Selamat Datang Diucapkan Kepada Semua Pengunjung Blog Ini Segala Komen Dan Saranan Teman Teman Amat Seri Hargai

Kurik Kundi Merah Saga (Adat)

Kategori Adat


Ada sirih ada pinang,
Nantikan gambir dengan kapur;
Sudah dipilih sudah dipinang,
Hanya menanti ijab kabul.

Ada yang datang waktu petang,
Ada yang datang pakai kereta;
Tuahlah badan mendapat gelang,
Mendapat cincin berbatu pula.

Air cetek mencuci baju,
Bangun siang menidur anak;
Lama ditinggal ingatkan satu,
Jangan tak hibur oranglah banyak.

Air pasang deras ke hulu,
Bila tenang dimandi budak;
Kami datang pulang dahulu,
Bila senang mari pulak.

Air surut ikan geramai,
Sudah dapat ikan tenggiri;
Masa hidup kita berdamai,
Mati nanti seorang diri.

Alang-alang mandi di dulang,
Sayang keronsang darilah bertali;
Alang-alang kita bergendang,
Baik dan jahat langsung sekali.

Ambil air dari perigi,
Ada yang dijinjing ada ditatang;
Belum disuruh sudah pergi,
Belum dipanggil sudah datang.

Ambil galah jolok kedondong,
Galah patah menimpa dahan;
Bukannya salah ibu mengandung,
Sudah nasib permintaan badan.

Ambil galah pepahkan jantung,
Jantungnya jatuh ke balik pagar;
Saya tak mahu berbalas pantun,
Pantun saya baru belajar.

Ambil kapak di tengah laman,
Tanam sirih tepi telaga;
Ibu bapa tentu tak berkenan,
Sekalian waris pun tak suka.

Ambil lepas dalam cerana,
Ambil tali ikat peria;
Ambo nak pelepas anak teruna,
Pelepas sekali anak dara.

Anai-anai di tanah rekah,
Mari dikais menimba hari;
Masa suka ramai berdekah,
Waktu menangis seorang diri.

Anak angsa tepi perahu,
Mari dipakai mengkuang duri;
Selama ini baru kutahu,
Cari makan lepaskan diri.

Anak ayam bulu balik,
Cari makan tepi paya;
Minta tumpang berjalan balik,
Makan minum saya belanja.

Anak ayam turun ke buluh,
Cucilah kasut tinggal sembilan;
Asal abang jangan digaduh,
Jangan takut hantar ke depan.

Anak cicak anak keredek,
Rama-rama menyusur pantai;
Dia bijak saya cerdik,
Sama-sama mengadu pandai.

Anak Cina berbaju tangsi,
Pakai baju dengan kainnya;
Saya ini banyak yang benci,
Sampai masa berguna jua.

Anak Cina menjual madat,
Dari pasar terus ke Bali;
Hidup di dunia biar beradat,
Kasih tidak dijual beli.

Anak Cina pandai berbaju,
Sudah berbaju berkancing pula;
Alangkah hina yatim piatu,
Sudah piatu miskin pula.

Anak Cina pelihara babi,
Diberi makan daun keladi;
Anak siapa berpantun tadi,
Cuba pantun sekali lagi.

Anak Cina pergi ke kota,
Pakai mari kain cukin;
Besar gunanya api pelita,
Rupamu boleh tutup miskin.

Anak Cina pulang ke China,
Sampai di China menjual arang;
Sudah miskin lagi hina,
Jauh beza dari orang.

Anak Cina pulang ke China,
Datang ke China memakan babi;
Tuan punya saya pun punya,
Sedikit seorang kita berbahagi.

Anak Cina pulang ke China,
Sampai ke China menjual ragi;
Engkau punya aku pun punya,
Sama sekerat kita berbahagi.

Anak dara pergi ke Jeddah,
Sampai di Jeddah berperi-peri;
Menjual suara bukannya mudah,
Hendak mencari nafkah sendiri.

Anak enggang kelima-lima,
Ingat-ingat tanda merah;
Anak dagang saya terima,
Ini pula daging darah.

Anak India membawa madat,
Dari Kedah langsung ke Bali;
Hidup manusia biar beradat,
Bahasa tidak berjual-beli.

Anak itik bawah rumah,
Main budak cepat berlari;
Oi, encik orang di rumah,
Terima tidak kami ke sini.

Anak itik anak angsa,
Atas tepung atas peti;
Bertitis air mata,
Orang kampung habis benci.

Anak itik bawah rumah,
Main budak cepat berlari;
Oh encik orang di rumah,
Terima tidak saya ke mari

Anak itik di bawah batang,
Limau manis masaknya minyak;
Raja di rakit sudah pun datang,
Riuh-rendah suara banyak.

Anak itik pandai berenang,
Mari bidas dengan batu;
Sirih sampai ikat pinang,
Sirih sampai Jongok Bat

Anak kala memanjat pinang,
Nampak dari tanah Makkah;
Masa ini kita bertunang,
Sabar-sabarlah sebelum menikah.

Anak helang di atas gunung,
Singgah semalam di Bukit Pinang;
Tengah malam bangkit melengung,
Bila tahun kita nak senang.

Anak lutung di pokok jelutung,
Anak mawas di pokok ara;
Ramai-ramai kita berpantun,
Kerana memuja teruna dan dara.

Anak pipit mati terhimpit,
Mati dipanah kumbang hijau;
Santaplah tuan pinang bergigit,
Saya nak membelah tidak berpisau.

Anak seluang si mangki-mangki,
Anak kalatau merah matanya;
Anak orang laki-laki,
Sudah besar banyak tuahnya.

Anak sepat mata merah,
Ambil lepas dalam cerana;
Kalau tersepak jangan marah,
Ambo nak pelepas anak teruna.

Anak sindorai siamang,
Digatuk pinang Pasir Lumut;
Adik jangan tergamang,
Hamba biasa susah hidup.

Anak udang ada sejemput,
Letak mari atas pelantar;
Datang tidak menjemput,
Balik tidak berhantar.

Anak udang, udang juga,
Tidak sama anak tenggiri;
Anak orang orang juga,
Tidak sama anak sendiri.

Anak udang, udang juga,
Tak boleh dibuat anak tenggiri;
Anak orang, orang juga,
Tak boleh dibuat anak sendiri.

Angin barat gelombang timur,
Ombak memecah di atas tangga;
Tuan di barat kami di timur,
Panas bersama datang menganga.

Angkat galah sandar galah,
Mari disandar di pohon pinang;
Kalau alah mengaku kalah,
Janganlah adik mengaku menang.

Anjunglah Siam patah kemudi,
Ambil paku lantak di papan;
Diamlah diam tidak berbunyi,
Lupalah malu bertepuk sopan.

Apa dijual apa dibeli,
Mari sukat gantang Ali;
Bahasa tak boleh dijual beli,
Dari hidup sampai mati.

Apa guna asam paya,
Kalau tidak menggulai ikan;
Apa guna lagak dan gaya,
Kalau bahasa tidak dihiraukan.

Asah taji asah golok,
Buat menyabung ayam kelabu;
Saya janji masak di pokok,
Kalau ranggah saya tak mahu.

Ayam kelabu pakai topi,
Rotan selingkar jatuh ke lubuk;
Inilah air pembasuh kaki,
Inilah tikar setempat duduk.

Ayam kelabu pakai topi,
Rotan selingkar jatuh ke lubuk;
Inilah air pembasuh kaki,
Inilah tikar setempat duduk.

Bagaimana hendak menjahit,
Hendak menjahit jari pun rempak;
Bagaimana saya nak naik,
Tuan rumah belum nampak.

Bagaimana mencucuk manik,
Manik dicucuk di pagi hari;
Abang adik silalah naik,
Itu air membasuh kaki.

Baik beralas baik tidak,
Kain pelikat di atas peti;
Baik balas baik tidak,
Sudah ikhlas dalam hati.

Baiklah baik berjalan-jalan,
Kalau takut bawalah teman;
Alangkah merpati berpasang-pasangan,
Mengapa orang tidak berkawan.

Banting-banting tumbuhlah damit,
Disukat bahagian panjang;
Pengantin lagi damit,
Ibu bapanya akan menentang.

Banyak belah pecah seratus,
Nampak berbalam di hutan lipur,
Demi Allah sumpah putus,
Sudah digenggam masakan lebu

Banyak telur Si Raja Lutung,
Dibawa budak dari seberang;
Tarik nafas kenangkan untung,
Untung tidak seperti orang.

Banyak tumbuh pohon di sini,
Encik Anjang orang berbudi;
Silalah makan hidangan ini,
Mana yang kurang jangan dike

Banyak tumbuh pohon di sini,
Encik Anjang orang berbudi;
Silalah makan hidangan ini,
Mana yang kurang jangan dike

Baru kembang bunga seroja,
Sudah ada orang mencuri;
Besar-besar istana raja,
Kecil-kecil pondok sendiri.

Baru saja adik berkain,
Adik berkain malam Jumaat;
Bukan saya pandai bermain,
Saya melangsung orang berhajat.

Baru sekali pergi ke pekan,
Orang membeli bunga sekuntum;
Baru sekali saya berpesan,
Saya berpesan suruh berpantun.

Batang besar dua sebaya,
Ambil sebatang membuat galah;
Kalaulah abang orangnya kaya,
Tidaklah abang sebatang karah.

Batang keduduk dibuat galah,
Hendak menghalau si ayam jantan;
Telunjuk sudah dijadikan Allah,
Hendak menculik kapur berjuitan.

Bawa anjing pergi berburu,
Berburu sampai ke Tanjung Pinang;
Sudah bersetuju ayah dan ibu,
Bolehlah abang masuk meminang.

Bentang tikar luas-luas,
Tempat sawa menyeru lampai;
Berladanglah anak luas-luas,
Kirimkan saya emping bertangkai.

Bentang tikar tengah rumah,
Hendak tabur biji lada;
Tabik encik orang di rumah,
Saya main kurang bahasa.

Beras dibawa dalam negeri,
Anak udang dalam perahu;
Emas perak boleh diuji,
Hati orang siapa tahu.

Beras pulut bercampur padi,
Laksamana memanah dulang;
Di mulut sedih di hati,
Belum ada anak seorang.

Berdentum banai berlian,
Buat mari perumbung saji;
Kalau tak ada petemu tuan,
Jangan dicari disakit hati.

Bergesek rebab bertali dua,
Mari gesek bertali kain;
Mari adik bersahabat dua,
Bersahabat saya nanti pergi ke lain.

Berkokok ayam di lanting,
Menyahuti ayam di paya;
Makan pinang sirih digunting,
Dikepit juga sama suara.

Bermasak nasi santan bergantung,
Ambil puntung dari seberang;
Tarik rebab mengenangkan untung,
Untungku tidak seperti orang.

Bertanak periuk besar,
Nasinya berulas-ulas;
Pantun sesama besar,
Bunyinya berbalas-balas.

Beruntung merapat kaban,
Akan perapat bunga anggerik;
Kalau untung suratan badan,
Dapat bertukar bangsa yang baik.

Betik manis buah papaya,
Manis tidak dapat kulupa;
Riuh rendah sorak ketawa,
Saya seorang berdukacita.

Bintang tidak terbit pagi,
Diselaput oleh awan putih;
Puan sudi sampai ke mari,
Saya memberi terima kasih.

Bismillah mengepal nasi,
Nasi mentah dikepal jangan;
Bismillah memulakan nyanyi,
Nyanyi salah dikeji jangan.

Bismillah mengepal nasi,
Nasi mentah dikepal jangan;
Bismillah memulakan nyanyi,
Nyanyi salah dikeji jangan.

Buah belolok penuh duri,
Jatuh terletak di kolam Cina;
Habis elok lagi bestari,
Bukanlah layak orang yang hina.

Buah betik dalam dulang,
Mari belah tepi telaga;
Ayuhai encik kami nak pulang,
Mari hantar di anak tangga.

Buah keranji buah delima,
Mari letak atas meja;
Sirih pinang sudah kuterima,
Tanda jadi kita berdua.

Buah nangka di tepi tebat,
Buah duku disangka jering;
Disangka jujur hati sahabat,
Rupanya menikam kawan seiring.

Buah pauh di atas batang,
Sayang cermai di atas batu;
Tuan jauh ke mari datang,
Meramai akan kampungku.

Buah rambai buah rambutan,
Buah tergantung bertali-tali;
Sudah sampai janjimu tuan,
Jika untung mana nak lari?

Buah rumbia buah salak,
Pokok tumbuh tepi perigi;
Hidup di dunia kita beradat,
Bahasa tiada berjual beli.

Buah-buah rotan dan batu,
Jauh sejengkal dimakan angin;
Apa khabar ayah bondaku,
Baru merasa sejuk dan dingin.

Buat ketupat sebakul baru,
Pergi jala di kampung Siam;
Abang dapat sahabatlah baru,
Sahabat lama tinggallah buang.

Buat sumpik leka bersumpik,
Keratlah mengkuang panjang lima;
Lekanya hamba berbuat baik,
Berbuat baik tumpangnya di demo.

Bubuh racun di dalam gelas,
Kalau minum tentulah mabuk;
Tuan terima dengan ikhlas,
Boleh tidak saya nak masuk.

Budak-budak atas jambatan,
Campak batu seorang satu;
Ramai duduk di medan,
Campak pantun seorang satu.

Budak-budak duduk di pintu,
Apa dibuat mencari kutu;
Habislah wang beribu-ribu,
Sukalah hati mendapat menantu.

Bukan jagung sebaranglah jagung,
Kacang melilit di batang aru;
Bukannya datang sebarang kampung,
Datang menghibur hati yang baru.

Bukan kacang sebarang kacang,
Kacang melilit di pohon kayu;
Bukan datang sebarang datang,
Datang jemput kerana malu.

Bukan kacang sebarang kacang,
Kacang melilit di ranting kayu;
Bukan datang sebarang datang,
Datang menyambut pengantin baru.

Bukan kutimba bukan kucebok,
Anak gelama dalam bubu;
Bukan kusila bukan kumabuk,
Dari selama dah sahaja begitu.

Bukan lebah sebarang lebah,
Lebah bersarang di pohon dedap;
Bukan sembah sebarang sembah,
Sembah saya mohon bercakap.

Bukan lonteng perkara lonteng,
Lonteng datang dari Labuan;
Bukan runding perkara runding,
Runding biasa potong haluan.

Bukan tembaga bukannya perak,
Anak kunci tidak beribu;
Tuan juga janganlah tidak,
Anak menantu di muka pintu.

Bukit Gebuk Gunung Cik Jenal,
Nampak dari Pulau Nerang;
Adik duduk abang tak kenal,
Sikap pulih ayam mengerang.

Bulan hulur matahari berdiri,
Tanam kapas di laman raja;
Sudah masyhur saya di sini,
Saya tidak lepas sahaja.

Bulan mengambang di celah awan,
Pungguk merindu dengan berangan;
Sewajar memilih jodoh pertemuan,
Tapak tangan satu perjuangan.

Bulan Ramadan bulan puasa,
Awal Syawal beraya kita;
Kita baru berkenal biasa,
Berdondang sayang bermesra kita.

Bulan Safar bulan sebelas,
Cahayanya cerah menyapu awan;
Bukan mengata bukan membalas,
Saya serah melukut secawan.

Bunga Cina tanaman Cina,
Mari dipakai tuan puteri;
Kerja kita akan sempurna,
Bila sampai masa dijanji.

Bunga kelapa di Padang Jenak,
Tempat makan seladang tua;
Ada orang mengakulah anak,
Boleh juga jadi mertua.

Bunga malai jatuh ke laut,
Digulai itik bersama laksa;
Apa soal tidak disahut,
Sungguhlah bijak belum dewasa.

Bunga paku tidak berbuah,
Sama juga bunga kelapa;
Jongok Batu kampung bertuah,
Sampai ke mana saya tak lupa.

Bunga rampai dalam cepu,
Taruh mari dalam raga;
Ucap selamat pengantin baru,
Ibu bapa menumpang suka.

Bunga raya merah menyala,
Bunga lebih diisi karung;
Abang kaya bertambah kaya,
Hamba miskin dibawa untung.

Bunga ros bunga melati,
Harum semerbak di dalam taman;
Besar sungguh hajat di hati,
Untuk menyunting bunga di taman.

Bunga sena dalam jerami,
Putik kandis dalam dulang;
Cuba guna dalam nyanyi,
Bawa nyanyi depan orang.

Bunga sena kuning mencelah,
Daun kering jatuh bersepah;
Saya yang hina buang sebelah,
Hidup di dunia bagai sampah.

Bunga tanjung putih berseri,
Bunga kembang berlapis-lapis;
Lagu canggung lagu asli,
Lagu asal negeri Perlis.

Bungalah tanjung dari utara,
Memakai ku cincin permaisuri;
Jika ku terkandung dalam perkara,
Tidak kukunci memangku diri.

Burung belatuk kepalanya kuning,
Hendak merapat di kaki dulang;
Mata mengantuk kepalanya pening,
Hendak melepas si hajat orang.

Burung belibis burung jelatuk,
Singgah menyewa di kampung petani;
Minta tabik segala datuk,
Datuk ada semua di sini.

Burung enggang silang-bersilang,
Nampak pipit sama rata;
Sudilah sirih sekapur seorang,
Itulah asal pembuka kata.

Burung merbuk sambar tekukur,
Lepas sekali menjadi punai;
Terung berpucuk limau bertabur,
Puaslah hati membeli mahal.

Burung merpati terbang sekawan,
Hinggap di hujung ruang seri;
Buah hati diamlah tuan,
Bonda berada di dalam negeri.

Burung pipit burung serindit,
Terbang ke awan berderai-derai;
Apa nak sesal padanya nasib,
Nyawa di badan lagikan bercerai.

Burung putih terbang malam,
Hinggap dia di pohon rumunia;
Tabik encik tuan di dalam,
Saya mencabut sedak rebana.

Burung serindit di sawah padi,
Habis pulut dimakan tempua;
Tidak sakit atau mati,
Lambat laun berjumpa jua.

Burung serindit tidur tergantung,
Tergantung mari di alang tengah;
Tabiklah datuk empunya kampung,
Kami bermain di tengah-tengah.

Burung tebit burung jelatuk,
Singgah hinggap di Tanjung Petani;
Minta tabik segala datuk,
Datuk bumi belantara sini.

Burung tekukur terbang ke laut,
Mari hinggap pokok jati;
Orang bercakap sedap mulut,
Kita mendengar sakit hati.

Burung tiung beranak tunggal,
Hinggap mari atas bumbung;
Ibu mati ayah meninggal,
Pada siapa hendak bergantung.

Cekak manis makanan sotong,
Sotong nak mati ditimpa ruang;
Tarik nafas tergantung-gantung,
Terkenang diri dikeji orang.

Celagi manis celagi masam,
Buah kelapa atas pintu;
Sekali manis sekali masam,
Zaman sekarang tidak begitu.

Cempaka putih cempaka biru,
Buat sunting bunga delima;
Masa ayah menganyam nyiru,
Angkit dengan tindih lima.

Ceriti pinang ceriti,
Cerana di atas papan;
Sirih ini sirih pengganti,
Kalau sudi silalah makan.

Cik Amat mengail ikan,
Dapat seekor ikan tenggiri;
Selamat tinggal saya ucapkan,
Panjang umur berjumpa lagi.

Cik Bedah pergi ke pekan,
Sampai ke pekan membeli rotan;
Kalau sudah bertuah badan,
Batu di tangan menjadi intan.

Cik Husin pergi ke kota,
Sampai ke kota membeli barang;
Orang miskin hidup menderita,
Orang kaya bersenang-lenang.

Cik Jeddah pulang ke Jeddah,
Segala harta di bawa balik;
Berpantun sudah berdoa pun sudah,
Teruna dan dara masuk ke bilik.

Cik Mahat tukang rumah,
Cik Ali tukang tingkap;
Minta maaf seisi rumah,
Minta izin saya cakap.

Cincin emas permata nilam,
Manis sungguh pakai di jari;
Kerana hari pun dah larut malam,
Mohon izin mengundur diri.

Cincin ini dari Yaman,
Pakai tangan jari kanan;
Barang ini barang makanan,
Kalau tak makan rasa kempunan.

Dapat seekor ikan tenggalan,
Lalu ditaruh di atas peti;
Saudara-mara dapat berkenalan,
Bertambah mesra kasih di hati.

Dari Damak terus ke Bentan,
Pergi berburu balik hari;
Desa semak dahulunya hutan,
Tidak disangka jadi negeri.

Dari dulu pinang seribu,
Baru sekarang pinang sekati;
Dari dulu ditimbang ibu,
Baru sekarang menimbang diri.

Dari dulu pinang seribu,
Hinggap sekarang pinang sebatang;
Dari dulu pengajar ibu,
Hingga sekarang pengajar datang.

Dari Endut pergi Mersing,
Singgah berhenti Pulau Sialu;
Hati risau bertambah runsing,
Kepada siapa hendak mengadu?

Dari Gunung ke Anak Bukit,
Singgah bermalam di Bukit Pinang;
Duduk melenggung hati sakit,
Bila tahun hati nak tenang.

Dari Gunung ke Anak Bukit,
Singgah semalam di Bukit Pinang;
Dahulu hati sakit,
Sekarang hati merasa senang.

Dari Johor ke Majapahit,
Singgah mari di Pulau Bentan;
Sudah mahsyur nama yang baik,
Tambah pula bertuah badan.

Dari Melaka ke Tanjung Tuan,
Singgah bermalam di rumah Cik Siti;
Bila kunampak muka tuan,
Rasa besar di dalam hati.

Dari Melaka pergi ke Pahang,
Singgah ke Johor beli berangan;
Saya mengucap selamat datang,
Jikalau salah dikeji jangan.

Dari Nandung ke Pantai Nandi,
Orang bergajah dua beranak;
Sudah terlangsung kami ke mari,
Apa perintah orang banyak.

Dari Sekara terbang pipit,
Anak ulat atas papan;
Usahkan pinang bergigit,
Pinang bulat pun saya makan.

Dari utara terus ke selatan,
Betik menjadi buah papaya;
Satu mutiara satu intan,
Yang mana baik pilihan saya.

Darilah pauh bandar mendatang,
Tetaklah sampan pancung kemudi;
Darilah jauh tuan datang,
Kerana tuan hadir di sini.

Daun cenalu berbalik-balik,
Gugur ke tanah berderai-derai;
Pengantin baru masuk ke bilik,
Orang ramai mula bersurai.

Daun kerikil daun maman,
Ketiga dengan daun cempa;
Kenapa tuan tegak di laman,
Naik ke rumah tuan kenapa?

Daun pandan mati layu,
Boleh ganti bunga kelapa;
Abang kata yatim piatu,
Boleh cari ibu dan bapa.

Daun terap gugur melayang,
Jatuh ke laut disambar tenggiri;
Tidur sekejap bangun abang,
Bukan rumahtangga sendiri.

Den jajar maka den kisai,
Esok tidak ke ladang lagi;
Diajar badan merasai,
Esok tidak tergamang lagi.

Di dalam semak ada kebun,
Di dalam kebun ada bunga;
Di dalam gelak ada pantun,
Dalam pantun ada makna.

Di Kampung Hulu banyak temu,
Tumbuh bersepah merata-rata;
Adakah tahu nasib temanmu,
Sentiasa berendam airnya mata.

Di tengah padang sambil berlari,
Kita bermain hingga ke petang;
Dengan tidak aku sedari,
Rupa-rupanya dibenci orang.

Di tepi pagar pokok kuini,
Buahnya gugur ke dalam paya;
Kalau kutahu nasib begini,
Apa guna hidup di dunia.

Dua tiga ikan tenggiri,
Mana sama ikan sembilang;
Dua tiga kawan dicari,
Mana sama sahabat tersayang.

Disandarlah batang tabungku,
Batang katir berduri-duri;
Didengar akan bunyi pantunku,
Tidak terfikir badan sendiri.

Dua belas bintang di langit,
Bintang diraja dari Melaka;
Kata tuan pinang bergigit,
Kapur bercampur air mata.

Duduk bermain di tepi kolam,
Ada juga memasang lukah;
Kita bertunang selama enam bulan,
Lepas itu bolehlah menikah.

Duduk di pintu memandang bulan,
Hari tak ribut awan melindung;
Kalau begitu nasibmu tuan,
Bertuahlah perut ibu mengandung.

Encik Andak menjual kain,
Kain sutera dari seberang;
Walaupun banyak sahabat yang lain,
Manakan sama tuan seorang.

Encik Kolok orang Temiang,
Encik Mat Tahir pengasuhnya;
Ambil golok buat menyiang,
Ambil air pembasuhnya.

Encik Mat Tahir pengasuhnya,
Muara peti pandai menyala;
Ambillah air buat pembasuhnya,
Hiduplah api menyala-nyala.

Encik Wahid anak Melayu,
Hari-hari mengail udang;
Orang menjahit saya tak tahu,
Tentang menggunting jangan bimbang.

Gadis Minah mengepal nasi,
Nasi mentah dikepal jangan;
Bismillah menguat nyanyi,
Nyanyiku salah bergusal jangan.

Gajah ini gading sembilan,
Turun menyodok dalam dusun;
Beralih tahun beralih bulan,
Nanti dengar hamba nak pantun.

Galah cengal perahu cengal,
Muatlah sarat batang nibung;
Sudah kenal buat tak kenal,
Itulah tanda awaklah sombong.

Galah tak sampai disambung dua,
Lancang tenggelam kita berenang;
Boleh jumpa dengan orang tua,
Boleh abang kira meminang.

Galang kaki kelarai dua,
Banyak orang pergi menempah;
Hidup tidak kerana doa,
Mati tidak kerana sumpah.

Gali perigi di tengah padang,
Boleh saya menumpang mandi;
Ingat saya umur panjang,
Bulan depan ke mari lagi.

Gelap sungguh di tengah malam,
Kerana bulan belum purnama;
Ramai sungguh orang di laman,
Saya tak tahu datang dari mana. 180

Gemai ini gemai Cik Munah,
Dalam berisi lada muda;
Zaman ini zaman si tuah,
Kalau mati pun tidak berdosa.

Gulai kangkung gulai gumbiling,
Sayang kucai berkudut-kudut;
Amunku batah tinggal seorang,
Kampung usai menjadi kusut.

Gulai lemak sayur cendawan,
Anak udang goreng berlada;
Kasih emak sepanjang jalan,
Sayang saudara sama berada.

Gulai umbut pucuk paku,
Nasi terletak di muka pintu;
Lemah lembut puteri Melayu,
Bijak memasak menjahit baju.

Gunting saya gunting besar,
Jarang sekali guntingkan daun;
Anak saya sudah besar,
Manakan nak nanti barang setahun.

Gunting saya gunting kecil,
Jarang sekali guntingkan daun;
Anak saya lagi kecil,
Minta tangguh barang setahun.

Gunung Ledang nampak berbalam,
Tempat berkelah anak Belanda;
Kalau diperiksa hati di dalam,
Tentu terkilas apa yang ada

Guruh dan petir penuba limbat,
Pandan terjemur lindung bayang;
Dua tiga mencari ubat,
Badan bertemu nan kok senang.

Guruh petir penuba limbat,
Pandan berjemur di seberang;
Dua tiga mencari ubat,
Ubat dapat badanlah hilang.

Hari Isnin kucing berlumba,
Orang Tambirat berkayuh;
Berani jamin berani bawa,
Di dalam surat mengata sungguh

Hari mana mengayak abu,
Hari tuan mengayak pasir;
Bagaimana bercerai ibu,
Bagai roboh kota besar.

Hari panas membakar lalang,
Tedung berketuk di dalam tanah;
Cincin emas sudahlah hilang,
Tinggal sepasang cincin suasa

Hari redup mari menuba,
Dapat seekor ikan tapah;
Bukan hidup kerana doa,
Mati tidak kerana sumpah.

Hari ribut pergi ke pulau,
Sayang hati ditinggal orang;
Apa diribut kita bergurau,
Sudah mati tinggal seorang.

Hati-hati pinang muda,
Pinang muda makan pipit;
Sampai hati meninggal saudara,
Tidak mengenang barang sedikit.

Helang-helang kaki pelanduk,
Gulai daun dipatah dua;
Kamek sehelang dengan juak manuk,
Lama laun sudinya juga.

Hendak berembun pergi ke pulau,
Datang ke pulau pergi ke tanjung;
Lagilah hidup kita bergurau,
Sudahlah mati bergolek seorang.

Hendak berumah berumah pula,
Rumah saya di tengah huma;
Hendak bermaaf bermaaf pula,
Maaf seorang maaf semua.

Hendak dulang kuberi dulang,
Dulang berisi antah bertih;
Hendak pulang kuberi pulang,
Pulang beriring gajah putih.

Hendak majun diberi majun,
Majun ada di dalam jeruk;
Hendak pantun diberi pantun,
Pantun orang tua tidaklah elok.

Hendak majun kuberi majun,
Majun saya dalam kuali;
Hendak pantun diberi pantun,
Pantun saya tidak terbeli.

Hendak mangkuk kuberi mangkuk,
Hendak serunai kuberi serunai;
Hendak masuk kuberi masuk,
Aku bayar wang tunai.

Hendak mangkuk kuberi mangkuk,
Mangkuk berisi bunga pinang;
Hendak masuk kuberi masuk,
Hendak masuk belanja tunang.

Hendak menuju ke Pulau Deli,
Buah pauh di dalam guni;
Tenggelem kapal datang ke mari,
Adakah kenal orang di sini

Hilang baju kerana tapak,
Hilang berjalan di pohon pauh;
Hilang malu kerana takut,
Melangsung adat hajat saudara jauh.

Hilang kapak di dalam padi,
Hilang dilamun para-para;
Hilang bapak boleh diganti,
Hilang ibu amat bicara

Hujan lebat selalu bah,
Bunyi berdentum tali temali;
Hendak balik serba salah,
Baik kulangsung sama sekali.

Hujan ribut kita ke pulau,
Terendak Cina jatuh ke ruang;
Masa hidup kita bergurau,
Kalau mati tergolek seora

Hujan ribut kita ke pulau,
Anak kekati menebar wang;
Terlanjur hidup kita bergurau,
Sudah mati tergolek seorang.

Hujan turun bercurah-curah,
Ramai manusia lari berlindung;
Hidup saya sebatang karah,
Dalam hujan mencari untung.

Ibu kapur di lembah paya,
Tebang balam di cuaca redup;
Sirih sekapur persembahan saya,
Minta disimpan seumur hidup.

Ikan julung dalam telaga,
Makan kail umpan terlekat;
Tiada beruntung badan celaka,
Buat baik menjadi jahat.

Ikan keli mati di laut,
Banyak lemak berlinang-linang;
Tangan kiri menyapu habuk,
Tangan kanan mengunjuk pinang.

Ikan puput di tengah muara,
Si jarang gigi timbul berkawan;
Malang hidup tiada saudara,
Kalau sudi terimalah tuan.

Ikan putih terenang-renang,
Anak sepat dari muara;
Sungguh sedih bila dikenang,
Sahabat setia buat angkara.

Ikan sembilang di dalam raga,
Ditiup dengan sampah jerami;
Naik membilang anak tangga,
Turun selangkah jejak bumi.

Ikan sepat ikan muara,
Anak itik di pinggir kali;
Meminta maaf pada saudara,
Kesilapan besar sama sekali.

Ikan tenggiri ikan di laut,
Pecah lemak berlinang-linang;
Tangan kiri mengirai rambut,
Tangan kanan menumbuk pinang.

Ikan togok laut tumpuk,
Air deras udang tak masuk;
Hari malam mataku mengantuk,
Ambil api di puntung rokok.

Jangan disumpit pelanduk kami,
Pelanduk kami sudah berpagar;
Jangan diikat si pantun kami,
Pantun kami baru belajar.

Jangan dulu memecah dulang,
Saya menjual hidang kain;
Jangan dulu berempat pulang,
Belum puas kita bermain

Janganlah kesal berhari-hari,
Bertimbal turun ke mata;
Barang salah menyusun jari,
Junjung dengan tutur kata.

Jauh sungguh Sungai Kelantan,
Biji selasih disiram minyak;
Jauh sungguh abang datang,
Terima kasihlah banyak-banyak.

Jauh-jauh kapal datang,
Jintan selasih dimasak minyak;
Tuan jauh ke mari datang,
Terima kasih banyak-banyak.

Jika menangkap ikan gelama,
Masak rempah sedap rasanya;
Ada yang baru ada yang lama,
Mintalah saya berjalan sama.

Jika puan betul nareka,
Tareka saya kain kasa;
Jika tuan benar suka,
Pulang berunding dengan ibu bapa.

Kacang Cina dalam kota,
Rampai-rampai di Tanjung Puri;
Hidup di dunia bersuka ria,
Seronok-seronok sementara nak mati.

Kacang kelisa tumbuh di dusun,
Tumbuh sepohon di tiang layang;
Kami menyambut bersusun-susun,
Kerana meraikan pengantin datang.

Kacip baling ke bulan,
Bintang tidak meninggi hari;
Saya ke mari menghadap tuan,
Tuan nak tolak ke mana lagi.

Kail hitam panjang sembilan,
Tiba di pasar tidak membeli;
Kirim salam pada tuk besan,
Saya menghantar tidak seperti.

Kain baru kain cukin,
Bawa mari kesat dulang;
Sudah buruk lagi miskin,
Mana nak guna kepada orang.

Kain buruk dalam besen,
Buat membungkus kulit belulang;
Saya buruk lagi miskin,
Manalah hendak dipeduli orang.

Kain cukin basahan mandi,
Jemur mari di hujung galah;
Ditamatkan pantun kebajikan budi,
Memohon ampun barang yang salah.

Kain cukin kain sutera,
Buat pengesat kaki dulang;
Sudah miskin bertambah hina,
Buat apa kepada orang.

Kain dibeli lalu diikat,
Beli di bandar Kuala Lumpur;
Inilah juga tanda muafakat,
Saya membawa sirih sekapur.

Kain kudi di atas atap,
Belum patah jarum hilang;
Kalau sudi abang bersantap,
Kalau tak sudi janganlah buang.

Kain lama ditukar baru,
Menanti kain dari kedai;
Permainan kamek diulang baru,
Sementara menanti orang yang pandai.

Kalau abang menebang ara,
Hendaklah tebang dengan kapak;
Kalau abang hendak berkira,
Pergi berjumpa ibu dan bapak.

Kalau ada jarum patah,
Jangan simpan dalam peti;
Kalau ada silap salah,
Jangan simpan dalam hati.

Kalau ada padi di ladang,
Boleh abang menumpang mandi;
Kalau ada umur panjang,
Tahun hadapan berjumpa lagi.

Kalau Cik Jah ke rumah Cik Maimun,
Singgah ke kedai membeli bunga;
Mati gajah tulangnya menimbun,
Mati hamba nak tinggalkan nama.

Kalau jeruju bandar Siam,
Siang-sianglah kok padi;
Kalau beralih tempat diam,
Ulang-ulang mandi kini.

Kalau memanah burung helang,
Bolehkah tidak dia mengena;
Kalau kakanda datang meminang,
Adakah adinda sudi menerim

Kalau menangkap ikan kurau,
Rentang jaring hingga ke seberang;
Adat hidup sahabat bergurau,
Sudah mati terbaring seorang

Kalau mengutip bunga di taman,
Bunga melur ada duri;
Siapa dia orang di laman,
Silalah naik kalau sudi.

Kalau naik tangga sendiri,
Jangan pula takut terjongkit;
Dipandang orang berlari-lari,
Dipandang sendiri terjingkit-jingkit

Kalau pecah piring ini,
Saya tidak berkirim lagi;
Kalau sudah nyanyi ini,
Saya tidak menyanyi lagi.

Kalau sudah tetak nipah,
Mari kita mengambil rumbia;
Kalau sudah kujumpa ayah,
Barulah padan seia sekata.

Kalau tiada kayu gaharu,
Hampas tebu jadi berbau;
Sudahlah adat kita Melayu,
Tak boleh dekat belum bersatu.

Kalau tidak bunga di Tanjung,
Bila beringin ke Tasik Kembang;
Kalau tidak intan dijunjung,
Saya tidak ingin kepada orang.

Kalau tidak Sarawak sempit,
Di situ juga jalan kuda;
Maaf saya suaraku sakit,
Ke situ juga melihat harta.

Kalau tuan ke Tanjung Batu,
Singgah beli sebatang galah;
Kalau tuan kata begitu,
Saya berani mengaku salah.

Kalau tuan makan jagung,
Jagung dimakan burung merpati;
Kita ini sama berpantun,
Pantun kita mohon berhenti.

Kalau tuan membelah jati,
Belah jangan terlampau panjang;
Jangan tuan berkecil hati,
Saya memohon izin pulang.

Kalau tuan membeli nangka,
Getah jangan tuan salaikan;
Pantun ini pantun seloka,
Mana salah harap maafkan.

Kalau tuan memerah susu,
Susu ditaruh di dalam talam;
Saya tidak lupa ibu,
Ibu menjaga siang dan malam.

Kalau tuan mengasah kapak,
Asah mari sepagi hari;
Saya bawa sirih setepak,
Untuk saya ganti diri.

Kalau tuan naik perahu,
Anaklah Cina melipat kain;
Kalaulah tuan ingin nak tahu,
Kitalah bukan orang lain.

Kalau tuan pergi ke hulu,
Ambilkan saya buah saga;
Jangan tuan buat tak tahu,
Lepas menuai kahwinlah kita.

Kalau tuan pergi ke hulu,
Petikkan saya bunga sena;
Kalau tuan pergi dahulu,
Jangan saya dipandang hina.

Kalau tuan pergi ke Rasib,
Saya mengirim beli padi;
Sudah kubuat pada nasib,
Nasib saya apa nak jadi.

Kalau tuan pergi ke selat,
Sarat dengan membawa bunga;
Sedangkan orang dagang lat,
Inikan pula keluarga sama.

Kalaulah sudah pergi ke paya,
Marilah kita pergi ke hulu;
Kalau sudah seia sekata,
Marilah kita berjumpa ibu.

Kambing saya kambing Cik Baham,
Dia makan bawah rumah;
Budak ini sangat pemaham,
Mana sirih tak boleh dikunyah.

Kami malas berhuma panjang,
Turun permatang naik permatang;
Kami malas hidup bujang,
Sirih datang pinang pun datang.

Kami malas menyabung kacung,
Kacung ada di atas pagar;
Kami malas menyambung pantun,
Pantun kami baru belajar.

Kampung Jambak menyisir rimba,
Di balik kampung Mandaling;
Sedang dusanak lagi tak hiba,
Konon kok orang berkeliling.

Kanang-kanang berisi manik,
Manik bersunting si bunga padi;
Tuan datang silakan naik,
Sedia air pembasuh kaki.

Kapal berlabuh di Kuala Sepetang,
Membawa dagang ke luar negeri;
Kerana hari telah petang,
Mohon izin mengundur diri.

Kapal puan berisi manik,
Jambu air tepi perigi;
Tuan datang silalah naik,
Ambil air pembasuh kaki.

Kawah kuali minta tudungi,
Hendak berisi haruman padi;
Kalau sekali kami ampuni,
Jangan saja sekali lagi.

Kayu api dibelah-belah,
Dibelah orang dengan parang;
Hidup di dunia serba salah,
Datang ke sini dikata orang.

Kayu cendana titian beruk,
Orang menebang kayu beraksa;
Hamba ini orang buruk,
Tambah hina tidak berbangsa.

Kayu senduk kayu jati,
Mari letak atas permatang;
Nasi sejuk sudah basi,
Nantikan tuan lambat datang.

Kayu sepang mudik ke hulu,
Masak minyak dalam belanga;
Wahai cik abang tunggu dahulu,
Emak balik baru nak tanya.

Ke hutan mencari cempedak,
Cari mari kebun Cik Siti;
Sehari makan sehari tidak,
Asal hidup jangan mati.

Ke Sungai Dungun memetik perah,
Kutip perah di Bukit Seberang;
Adik melenggang bukanlah marah,
Kerana mengenang nasib badan.

Kecil-kecil kacang kelisa,
Pandai melilit di pagar orang;
Tengok kecil mulutnya bisa,
Pandai menyakit hati orang.

Kelap-kelip kunang-kunang di rimba,
Tempat di pohon gedung;
Silap sedikit marahkan hamba,
Di manalah tempat diri berlindung

Keledek merah pucuk meranti,
Masak lemak tengah hari;
Sanak marah saudara benci,
Biarlah hamba membawa diri

Kemili sejunjung naik,
Ambil bemban pahat putarkan;
Ayuhai diri apa tak naik,
Tikar sudah dibentangkan.

Kemili sejunjung naik,
Mari digali dengan pahat putar;
Ibu bapa sendiri jemputlah naik,
Saya sudah bentangkan tikar

Kemuning dibuatkan bendul,
Semakin ditarah semakin baru;
Nasi kuning berpagar telur,
Itulah makanan pengantin bar

Kerana terhempas padanya tanah,
Lalu terhempas padanya pagar;
Tuan dijemput naik ke rumah,
Serta pula duduknya ke tikar.

Kerbau balar makan jerami,
Anak telkin di atas tembok;
Apa jua miskin kami,
Lagi miskin tidak berbapak.

Kerbau mana tambat di tubir,
Kerbau hitam melenggang tanduk;
Anak dara di balik tabir,
Anak teruna dibawa masuk.

Kerbau saya kerbau jantan,
Dia makan padang senduduk;
Kapur saya kapur intan,
Jangan dicedok dengan telunjuk.

Kereta api tak ada serombong,
Kapal pergi ke Batu Pahat;
Sekali-kali saya tak sombong,
Tapilah tuan tak tahu adat.

Keris saya keris sempena,
Pakaian anak raja Kelantan;
Sirih saya datang bertanya,
Ada tidak menaruh intan.

Kerbau saya kerbau jantan,
Jangan ditambat di pohon keduduk;
Kapur saya kapur berjintan,
Jangan diculik dengan telunjuk.

Ketam padi jerami tinggi,
Ketam pula balik pulau;
Kalau tiada kami di sini,
Siapa pula teman bergurau.

Kok den tapa burung den tapa,
Terbang anaknya si kenari;
Kok marah ibunya bapa,
Kampung kok banyak tempat berlari.

Kokok ayam sahut-menyahut,
Kokok mari di malam hari;
Anak laut pulang ke laut,
Tempat bermain setiap hari.

Kumbang berdengung memakan kelicap,
Mari diikat benang setuli;
Orang Dungun sungguhlah bijak,
Pandai sungguh mengambil hati.

Kusangka aur di tanah seberang,
Rupanya tebu tumbuh di busut;
Disangka jujur hati orang,
Rupanya muslihat mencapai maksud.

Labuan tidak berbukit,
Tempat menjemur buah pala;
Maaf tuan bukan sedikit,
Sebanyak rambut atas kepala

Laju ajong terkikis-kikis,
Si ambang-ambang si bunga kayu;
Nombor satu mister Inggeris,
Nombor dua cikgu Melayu.

Laju-laju perahu laju,
Singgah semalam laut China;
Tahu tuan saya pun tahu,
Saya miskin jangan dihina.

Lama tidak pergi ke ladang,
Burung turun ke batang padi;
Kuharap umur panjang,
Bila kita dapat berjumpa lagi?

Lipat kain kemas-kemas,
Koyak cukin di hujung paku;
Kalau kaya berlaksa emas,
Kerana miskin tidak laku.

Lipat kain lipat baju,
Cik Esah mengetam padi;
Hutang malu bayar malu,
Jangan susah dalam hati.

Lubuk Danti tepian Danta,
Buaya mudik tenang-tenang;
Kunci hati tutuplah mata,
Supaya badan rasa senang.

Maaf saja kena ke baju,
Rasa dapat mencuci kain;
Maaf saja kerana malu,
Rasa tak dapat duduk bermain.

Mak Minah duduk di pintu,
Duduk di pintu merejut renda;
Merana hamba yatim piatu,
Tiada ayah tiada berbonda.

Makan cempedak dari seberang,
Buang kulit di tepi hutan;
Bukan salah darinya orang,
Sudah nasib permintaan badan.

Makan ketupat di kecung baru,
Lempar kulit di kaki tiang;
Dah boleh sahabat baru,
Sahabat lama tinggal buang.

Makan pinang ke mari-mari,
Kurang kapur tambah cendana;
Apa hajat tuan ke mari,
Kami juga ingin bertanya.

Makan sirih pinang gerada,
Sikit kapur tambah gambir;
Duduk dekat sama muda,
Sikit bertutur banyak bersindir

Mandi sudah berenang pun sudah,
Pergi ke kebun menggali ubi;
Bertanya sudah meminang pun sudah,
Barulah kita ke rumah tuk kadi.

Mari bertolak darilah Punggul,
Mari menuju di muara kami;
Hati di mana tidaklah sugul,
Melihat seorang anaklah kami.

Mari dikait sarang tempua,
Anak tiung pandai meniti;
Hamba duduk gelak ketawa,
Untuk mencari penghibur hati.

Mari kita memasang lukah,
Dapat seekor ikan tenggalan;
Lepas itu bolehlah bernikah,
Saudara-mara dapat berkenalan.

Mari tetak atap rumbia,
Cucuk dia berlapis-lapis;
Bila jumpa bapa saya,
Barulah dapat apa yang terpilih

Masak nasi periuk tergantung,
Pungut putung dari seberang;
Tarik nafas kenangkan untung,
Untung tidak seperti orang.

Mati dipanah raja bestari,
Raja semayam di dalam kota;
Kalau dipinang ayahnya tak beri,
Bolehlah adik pergi berkira.

Melenguh jawi belang untung,
Tiap ke sawah orang bajakkan;
Menangis nan buruk untung,
Tiap menjelang ke mana orang tidakkan.

Membawa pinang dalam raga,
Berjalan malam membawa udang;
Gadis seorang bimbang dijaga,
Tidak sama kerbau sekandang.

Mengetam padi dalam jerami,
Angkut-angkut dalam almari;
Kerana sudi akan kami,
Bila dijemput datang ke mari.

Menjual serbat sampai ke kota,
Sehari-hari pergi dan datang;
Tidak terubat hati nan luka,
Terkenang sahabat jauh di seberang.

Menumbuk orang di Kampung Atar,
Tembulat mengejut ayam;
Biar dulu kok terlantar,
Di mana boleh sama dalam.

Merayu-rayu si burung pungguk,
Hinggapnya pula di hujung dahan;
Ke tanah suci lalu dijenguk,
Ke rumah hamba haram tak datan

Merpati ditangkap kucing,
Tangkap mari tepi kota;
Besar hati orang miskin,
Hari-hari duduk bersuka.

Muar belum bernama Muar,
Muar bernama Libar Condong;
Lucut baju lucut seluar,
Besarlah sial malang merundung.

Mudik ke hulu kepayang luruh,
Buat sunting bunga delima;
Unjuk sirih pinang jatuh,
Bagi tidak saya terima.

Mudik ke hulu pengayuh jatuh,
Buat bersunting bunga delima;
Unjuk sirih pinang jatuh,
Baru tidak berjari lima.

Musim durian rambutan masak,
Manggis saja membawa diri;
Cincin berlian permata rosak,
Dipakai anak Raja Baiduri.

Musim ribut pergi ke pulau,
Terendak Cina jatuh ke ruang;
Lagi hidup kita bergurau,
Kalau mati tergolek seorang.

Naik bukit terkedok-kedok,
Hendak cari damar batu;
Habis kering bergadai golok,
Hendak sambut anak menantu.

Naik gunung mana arak,
Batu mana tanah air;
Rendah gunung tinggi arak,
Dari awal sampai akhir.

Naik ke bukit bertanya anjung,
Buat tanam pisang baka;
Kandar sirih sembilan junjung,
Nak meminang anak pusaka.

Nak berkebun berkebun sangat,
Buah limau masak layu;
Nak berpantun pantun sangat,
Macam Cina masuk Melayu.

Nak dulang kubagi dulang,
Dulang bekas hantar bertih;
Nak pulang kubagi pulang,
Pulang cik tuan gajah putih pulang

Nak majun kubagi majun,
Majun sebutir di dalam gelas;
Nak pantun kubagi pantun,
Pantun sebutir tidak berbalas.

Nan tak di landai nan den landai,
Nan tak dilandung pandan muda;
Nan tak orang rasai nan den rasai,
Nan tak rang tanggung den galas pula.

Nasi kunyit tinggi berdiri,
Mari makan di atas meja;
Dari jauh hamba ke mari,
Untuk berjumpa sahabat semata.

Orang berbendang kita berbendang,
Tapi tak boleh bekerja awal;
Kerbau sekandang boleh dikandang,
Manusia seorang tiada terkawal.

Orang berkampung dari hulu,
Tanam kelapa rata-rata;
Senang susah tanggung dahulu,
Pada siapa hendak dikata

Orang berkayuh dalam perahu,
Kerana hendak mudik ke hulu;
Minta selamat pengantin baru,
Dari anak hingga ke cucu.

Orang berkebun saya berkebun,
Dalam kebun bertanam bunga;
Orang berpantun saya berpantun,
Dalam pantun ada makna.

Orang berkuda lalu dipacu,
Pacu oleh budak-budak;
Mahal sutera beli belacu,
Tampal-tampal berkain juga.

Orang berperang jatuh tersungkur,
Buat kubu sebelah kiri;
Adat di hutan harimau mengambur, adat
Adat lalang makan api.

Orang berumur kamek jeramek,
Saja dinding beri belanja;
Apa dicemas kepada kamek,
Hidup miskin kurang berharta.

Orang bujang memakai kain,
Sudah berkain berbaju tidur;
Bukan kami pandai bermain,
Sebab bermain malulah undur.

Orang Cina dari Kuantan,
Nak belayar pergi ke Arab;
Abang sungguh pandai berpantun,
Semua pantun dapat dijawab.

Orang Cina pergi ke China,
Datang ke China berdagang babi;
Tuan punya saya pun punya,
Sekerat seorang kita berbahagi.

Orang datang berduyun kereta,
Hendak makan jamuan raja;
Boleh berjumpa ayah dan bonda,
Di situ boleh abang berkira.

Orang hulu pulang ke hulu,
Sampai ke hulu menyangkul busut;
Bila terkenang zaman dahulu,
Hati yang baik menjadi kusut.

Orang ke hulu pasang perangkap,
Anak kayu habis ditebang;
Orang tertipu dalam gelap,
Saya tertipu dalam bimbang.

Orang Keling berkedai rempah,
Asam paya melawan cuka;
Sudah nasib tuan menempah,
Barang dicari kerap berjumpa.

Orang Padang berukir-ukir,
Membuat ukiran di kayu jati;
Terpandang tuan sedang berfikir,
Saya merasa sakit hati
Orang sembahyang lima waktu,
Dalam sujud bunyi beduknya;
Laut darat dunia satu,
Langit juga akan tutupnya.

Pagar buluh anggitnya jarang,
Akan pemagar sapi jerasa;
Dalam sepuluh jarang seorang,
Hanya yang tahu menimbang rasa.

Pagi-pagi rebus ketupat,
Ambil api sorongkan sabut;
Saya pergi jangan diumpat,
Siang malam mintalah sebut.

Paku pemahat paku perigi,
Paku jangan berombak lagi;
Aku jahat aku pergi,
Aku jangan disebut lagi.

Panas sungguh hari ini,
Pandang ke langit sisik tenggiling;
Marah sungguh tuan ini,
Saya datang hadap ke dinding.

Pandan ini pandan lanjiwang,
Mandi-mandian orang beranak;
Badan ini badan terbuang,
Benci-bencian orang yang banyak.

Parang puting jatuh ke lubuk,
Sudah ke lubuk ke lubang pula;
Awak miskin terlalu buruk,
Sudah buruk berhutang pula.

Pasir Raja diletak papan,
Kuala Jengal diletak besi;
Pasir Raja tempat mencari makan,
Kuala Jengal tempat mati.

Pecah wadah bunyi berderang,
Orang mengail ikan gelama;
Hutan diredah laut direnang,
Hajat berjumpa sahabat lama.

Pela-pela semudik ke hulu,
Kalau tak mandi dibasuh muka;
Pela-pela sedapat malu,
Kalau tak mati meninggal jasa.

Pelanduk punca sembilan,
Anak di dalam isi sepuluh;
Harap hati nak tidur bertilam,
Tubuh tergolek di lantai buluh.

Penuh sebakul atap rumbia,
Gugur jatuh bertindih-tindih;
Sudah jadi resam dunia,
Perangai insan suka memilih.

Pergi bersiar di Padang Kota,
Udaranya nyaman di malam hari;
Lembaran bersua di ruangan mata,
Alamat takzim salam diberi.

Pergi ke bukit berburu rusa,
Boleh seekor rusa betina;
Malangnya nasib dirilah hamba,
Hidup di dunia tidak berguna.

Pergi ke darat mencari gambir,
Ada secemur rupa serkap;
Sudah tersurat kepada takdir,
Ada sedikit tersalah cakap.

Pergi ke laut lalu menjala,
Dapat banyak ikan cencaru;
Minta jauh segala bala,
Minta selamat pengantin baru.

Petang-petang berisi manik,
Jambu air letak di tepi;
Tuan datang marilah naik,
Itulah air pembasuh kaki.

Petang-petang duduk melengung,
Sarang penyengat dalam padi;
Adinda duduk di pucuk payung,
Kanda di bawah menjunjung duli.

Pinang muda atas ragian,
Pinang tua beragi-ragi;
Kalau muda tahi gigian,
Biar tua sekali-kali.

Pisang berangan tumbuh di batu,
Buah ada jantung tiada;
Sudah malang untung nasibku,
Tuah ada untung tiada.

Pisang emas balik rumah,
Daun keladi dibalik-balik;
Minta maaf tuan rumah,
Esok pagi saya nak balik.

Pisang raya masak di raya,
Pisang burung masak di ujung;
Yang kaya sama kaya,
Yang miskin mencari untung.

Pisang raya masak di raya,
Pisang lilin masak di hujung;
Orang kaya sama kaya,
Orang miskin mengadu untung

Pisang raya samanya raya,
Pisang kulilit masak di hujung;
Tuan kaya samalah kaya,
Kami miskin mencari untung

Pisang tanduk masak sekerat,
Pisang datang negeri China;
Garam di laut asam di darat,
Sudah menjadi adat dunia.

Pohon mangga dalam kebun,
Berbuah lebat patah dahan;
Salah silap minta ampun,
Mana termakan minta halalkan.

Pohon mengkudu tumbuh rapat,
Rapat lagi pohon jati;
Kawan beribu mudah dapat,
Sahabat setia susah dicari.

Pohon salak batangnya condong,
Mari disisik dalam kendong;
Bukanlah salah ibu mengandung,
Salah sendiri badan menanggung

Pohon semancun tinggi sehasta,
Tempatlah budak berjuntai kaki;
Itulah pantun bukankah kata,
Bukannya budak tidak mengerti.

Pohon temu tumbuhnya rapat,
Rapat lagi si pohon jati;
Kawan beribu mudah didapat,
Sahabat setia payah dicari.

Pohon teratai pohon telepak,
Pohon tebu di dalam padi;
Sirih diunjuk pinang tak dapat,
Rasa terbuku di dalam hati.

Pokok ciku pokok kuini,
Buahnya gugur ke dalam paya;
Kalau kutahu nasib begini,
Tidak guna hidup di dunia.

Pokok jelatang jangan ditebang,
Segarnya tumbuh tengah laman;
Kami ni datang umpama kumbang,
Hendak menyunting bunga di taman.

Pokok pauh di tanah seberang,
Benih berasal dari kampung;
Dari jauh kami nan datang,
Besar harapan setinggi gunung.

Pokok rumbia pokok dedap,
Manakan sampai si pokok jambu;
Sedangkan lebai lagikan tersilap,
Inikan pula kurang ilmu.

Pokok senduduk di luar pagar,
Sungguh berbunga tidak berbau;
Satu sungguh kedua benar,
Masuk ketiga saya tak tahu.

Pokok terap dipukul bayu,
Bayu sampai ke kota raja;
Sudahlah adat kita Melayu,
Pandai berpantun berguraulah senda.

Pondok menjadi bangsal,
Bangsal ada di hujung desa;
Usul menunjukkan asal,
Bahasa menunjukkan bangsa.

Potong senduduk berbelah-belah,
Mari diletak di dalam pinggan;
Telunjuk saya diberi Allah,
Suruh mencelup kapur intan.

Pucuk kaduk pucuk midin,
Daun capa dalam padi;
Rupa tiada lagi miskin,
Mana hendak membawa diri

Pucuk mempelas makan diapi,
Asapnya sampai ke Surau Raka;
Jangan belas di dalam hati,
Adik hendak bergurau saja.

Pucuk paku makanan kalui,
Dahan dedap bertaruk muda;
Tak berbalas tak berbalui,
Tak ada adab sesama muda.

Pucuk perah selara perah,
Pucuk kundur ngelai ke hulu;
Ibu dan bapa sudahlah marah,
Biar saya balik dulu.

Pulau Belukar batang gelugur,
Ambil galah pelepah jantung;
Bentang tikar tempat tidur,
Baik abang kira pantun.

Pulau Pisang pasang api,
Tempat kapal belayar malam;
Kalau belum nak mati,
Badan tercampak ke lubuk dalam.

Pulau Rebak selat selari,
Tiga dengan Kuala Cenang;
Sudah nampak sahabatku mari,
Hati di dalam rasa senang.

Puput bayu Seri Ledan,
Tengah bermain disambar helang;
Terlucut baju dari badan,
Terhurai kain dari pinggang.

Putik pauh dari Pematang,
Pijat-pijat dari Patani;
Dari jauh tuan datang,
Apa hajat datang ke sini.

Putus tunang raja di Daik,
Pecah terhempas ke tudung saji;
Terang bulan cuaca pun baik,
Riuh rendah suka di hati.

Raden Galuk meniti batang,
Panji-panji turun berkuda;
Dari jauh saya datang,
Melangsung hajat tuanlah semua.

Raja Brooke hilir belayar,
Memberi tabik gudang kompeni;
Kepala tunduk menahan sabar,
Hendak bercakap tidak berani.

Raja Hindi raja bermisai,
Nampak seperti tanduk gula;
Hutang Samsir belum langsai,
Hutang kajang datang pula.

Raja Indo mudik Basadam,
Basadam keliling bukit;
Sambut rang gila adik ke ayam,
Kan menjadi bangkalai sumpit.

Raja panggil memukul canang,
Canang dipukul bertali-tali;
Hendak meminta ataupun meminang,
Bolehlah abang meminta sendiri.

Rama-rama bertali benang,
Pergi ke kota Inderaputera;
Bilakah kala menjadi senang,
Menderitalah hamba setiap masa.

Rampai-rampai di Tanjung Puri,
Pulau Pandan jauh ke tengah;
Seronok ramai sementara tak mati,
Kalau mati dikandung tanah.

Rasa tinggi Gunung Ledang,
Tinggi lagi asapnya api;
Berapa tinggi mata memandang,
Tinggi lagi harapnya hati.

Raut-raut bemban kuraut,
Kurautan dimuntung halu;
Sahut pantunku sahut,
Kalau tidak kubagi malu.

Rebah jatuh ke tanah merah,
Kerana terhempas pada tanah;
Inikan pula daging darah,
Menjemput tuan naik ke rumah.

Rebus ketupat dalam kuali,
Apa kuahnya rendang kari;
Orang bersahabat di sana sini,
Tidak luput harumnya di hati.

Ribut turun bersama angin,
Kapal belayar menuju seberang;
Sudah kucuba kawan yang lain,
Tidak sama sahabat seorang.

Ribut-ribut bawa pukat,
Melihat gelung di Selat Jawa;
Kita hidup tanda muafakat,
Tolong-menolong tanda sejiwa.

Ribut-ribut tumpang kereta,
Ayam tergolek di dalam belanga;
Orang berebut sama sebangsa,
Tak molek secara mana.

Rumah besar alang besar,
Rumah datuk permaisuri;
Kalau tidak hajat besar,
Bilakah tuan datang ke mari.

Rumah besar alang pun besar,
Rumahnya datuk permaisuri;
Alang-alang kerja besar,
Tidakkan saya sampai ke mari.

Rumah besar di Padang Rambai,
Tiang tak sampai tiga puluh;
Santaplah tuan keratap gambai,
Sirih tanam baru nak tumbuh.

Rumah besar di Sungai Rambai,
Tiangnya sampai delapan puluh;
Makanlah dulu sirih cabai,
Sirih ditanam belum tumbuh.

Rumah cengal bertiang berancak,
Kayu jelutung si kayu nangka;
Orang Jengal sungguhlah bijak,
Pandai berpantun pandai berseloka.

Rumah datuk di Tanjung Mawar,
Ayam denak si tiga puluh;
Santap tuan memakan tawar,
Sirih tanam belum tumbuh

Rumah ini tiang sepuluh,
Mari kudiri di atas rakit;
Malam ini malam kesepuluh,
Kerana menunggu orang sakit.

Rumah kecil alang besar,
Rumah datuk permaisuri;
Kalau tidak berhajat besar,
Tidak saya sampai ke mari.

Rumah kecil tiang seribu,
Rumah besar mengisi padi;
Sedang kecil menurut ibu,
Sudah besar menurut laki.

Rumah kecil tiang seribu,
Rumah besar tiang sebatang;
Masa kecil ditimang ibu,
Sudah besar ditimang orang.

Rumah kecil tiang seribu,
Rumah besar tiang sembilan;
Dari kecil dikandung ibu,
Sudah besar mencari makan.

Sagalah buluh anggitnya jarang,
Akan pemagar kijang rusa;
Dalam sepuluh ada seorang,
Yang tak tahu bertimbang rasa.

Saja bertiga datang ke padang,
Datang ke padang membeli baju;
Fasal saja duduk bergendang,
Duduk bergendang melepas malu.

Sakit kaki kena lalang,
Kena pula di bayang dusun;
Sakit hati kata dek orang,
Kata pula di dalam pantun.

Sakit kaki tikam selumbar,
Selumbar ada di kaki Wan;
Sakit hati rasa nak khabar,
Kalau khabar malulah kawan.

Sakit saya kena cepu,
Tidak sakit kumbang menyengat;
Sakit saya kerana tipu,
Dalam tipu tidak ingat.

Sampan berlabuh di tepi teluk,
Hendak belayar Kuala Daik;
Santan dimakan kalau mabuk,
Tentu bercampur barang tak baik.

Sapu tangan jatuh ke laut,
Jatuh dengan alas-alasnya;
Panjangnya tangan saya menyambut,
Satu pun tiada balasnya.

Sapu tangan penyapu tangan,
Dibawa orang ke tepian;
Malang tangan celaka tangan,
Dalam tangan untung bahagian.

Sarang penyengat di hujung tualang,
Rama-rama bertalikan benang;
Sungguh nasibku bercampurkan malang,
Bilakah kala menjadi senang?

Satu tiga golongan di dahi,
Bertambah pula sojen di pipi;
Kamilah tetap diam di sini,
Kami tak dapat menahan pergi.

Saya nak mandi tambatan banyak,
Tambah pula ada buaya;
Saya nak berbini hutang banyak,
Tambah pula hina dina.

Saya tidak membakar arang,
Abang mengepit si bunga dedap;
Saya tidak kata sebarang,
Kerana abang tak tahu adab.

Saya tidak pandai berhidang,
Sebarang hidang saya hidangkan;
Saya tidak pandai bergendang,
Sebarang gendang saya gendangkan.

Saya tidak pandai melampun,
Sebarang lampun saya lampunkan;
Saya tidak pandai berpantun,
Sebarang pantun saya pantunkan.

Saya tidak pandai menali,
Sebarang tali saya talikan;
Saya tidak pandai menyanyi,
Sebarang nyanyi saya nyanyikan.

Sayalah tidak pandai berkain,
Sebarang kain saya kainkan;
Saya tidak pandai bermain,
Sebarang main saya mainkan.

Sayalah tidak pandai meraut,
Sebarang raut saya rautkan;
Saya tidak pandai menyahut,
Sebarang sahut saya sahutkan.

Sayang anggerik bunga di hutan,
Patah tangkai terkulai layu;
Cantik di muka nampak kelihatan,
Buruk di hati siapa tahu.

Sayang belatuk burung belatuk,
Mari hinggap di kepala tangga;
Semadi abang duduk mengantuk,
Mari abang menari caca.

Sayang Cik Andak menjerat landak,
Di tepi perigi ikan puyu;
Orang tergelak saya tergelak,
Orang benci saya tak tahu.

Sayang Cik Mamat pergi menuba,
Ikan dituba habis mati;
Orang dijemput sudahlah tiba,
Riuh-rendah orang menanti.

Sayang dewa membuang dewi,
Sedikit kapur banyak gambir;
Banyak bohong buat sendiri,
Sedikit tutur banyak sindir.

Sayang ke bukit pergi ke daerah,
Tempat orang menyidai kain;
Main sedikit jangan marah,
Memang adat kita bermain.

Sayang ke darat ke padang embun,
Anak tekukur mandi berendam;
Hidup tuan dengan berpantun,
Rasa menghibur hati yang dendam.

Sayang kedondong buah di hutan,
Tergantung-gantung dengan buahnya;
Jika ada untungmu tuan,
Besar diharung dengan tuahnya.

Sayang keduduk balik rumah,
Akar menyorok tiang seri;
Tuan duduk tuan punya rumah,
Kami nak pulang minta diri.

Sayang ketupat dimakan sahur,
Belah empat taruh di dulang;
Mana tempat hendakberhibur,
Atas bakat bawah karang.

Sayang pandan tidak berhujung,
Mana nak sama hujung mengkuang;
Nasib badan tidak beruntung,
Yang untung cuma seorang.

Sayang Santubong berkota nibung,
Haji Ahmad kepala kampung;
Alang nan sakit badan menanggung,
Siang dan malam main berkampung.

Sayang selasih berisi minyak,
Bunga cengkih di jalan raya;
Terima kasih banyak-banyak,
Sudi datang ke rumah saya.

Sayang selasih di Bukit Dulang,
Diputik sedulang laut Sebandi;
Terima kasih berulang-ulang,
Sudi menjemput kami di sini.

Sayang selasih ditumpah minyak,
Bunga jengkang dengan jerami;
Terima kasih banyak-banyak,
Kerana sudibersama kami.

Sayang Senggora pulau di laut,
Tempat kapal pergi datang;
Hidup kita antara maut,
Cari pagi makan petang.

Sayang serusup tiang balaiku,
Penyucuk mari kayu simpur;
Kasilah sigup sama kiraiku,
Minta cukupi pinang sekapur.

Sedap sungguhbunga gatang,
Jangan diletak atas gelegar;
Bukanlah datang sebarang datang,
Datang membawa hajat yang besar.

Sedih sungguh teringatkan bukit,
Kerana bukit tiada berkayu;
Sedih sungguh teringatkan adik,
Kerana adik tiada beribu.

Sedikit minta sedikit,
Tidak boleh dikasi banyak;
Ada rumah di kaki bukit,
Berhibur hati orang banyak.

Sehari-hari pergi berulang,
Serbat diisi dalam cawan;
Mengenang sahabat jauh di seberang,
Lautnya luas memisahkan badan.

Sekah-sekah dahan rotan,
Dipukul ribut senjakala;
Saya tidak menaruh intan,
Tembaga buruk pada saya.

Seladang mati di padang,
Mati dipanah raja bestari;
Kalau ada anak perempuan,
Kalau pinang ayahnya tak beri.

Sepuluh hari di Teluk Ramunia,
Orang bertandak di atas tanah;
Sudah menjadi resam dunia,
Di mana bengkak di situ menanah.

Serikaya pulut udang,
Mari makan di tepi pangkin;
Orang kaya lagi berhutang,
Ini pula kita miskin.

Serindit bulunya bengkok,
Bengkok sampai ke jari kaki;
Minta sirih diunjuk rokok,
Kalau rokok mana api?

Si kuyong burung pipit,
Terbang anak tiung lampai;
Mentelah lama menaruh sakit,
Tegal dek ajal belum sampai.

Siapa kata kacang tak condong,
Semua kacang condong belaka;
Siapa kata bujang tak sombong,
Semua bujang sombong belaka.

Sipitang Kuala Tuhur,
Banyak perahu di tepi pantai;
Minta maaf kata terlanjur,
Asalkan hajat kita sampai.

Sirih kuning gagang layu,
Hentam panas sembilan bulan;
Sirih kuning hajat aku,
Hendak bertemu dengan tuan.

Sirih kuning gagang menguning,
Mari tanam belukar sana;
Seri sirih naik ke kening,
Seri pinang naik ke muka.

Sirih pinang gagang pinang,
Patah pucuk si gembila;
Cahaya pinang naik ke kening,
Cahaya sirih naik ke muka.

Sirih saya sirih Cina,
Sirih datang dari Kuantan;
Cincin saya cincin bertanya,
Ada tidak menaruh intan.

Sorong dayung ditarik dayung,
Tariklah papan sama rata;
Tuanlah pulang berkembang payung,
Kami yang tinggal jahat rasanya.

Sudah beremas beremas pula,
Emas sekupang dalam cerana;
Sudah bermaaf bermaaf pula,
Maaf seorang maaf semua.

Sudah jatuh jangan tebang,
Boleh buat mengampai kain;
Sudah lepas lagi dikenang,
Ini pula tempat bermain.

Sungguh minyak menerangkan pelita,
Hendaklah jua panjang sumbunya;
Sungguhpun banyak sahabatnya kita,
Hilang satu pilu rasanya.

Tanam mari tengah hari,
Mana didapati ada tak kena;
Saya menyusun sepuluh jari,
Jangan diumpat mana tak kena.

Tanam ubi di tepi tebat,
Orang menjala di Kampung Ulu;
Hidup mati bersama sahabat,
Sahabat setia menudung malu.

Tanam ubi tanam keladi,
Anak belanak dalam tapisan;
Tuan beristeri dia bersuami,
Ada anak boleh berbesan.

Tanjung Api pasirnya lumat,
Tempat temasya Maharaja Kobat;
Bagaimana nabi kasihkan umat,
Begitulah saya kasihkan sahabat.

Tanjung Darat Bukit Seringan,
Tempat taman raja berjuntai;
Harapku berat langit nan ringan,
Mati kempunan lamun tak sampai.

Tanjung ke tepi tanjung,
Membawa roman segenggam arang;
Berkampung kita berkampung,
Menengok kumbang singgah sekarang.

Tatang puan tatang cerana,
Tatang melukut padi paya;
Datang tuan datang semua,
Datang menghibur hati saya.

Tek kerencing orang semandi,
Cabut ekor tinggal kepala;
Tak sabit barang ke mari,
Sesal juga dalam kepala.

Telaga batu di Batu Pahat,
Dipahat Siam hendak ke Melaka;
Kalau begitu membuat jahat,
Tidak diam badan celaka.

Telah masak rambai nan manis,
Tidak boleh nan muda lagi;
Telah bengkak mata menangis,
Emak tak dapat bersua lagi.

Teluk Emas Tanjung Ketapang,
Tempat Uda mengail tenggiri;
Bersalut emas hebat dipandang,
Sayang bahasa ke mana pergi.

Telur itik baru menetas,
Menetas atas peti;
Hari baik bulan di atas,
Riuh rendah menghibur hati.

Tembilang tepi batangi,
Tembilang elok tampuknya;
Kok nan hilang boleh diganti,
Nan hilang elok lagi bangsanya.

Tengah malam waktunya sunyi,
Di daratlah makan kijang berbunyi;
Timbullah ompang denganlah pelangi,
Alamatlah hilang kemala nanti.

Tengku Muda dari Daik,
Naik ke darat menanam lada;
Jika ada nasib baik,
Di mana jatuh saya ada.

Tengok-tengok bawah batang,
Kalau ada ketam menyelit;
Tengok-tengok abang datang,
Kalau ada kirim dui

Tepi tebat pasang pelita,
Hendak menahan jerat rusa;
Dalam adat hidup manusia,
Emas perak cuma pesaka.

Terbang merbah dari Kuantan,
Hinggap singgah di ranting keduduk;
Pinang bulat saya makan,
Inikan pula pinang bertampuk.

Terbang merbah dari Kuantan,
Saya mencaruk telur pipit;
Alangkan sepah saya makan,
Inikan pula pinang bergigit.

Terlitak-litak dari pekan,
Menjinjing lauk kira-kira;
Bukannya litak dek tak makan,
Litak diremuk kira-kira.

Terung ini terung di Jeddah,
Tiada bercabang cantik lagi;
Tenung ini tenung penyudah,
Tiadakan balik lagi.

Tetak belimbing condong ke dapur,
Tetak tunjang dari dahan;
Minta sirih dengannya kapur,
Minta sekali dengan tuan-tuan.

Tetak buluh di tepi sangkak,
Buah pinang atas pagar;
Minta maaf adik kakak,
Permainan saya baru belaja

Tetak mengkuang sambil berdiri,
Mari diikat akar mempelas;
Kalau tuan menyerah diri,
Kami terima dengan ikhlas.

Tetak serentang bawa mudik,
Anak raja duduk di taman;
Duduk bertentang adik-beradik,
Bagai bunga kembang setaman.

Tiak-tiak orang berinai,
Orang berinai merah di jari;
Saya tak ada belanja tunai,
Kami datang menyerah diri.

Tidak salah junjung lembayung,
Salah pandan menggelita;
Tidak salah emak mengandung,
Salah badan buruk pinta.

Tidak tahan sakit kaki,
Kena duri dalam petak;
Tidak tahan sakit hati,
Orang menyindir dalam gelak.

Tiga ringgit angka lapan,
Sebulan tiga puluh hari;
Kalau sama kita makan,
Kalau tidak sama kita cari.

Tikus mondok tikus tempang,
Makan dia atas para;
Gadai golok gadai parang,
Nak melepas rial belanja.

Timah peteri dengan besi,
Dicantum dengan paku Belanda;
Hukum berdiri dengan saksi,
Adat berdiri dengan tanda.

Tinggi-tinggi matahari,
Anak Endau pantai Melaka;
Hilang laki boleh dicari,
Hilang bini badan binasa.

Tinggi-tinggi matahari,
Tinggi lagi bulan purnama;
Sungguh lama saya mencari,
Barulah berjumpa sahabat menjelma.

Tinggi-tinggi si matahari,
Anak kerbau mati tertambat;
Hilanglah tuan boleh dicari,
Hilang anak susah dapat.

Tinggi-tinggi si matahari,
Anak kerbau mati tertambat;
Hilanglah tuan boleh dicari,
Hilang anak susah dapat.

Tinggi-tinggi si matahari,
Sama bertimbang rumah ruang sa;
Hilang laki boleh kucari,
Hilang anak rosak binasa.

Tinggilah bukit Sungai Papan,
Nampak nan dari jalan gedang;
Maka tersebut akan berjalan,
Malukan sahabat sama gedang.

Tirai berombak-ombak,
Bantal bertekat di tepi dinding;
Biar undur hendak berkuak,
Pengantin nak masuk bersanding.

Titik atap disambung atap,
Atap disisik di dangau padi;
Banyak adat perkaralah adat,
Adat yang mana setuju di hati.

Tiung merak terbang ke rimba,
Hinggap mari di pohon pauh;
Jongnya perak layar sutera,
Makin sehari kupandang jauh.

Tuan boleh hilir ke kuala,
Naik rakit tidak berperahu;
Tuan kata bergurau senda,
Hati sakit tuan tak tahu.

Tuan makan jeruk maman,
Tiga dengan daun campur;
Sudah tuan tegak di laman,
Naik ke rumah kita bercampur.

Tudung saji terendak Bentan,
Pagar siapa tuan sesalkan;
Sudah untung peminta badan,
Pada siapa tuan kesalkan.

Tuk Sami ke Teluk Lipat,
Kain sekodi dibawa sama;
Datang kami membawa hajat,
Kalau sudi minta terima.

Tukang emas bertukang gelang,
Maka diukur dirangkainya;
Sedang erat digenggam orang,
Adat hayat terungkainya.

Ujar khabar melambak luas,
Tapi kadak taliat pati-patinya;
Ujar khabar bailmu bagus,
Tapi kadak taliat laki-lakinya.

Usik dayang mengatih benang,
Benang kusut terlalulah susah;
Kalau tuan mengaku menang,
Biarlah saya mengaku kalah.

Wak Fakir berbaju jubah,
Naik kuda berjalan malam;
Hamba miskin bertambah susah,
Cari makan di kampung orang.

Waktu zuhur matahari berdiri,
Tanamlah kapas di lamanlah raja;
Jikalau mashyur hamba di sini,
Janganlah lepas sebaranglah pada.

Wau-wau batang kalu,
Anak sepat mata merah;
Minta jalan hamba nak lalu,
Kalau tersepak jangan dimarah.

Zaman ayah mudik ke hulu,
Hendak gunting bunga delima;
Zaman ayah menganyam nyiru,
Angkit dua tindih lima.

Zaman ayah mudik ke hulu,
Main makan buah bahulu;
Zaman ayah menganyam dahulu,
Akar tua pilih dulu



Dipetik Dari Buku Kurik Kundi Merah Saga Terbitan Dewan Bahasa Dan Pustaka

6 Pandangan:

pengenpintar September 08, 2009  

wuidihhhh
blogger skr emang keren2
udah blognya keren
postinganya keren
alexanya keren
orgnya pasti keren
hihihhi

Bachabe September 08, 2009  

met malam boss kunjungan habis terawehan nih sehat selalu

TedRichie Disember 02, 2009  

byk cerita di sebalik setiap coretan di atas. nice info

ray ban Ogos 11, 2010  

indah sungguh bahasanya

Tanpa Nama,  Disember 16, 2010  

found your site on del.icio.us today and really liked it.. i bookmarked it and will be back to check it out some more later

Tanpa Nama,  Disember 21, 2010  

Couldnt agree more with that, very attractive article

Teman Setia

This Blog Is Proudly Sponsored By SURF7 Template Modified By Seri Bahasa Proud To Be A Kinabatangan Blogger