si bujang tua.

Ikan puyu lemak,
Masak kuah lada;
Intan rangkul emak,
Buah hati emak juga.

Inderagiri Kota Belanda,
Orang Acheh menanam buluh;
Memang untung berkahwin janda,
Anak besar boleh disuruh.

Itik putih di Padang Basai,
Luruh bulu baru bertelur;
Adik Putih ini tak ketahuan pasai,
Senyum dulu baru tegur.

Itik tuk tanjung,
Ambil benang buat koyak;
Adik putih ngelek buyung,
Kacip pinang abang sepiak.

Itik tuk ti itik tuk tanjung,
Buah nanas santan tempoyak;
Adik putih mengelek buyung,
Kacip pinang bagi sepiak.

Itik-itik apa tak mandi,
Kalau mandi kepak tak basah;
Cik abang apa tak mari,
Kalau mari saya tak marah.

Jatuh upih jatuh seludang,
Jatuh mari di laman kami;
Nasi putih lauk udang,
Mari makan bersama kami.

Jeling-jeling paku,
Paku masak lemak;
Siapa jeling aku,
Aku cakap pada emak.

Jong-jong muka pintu,
Hendak belayar hutan seberang;
Jangan Mak Jah berkata begitu,
Bunyinya malu di depan orang.

Kacang melilit di tanah rata,
Ambil dimasak bersama timun;
Dia masam sebelum ditegur,
Bila ditegur dia tersenyum.

Kain putih panjang sembilan,
Panjang sepuluh berkelim rambu;
Adik putih tidur semalam,
Lekat peluh hodohnya bau.

Kalau abang membeli jarum,
Boleh adik membeli tali;
Kalau abang minta nak cium,
Upah cium tendang sekali.

Kalau ada kereta api,
Pergi ke Panggor membeli benang;
Sudah suka hati,
Perut kosong menjadi kenyang.

Kalau bertenun secara kembang,
Limau kerbau masak merekah;
Kalau bersenyum ketawa dek orang,
Ambil tuk lebai baca nikah.

Kalau bertenun secara kembang,
Limau kerbau masak merekah;
Kalau bersenyum ketawa dek orang,
Ambil tuk lebai baca nikah.

Kalau cik tuan selasih dani,
Ayam kokok Tanjung Jati;
Kalau cik tuan kasihkan kami,
Hulurkan rokok dengan api.

Kalau hendak menangkap labi,
Lehernya itu jangan dijerut;
Ulat yang menelan babi,
Cacing pula bengkak perut.

Kalau kita sampai ke hulu,
Mari kita menetak nipah;
Apa guna jumpa ibu,
Yang kadi inilah ayah.

Kalau nak pancing ikan sembilang,
Di air keruh tepi karang;
Jalak berkokok tak putus selang,
Biring yang mana tak nak radan

Kalau tahu lemaknya lada,
Ambil minyak linang-linangkan;
Kalau nak tahu lemaknya janda,
Ambil anak timang-timangkan.

Kalau tak tahu jangan digagah,
Lidah tak nyaman perut pun tak sebu;
Hilir malam mudik tak singgah,
Buah nipah disangka labu.

Kalau tuan pakai sepatu,
Agar-agar naik ke kuala;
Kalau tuan cakap begitu,
Kayu pagar naik kepala.

Kalau tuan pergi ke rakit,
Bunga raya dalam celepa;
Kalau tak ada ringgit di kocek,
Taruh boyan tak jadi apa.

Kapal baluk bertiang tiga,
Dibawa masuk ke Pontianak;
Bulan mabuk matahari gila,
Apa fikiran orang yang banyak.

Kapal kecil roda lambung,
Naik ke darat pasang teropong;
Orang muda kacak melambung,
Songkok senget saku kosong.

Kayu ara dua secabang,
Mati secabang dimakan api;
Anak dara dua sekupang,
Janda empat segantang padi.

Ke bandar Melaka ke rumah Cik Alang,
Hendak bersafar ke Tanjung Keling;
Kalau semua orang berambut panjang,
Apatah hal nasib si tukang gunting?

Ke bilik ke dapur,
Gulai ayam pedas;
Itik yang bertelur,
Ayam yang menetas.

Ke laut mari mengail duri,
Terasa pula badan nak demam;
Putih kuning mengajak lari,
Saya tak tahu rumah imam.

Kecil-kecil buah cemponek,
Kasi makan anak Cik Batak;
Sudah berpesan datuk nenek,
Ayam garang kepala botak.

Kecil-kecil pengayuh lidi,
Mari sampai hutan seberang;
Kecil-kecil hendak berbini,
Apa belanja kulit kerang.

Kecil-kecil pengayuh lidi,
Mari sampai ke hutan seberang;
Kecillah kecil hendak berlaki,
Apa belanja sekulit kerang.

Kekalkan Mak Busu bertanam miak,
Bertanam miak di muka pintu;
Kekalkan Mak Busu banyak anak,
Minta seorang buat biniku.

Kekati atas peti,
Anak tekukur bawah batang;
Dari pagi saya nanti,
Hari petang baru datang.

Kepiting di negeri Jawa,
Buluh bersegi di atas atap;
Ikan kering habis tertawa,
Anak tupai baca kitab.

Ketok-ketok harimau garang,
Keling pandai cakap Jawa;
Harimau batuk buaya mengerang,
Kucing di rumah sakit kepala.

Kocak-kocak terbuka jala,
Ikan mengena haluan perahu;
Esok-esok bertanya janda,
Asal senyum tandanya mahu.

Kukur nyiur perah santan,
Anak kijang di Bukit Lagi;
Kalau nak tengok hati jantan,
Cuba bujang sekali lagi.

Kulit kerang asalnya kapur,
Anak Batak pandai menari;
Letak apa belanga ke dapur,
Kalau masak angkat ke mari.

Kulit ular dikata tebal,
Tebal lagi kulit sawa;
Kalau pujuk makin menyebal,
Kalau dimarah baru tertawa.

Laju-laju perahu laju,
Laju mari sampai Kelebang;
Lipat kain lipat baju,
Saya mahu ikut abang.

Laju-laju perahu laju,
Laju sampai Seri Baya;
Bukalah kain dengan baju,
Jangan lupa nama saya.

Laksamana pergi mendekut,
Dapat seekor punai gading;
Kalau singa makan rumput,
Tentu lembu makan daging.

Limau bertumbuh di tepi tebat,
Tanam halia habis layu;
Harimau mengambur serta melompat,
Habis kera panjat kayu.

Limau lelang bergugus-gugus,
Taruh mari dalam dulang;
Harimau mati dipijak tikus,
Buaya mati disepit udang.

Limau lelang tengah sempadan,
Petik orang bawa ke hulu;
Rimau menderam tengah hutan,
Monyet siamang gemangkan bulu.

Limau purut dipancung putus,
Diputus dengan hujung pedang;
Harimau mati dilanggar tikus,
Buaya mati di tepi gudang.

Macam mana mengail udang,
Lepas dienjut diseret pula;
Macam mana bermain bujang,
Lepas tersenyum tertawa pula.

Mak! Mak! Mintaku lada,
Hendak menyayur pisang tumbang;
Mak! Mak! Mintaku janda,
Janda muda beranak seorang.

Makan tebu buku ditaruh,
Buat ubat masuk cendawan;
Bukit beradu gunung bertaruh,
Riuh-rendah mambang di awan.

Masa emak mudik ke hulu,
Buat sunting bunga kenerak;
Masa emak buat baju,
Bubuh sikit bawah ketiak.

Mengail Kuala Tanjung,
Ketam tidak berjari;
Kalau kucing pandai berdayung,
Tikus juga pandai kemudi.

Mengail Sungai Dua,
Umpan pucuk keledek;
Tua samalah tua,
Sama-sama mencincang gobek.

Menjemur kacang di hari panas,
Isi di nyiru orang seberang;
Sebutir pisang sebutir nanas,
Mana satu rezeki musang?

Muara peti pandai menyala,
Kulit kerang asalnya kapur;
Hiduplah api menyala-nyala,
Letak apa belanga ke dapur?

Naik ke bukit di balik bukit,
Tetak kayu di Padang Anak;
Dekat setindik sekanannya batik,
Cari janda belum beranak.

Naik ke bukit membeli lada,
Lada sebiji dibelah tujuh;
Apa disakit berbini tua,
Anak tiri boleh disuruh.

Naik ke bukit terluncang-luncang,
Nak ambil keropok air;
Apa sakit duduk membujang,
Lepas menumbuk mencedok air.

Naik rakit bersila panggung,
Patah galah batang keladi;
Kalau sakit nak minta tolong,
Mentekedarah tidak bergigi.

Nak mandi batas banyak,
Tambah pulak ada buaya;
Nak berbini hutang banyak,
Tambah pula rial belanja.

Nak takuk, takuklah,
Supaya senang hendak meniti;
Nak katuk, katuklah,
Jangan sampai menjadi mati.

Nampak rendang pokok belimbing,
Gugur buah tepi telaga;
Berapa senang berbini sumbing,
Kalau marah ketawa juga.

Nasi lemak gulai udang,
Tiga dengan gulai pari;
Bajunya kot songketnya gadang,
Hilang di mata mana nak cari.

Ngiau-ngiau kucing di rakit,
Nak makan jeruk belimbing;
Mak! Mak! Tunangku sakit,
Nak mengintai di balik dinding.

Nguak-nguak kerbau di padang,
Kerbau seekor kutarik ke huma;
Emak! Emak! Tunangku datang,
Bentang tikar tabur bunga.

Nguap-nguap kerbau di padang,
Mari tambat jalan ke huma;
Emak o mak! Abangku datang,
Apa tidak menabur bunga.

Nyiur lamin di Pantai Lamin,
Jatuh sebutir disambar ribut;
Hitam manis duduk beransin,
Cacat sedikit rambutnya sejemput.

Nyiur manis condong ke Keling,
Sudah ke Keling ke Jawa pula;
Hitam manis duduk mengoleng,
Sudah mengoleng ketawa pula.

Orang bandar bersanggul dua,
Orang barat bersanggul lintang;
Alangkah baik berbini tua,
Perut kenyang pengajaran datang.

Orang Batak pulang ke Batak,
Sampai ke Batak menggulai babi;
Nasi masak gulai pun masak,
Imam sampai nikah tak jadi.

Orang Jawa mengail todak,
Dapat seekor dibawa pulang;
Bumi tertawa langit tergelak,
Tengok bulan di pagar bintang.

Orang Kesang pergi Merlimau,
Dengar suara ayam berkokok;
Cik tuan musang saya rimau,
Kalau kukejar panjat pokok.

Orang mengail Lubuk Bulang,
Taruk umpan kulit limau;
Baik juga semangat tak hilang,
Anak kucing kusangka rimau.

Orang mengail tepi beting,
Putus joran tinggal pancing;
Adakah kain nak lawan gunting?
Adakah tikus nak lawan kucing?

Orang menjala ikan belanak,
Dapat seekor puntang-panting;
Kalau kahwin janda beranak,
Habis kepala kena kencing.

Pak Lekup minta sedekah,
Mari sedekah rumah Pak Gapur;
Bulan cukup abang nak nikah,
Minta duit belanja dapur.

Paku ini paku landai,
Paku berasal dari Jawa;
Barang bini habis digadai,
Pinjam pula barang mentua.

Patah galah mudik ke Jelai,
Membawa Cik Hassan dengan Cik Husin;
Apalah salah kita bercerai,
Sabit belacan makan dek kucing.

Paya Sengeram batu berjari,
Buah jering dalam petak;
Hairan sungguh hati kami,
Lautan kering timbul katak.

Perahu siapa cat kuning,
Sarat muat kundur labu;
Biar pecah hulu kemuning,
Pantang undur dari kelambu.

Pergi Kajang membeli benang,
Seri malam dari seberang;
Jadi bujang memang senang,
Tidur malam bergolek seorang.

Pergi ke darat menebang jagung,
Jagung ditebang sambil berdiri;
Pipit menangis nak makan jagung,
Bukannya patuk makan sendiri.

Pinang tua beraga-raga,
Pinang muda bertemu hati;
Orang tua mengada-ngada,
Orang muda apa lagi.

Pinang tua beraga-raga,
Pinang muda lebihlah lagi;
Orang tua ngada-ngada,
Orang muda lebihlah lagi.

Pisau raut perancung kalam,
Kalam dirancung empat segi;
Di tengah laut harimau mengeram,
Kucing mengiau di Pauh Janggi.

Pohon bendera pohon ketapang,
Pohon kemboja melintang titi;
Anak dara dua sekupang,
Kalau janda segantang padi.

Pohon kapas dibaling-baling,
Tersangkut kaca koyak seluar;
Melintas dara sambil menjeling,
Terbeliak mata macam nak keluar.

Pucuk putat layu,
Pucuk pauh kembang;
Duduk dekat malu,
Duduk jauh bimbang.

Pun tali pun,
Anak ayam bulu balik;
Dalam perintah Jepun,
Kita makan ubi keledek.

Putus tali mengikat tangga,
Mari diikat tali mengkuang;
Putus hati pandang ke janda,
Kerana janda anak seorang.

Rumah siapa lentik bumbung,
Rumah Cik Putih jual padi;
Tunang siapa turun bertudung,
Tunang abang nikah tak jadi.

Rumah siapa lentik bumbung,
Kalau tak salah rumah Cik Ghani;
Tunang siapa lalu bertudung,
Kalau tak salah tunang kami.

Sarat bermuat dari seberang,
Patah tiang kayu kelat;
Adakah kucing cintakan musang,
Ayam terbang tikus melompat.

Satu dua tiga empat,
Lima enam tujuh lapan;
Bila kupandang ikan melompat,
Kuhulur pancing kenapa tak makan?

Satu dua tiga empat,
Siamang rabun katak melompat;
Bubu dipasang merata tempat,
Air banyak susah mahu dapat.

Saya malas berhuma di cerang,
Naik batang turun batang;
Saya malas duduk bujang,
Sirih datang pinang datang.

Saya malas berumah di paya,
Kerana di paya banyak lintah;
Saya malas beristeri janda,
Kerana janda banyak perintah.

Saya malas berumah tinggi,
Dinding berlekuk tiang bertarah;
Saya malas beranak tiri,
Katuk sikit bapanya marah.

Saya malas jalan ke tanjung,
Semak sangat bertabur pulut;
Saya malas makan kalung,
Semak sangat rasanya mulut.

Saya nak berumah di paya,
Ada lintah kerap buang;
Saya nak berbini janda,
Ada perintah cepat buang.

Sayang encik Melayu,
Pakai serban senget sebelah;
Kalau berbunyi burung jentayu,
Ayam di reban serba salah.

Sayang serindit punai di Jawa,
Permainan anak permaisuri;
Pelepah jatuh pucuk ketawa,
Pangkal juga menahan diri.

Senggarang Batu Pahat,
Emak garang bapa jahat;

Siapa kata lada tak kering,
Lama-lama kering juga;
Siapa kata dia tak kahwin,
Lama-lama kahwin juga.

Soldadu bercampur dengan lokan,
Rambutan bercampur dengan pulasan;
Kera lotong tak lalu makan,
Tupai membawa diri di dahan.

Sultan Mahmud mangkat dijulang,
Bunyi khabar di Kota Tinggi;
Sungguh tuan rimau garang,
Ada juga tidak bergigi.

Tabu liat tabu kapur,
Sama tengah pokok keladi;
Apa dibuat orang dapur,
Kalau dah masak hidang ke mari.

Tanam limau di tanah liat,
Buah manggis dalam perahu;
Belang harimau kalau dilihat,
Kena badi saya tak tahu.

Tang-tang buku,
Kerakap daun puding;
Pak Itam tak malu,
Ditampar dek kucing.

Tanjung Batu Seberang Alai,
Nampak dari Teluk Gading;
Makan sagu biang bersalai,
Apa dilawan digonjeng kering.

Teluk Jong permata wangsa,
Dulu tiga Teluk Belati;
Dipatuk tedung haram tak bisa,
Dijeling janda rasa nak mati.

Terbang sekawan burung jelatik,
Terbang nampak kepalanya merah;
Pilih bini yang cantik,
Tapi nak harga murah.

Tetak mengkuang di tanah tubuk,
Letak buluh di atas serambi;
Masuk abang bercium peluk,
Terkejut pula kucing berkelahi.

Tetak tebu betung,
Sandar pokokinai;
Selawat gajah Tuk Dong,
Saya nampak Tuk Nai.

Terbang sekawan burung jelatik,
Terbang nampak kepalanya merah;
Pilih bini yang cantik,
Tapi nak harga murah.

Tinggi-tinggi Gunung Siantan,
Burung nuri ditambat tali;
Kalau cik adik hendak jantan,
Pakai bedak tujuh jari.

Tuan merendang buah pedada,
Jatuh ke bawah menimpa kaki;
Tuan bujang ambil janda,
Macam kain sudah dipakai.

Ulam temu di kebun Pak Akob,
Halia tumbuh dalam dulang;
Mula bertemu macam tak cukup,
Bila dah jemu tendang terajang.

Wayang balik pintu,
Kain balik dinding;
Pinang anak datu,
Jatuh pelepah belimbing.

Ya ya kucing di rakit,
Kucing makan jeruk belimbing;
Emak! Emak! Tunangku sakit,
Mari intai balik dinding.

Zaman emak mudik ke hulu,
Ikan kekek makanan biawak;
Zaman emak menjahit baju,
Lekat sikit bawah ketiak.



Dipetik Dari Buku Kurik Kundi Merah Saga Terbitan Dewan Bahasa Dan Pustaka

3 Pandangan:

pelangi anak Ogos 31, 2009  

unik sekali...saya baru mengenalnya....
kalau di tempat saya namane "parikan"....

Met kenal yah....have a great day!

rayban wayfarer Julai 12, 2010  

xpham tulisan cina....
jenaka cina pun ada juga

rAhArDjoe Disember 21, 2010  

sangat menarik sobat,,,

Teman Setia

This Blog Is Proudly Sponsored By SURF7 Template Modified By Seri Bahasa Proud To Be A Kinabatangan Blogger