Selamat Datang Diucapkan Kepada Semua Pengunjung Blog Ini Segala Komen Dan Saranan Teman Teman Amat Seri Hargai

Kurik Kundi Merah Saga ( Kasih Sayang/Cinta B )

Kategori Kasih Sayang/Cinta (B)


Bagaimana hendak pasang gaslin,
Cerah sampai negeri China;
Bagaimana kita hendak kahwin,
Abang sudah ada yang punya.

Bagaimana jalan ke Santubong,
Berjalan kaki tengah halaman;
Bagaimana cara menangkap burung,
Tabur padi di tapak tangan.

Bagaimana membunuh semut,
Taruh gula di mangkuk perang;
Bagaimana saya hendak selimut,
Kainku sudah dipinjam orang.

Bagaimana menjemur padi,
Siang dijemur malam dibuat;
Bagaimana menghibur hati,
Siang dihibur malam teringat.

Bagaimana punai melayang,
Dari sawah memotong padi;
Bagaimana berkasih sayang,
Dari mata sampai ke hati.

Bagaimana rasa nasi daun,
Nasi setalam rasa nak basi;
Bagaimana tinggal setahun,
Tinggal sebulan rasa nak mati.

Bagaimana saya nak mandi,
Buaya besar melintang sungai;
Bagaimana saya nak janji,
Janji yang besar belum ditunai.

Baik-baik belayar rakit,
Tali biar panjang sama;
Kasih sayang bukan sedikit,
Kalau boleh mati bersama.

Baik beralas baik tidak,
Gumbur-gumbur dalam puan;
Baik balas baik tidak,
Kita berhamba dengan tuan.

Baiklah baik memincang payung,
Naik ke lampau memukul gendang;
Kalau sudah hatiku hayung,
Rugi sedikit mana dipandang.

Baiklah baik menutuk jati,
Biar kurapi menumpang kujangan;
Baiklah baik mencari ganti,
Untunglah kamu suratan badan.

Baik-baik jaga pedoman,
Kapal belayar puting anak;
Sudah kembang bunga di taman,
Suka hati kumbang yang banyak.

Baju awak baju merah,
Baju saya baju biru;
Nyanyi adik nyanyi sekolah,
Nyanyi saya nyanyi rindu.

Baju dipakai baju yang mana,
Ingin serai rimbun ke daun;
Tinggal sekejap sebulan rasa,
Rasa berkecai beribu tahun.

Baju hitam butang berderai,
Dipakai oleh si anak raja;
Nyawa dan badan lagi bercerai,
Inikan pula kasih dan cinta.

Baju hitam butangnya tujuh,
Pakaian anak raja Semarang;
Kalau tuan berani sungguh,
Rebut aku di tangan orang.

Baju hitam dikancing tujuh,
Mari dipakai Baba seberang;
Kalau tuan berani sungguh,
Ambillah saya dalam tangan orang.

Baju hitam kancing tujuh,
Mari letak tepi dulang;
Kalau kakanda berani sungguh,
Ambil saya di tangan orang.

Baju hitam kancingnya tujuh,
Berikat kain di pinggang;
Kalau tuan hatinya sungguh,
Ikut saya dari belakang.

Baju hitam kancingnya tujuh,
Berikat kain di pinggang;
Kalau tuan berhati sungguh,
Boleh ikut kami dari belakang.

Baju kurung pakaian asli,
Turun-temurun bangsa Melayu;
Lagi cantik bertambah seri,
Dipandang lama rasa tak jemu.

Baju Pak Tua kusut lengan,
Ageh bersiar keduanya;
Bertemu jalan dengan tunangan,
Gelak melengah keduanya.

Baju perai berkain berai,
Pakai anak raja Semarang;
Jiwa di badan sudah bercerai,
Inikan pula kasih menumpang.

Baju putih bukanlah kebaya,
Pakai hias Baba Melaka;
Hilang jiwa tidak mengapa,
Asalnya boleh berjumpa mata.

Baju putih seluar putih,
Dipakai orang sembahyang Jumaat;
Duduk letih berdiri letih,
Hati bimbang lemah semangat.

Baju putih seluar putih,
Tengah membasuh sabunnya hilang;
Aku kasih ia pun kasih,
Tengah berkasih ianya melayang.

Bakawali akar seruntun,
Mari disimpan di dalam kotak;
Kirim salam di dalam pantun,
Adakah sampai atau tidak.

Baju putih seluar putih,
Bawa pergi sembahyang Jumaat;
Duduk letih berdiri letih,
Bagai budak tidak semangat.

Baju saya lupa dijahit,
Daun birah selebar talam;
Malu saya bukan sedikit,
Sudah pecah serata alam.

Balasatudin berasal nama,
Yang bernama si Simpanglah Tiga;
Orang lain bukan tak ada,
Abang seorang masih di mata.

Bangsal kongsi di Kuala Nerang,
Mengukus serikaya dalam sabut;
Kalau benci jangan dikenang,
Nama saya jangan disebut.

Bangun malai bangunlah bungaku,
Bangun puasa bulan Ramadan;
Hilang bunga hilang di pangkuanku,
Bungaku wujud sepanjang badan.

Banyak biji buah nangkaku,
Intan permata jatuh di lubang;
Dendam rindu sebut namaku,
Air mata jangan dibuang.

Banyak budak makan di padang,
Sudah kelabu nampak bersih;
Banyak abang sudah kupandang,
Kitak berdua juak kuambil kasih.

Banyak bunga di kala subuh,
Bunga yang kasa di antara layu;
Banyak abang dipandang sungguh,
Kanda juga dipandang lalu.

Banyak bunga di kala subuh,
Bunga yang kasa di antara layu;
Banyak abang dipandang sungguh,
Kanda juga dipandang lalu.

Banyak bunga tidak berbunga,
Tanam ke darat berbunga juak;
Dalam dunia tidak bersama,
Dalam akhirat bersama juak.

Banyak ikan perkara ikan,
Ikan laut banyak lagi;
Banyak hitam perkara hitam,
Hitam manis menarik hati.

Banyak ikan perkara ikan,
Ikan bilis sedap sekali;
Banyak hitam perkara hitam,
Hitam manis pemurah hati.

Banyak ketam perkara ketam,
Ketam rejang corak beragi;
Banyak hitam perkara hitam,
Hitam manis memutus hati.

Banyak lintah di paya dalam,
Mari ditangguk anak udang;
Hati bercinta adik di dalam,
Bagai tak tahu masuk seorang.

Banyak lintah di paya dalam,
Ramai orang menangguk udang;
Nanti titah adik di dalam,
Rasa tak sabar masuk seorang.

Banyak lintah paya dalam,
Orang menangguk anak udang;
Nanti titah adik di dalam,
Bukan tak tahu masuk seorang.

Banyak nyamuk di Tanjung Arus,
Rindu dendam di dalam puan;
Tubuh gemuk menjadi kurus,
Kerana rindu denganmu tuan.

Banyak orang ambil baja,
Saya seorang mengambil padi;
Banyak orang balik saja,
Saya seorang gagah menanti.

Banyak orang gelang di tangan,
Salah seorang gelang di kaki;
Banyak orang mengata jangan,
Saya seorang menurut hati.

Banyak orang menanam pulut,
Saya seorang menanam padi;
Banyak orang karam di laut,
Saya seorang karam di hati.

Banyak orang mengetam pulut,
Saya seorang mengetam padi;
Ramai orang karam di laut,
Saya seorang karam di hati.

Banyak orang pergi ke Bentan,
Singgah bermalam di Tanjung Jati;
Orang karam di tengah lautan,
Hamba karam di dalam hati.

Banyak padi bunga di hujung,
Sama-sama di atas papan;
Habis dunia sudah kukeliling,
Baru bertemu dengan tuan.

Banyak pinang serta sayur,
Bunga pekan dalam cerana;
Hati perut bagai dilayur,
Dengar pesan abang di sana.

Banyak simpang bersimpang siur,
Jalan yang mana tempat berhenti;
Aku melimpang bukannya tidur,
Hanya menenang di dalam hati.

Banyak sungguh bintang meninggi,
Ada satu bintang kejora;
Banyak sungguh orang di sini,
Cuma yang satu permainan mata.

Banyak sungguh kayu di paya,
Ada sebatang pokok meranti;
Banyak sungguh anak dara,
Ada seorang berkenan di hati.

Banyak terbang si burung camar,
Di pokok ara singgah meniti;
Banyak pemuda datang melamar,
Sayang dara hatinya terkunci.

Banyak udang pasir melayang,
Selak batu uban kepala;
Sudah tiada kasih sayang,
Tinggal saya tidak mengapa.

Banyak-banyak bintang tinggi,
Ada sebiji bintang tembaga;
Banyak-banyak orang di sini,
Ada seorang berkenan di mata.

Banyak-banyak kerbau di padang,
Memakan rumput di tepi telaga;
Banyak-banyak orang kupandang,
Ada seorang permainan mata.

Banyak-banyak telur merbuk,
Tidaklah sama telur merpati;
Banyak mabuk perkara mabuk,
Mabuk yang mana sakit sekali.

Banyaklah cabi menghisap daun,
Kapas dihisap terlaga-laga;
Meminta mandi dalam pangkuan,
Meminta mandi si air mata.

Banyaklah kuda makan di padang,
Kuda kelabu nampak bergesel;
Banyaklah muda sudah kupandang,
Abanglah juak penghabis kasih.

Banyaklah orang bergelang tangan,
Saya seorang bergelang kaki;
Banyaklah orang mengata senang,
Saya seorang susah hati.

Banyaklah sudah makan di padang,
Sudahlah laku banyak berkasih;
Banyaklah abang sudah kupandang,
Abanglah juak penghabis kasih.

Banyaknya di bawah bunga bertabur,
Harum berbau merata-rata;
Rasa jiwa umpama lebur,
Kerana rindu asyik bercinta.

Barat daya kencang semalam,
Tongkat patah titian roboh;
Apalah daya bujang semalam,
Mengembang bunga di wajahnya subuh.

Baru datang dari Palembang,
Satu adik satu abang;
Cari tali jerat kumbang,
Bunga di taman biar kembang.

Baru merasa hatiku rindu,
Bawa berulam si buah pauh;
Baru merasa kehendak rindu,
Bawa mengenang kekasih jauh.

Baru sekali menebas lalang,
Kaki luka tertikam duri;
Baru sekali tuan dipandang,
Cinta sudah melekat di hati.

Baru sekali pergi ke kota,
Datang ke kota bunyi bergaduh;
Baru sekali saya berkata,
Hendak peduli kakanda jauh.

Baru sekali saya tergigit,
Kain pelikat di atas peti;
Baru sekali saya melihat,
Sudah melekat di dalam hati.

Basikal Jepun basikal joli,
Dibawa di simpang tiga;
Hendak mengikut tidak berani,
Takut ditinggal tengah jeraya.

Batang buruk batang tenggelam,
Kelemunting tumbuh di pintu;
Ke sana kami sekarang malam,
Pasik dinding buka di pintu.

Batang dedap dibuat sampan,
Makan nasi ulamnya daun;
Hilang sekejap rasa sebulan,
Hilang sehari rasa setahun.

Batang ini batang nangka,
Duduk abang pagi petang;
Badan ini badan celaka,
Tengah berkasih bencana datang.

Batang mari kepala pukat,
Buluh perindu tiada berdahan;
Buah hati marilah dekat,
Aku rindu tiada tertahan.

Batang senduduk dahan berpintal,
Patah ditimpa si pokok berangan;
Disangka mengantuk disorongkan bantal,
Rupanya tidur berbantal lengan.

Batu Berendam Batu Kurau,
Batu Lesung Batu Rakit;
Rindu dendam bawa bergurau,
Bawa termenung jadi penyakit.

Batu campur batu bulat,
Tarah mari hujung perahu;
Nampak di mata boleh dilihat,
Dalam hati mana nak tahu.

Batu kinyang jauh ke darat,
Jalan kereta setengah hari;
Makin dikenang makin melarat,
Makin dicinta tambah berai.

Batang rhu dibuat pagar,
Hendak memagar Kuala Kelang;
Tujuh guru saya belajar,
Hendak menjinak burung terbang.

Batu belah pecah seratus,
Pecah ditimpa kayu berangan;
Demi Allah setelah kutulus,
Sebelum berjanji lepas di tangan.

Batu langguk Kuala Tembeling,
Nampak dari Pasir Tambang;
Adik duduk sanggul ke dinding,
Bagai bulan baru mengambang.

Batu Malim dua kerusi,
Boleh kita berlayar kapal;
Kalau beli kain dua helai seragi,
Boleh kita bertukar pakai.

Batu Pahat perigi batu,
Sebelah sana Gunung Banang;
Abang pergi bawalah aku,
Duduk di rumah hati tak senang.

Batu Pahat Simpang Empat,
Satu simpang ke Tanjung Melaka;
Sudah kutilik dalam makrifat,
Tuan seorang menjadi puja.

Batu Peringgi Kuala Renam,
Nampak dari Pasir Raja;
Abang pergi menanggung dendam,
Adik di rumah rindu sahaja.

Bawa bunga pergi ke pekan,
Taruh mari atas peti;
Badan kurus bukan tak makan,
Kurus kerana si jantung hati.

Bawa tombak bawa cermin,
Rendang lada simpul pulih;
Tengok gambar dalam cermin,
Sungguh ada nak ambil tak boleh.

Bawa tombak bawa cermin,
Sapu tangan simpul pulih;
Nampak bayang dalam cermin,
Hendak dibawa tidak boleh.

Bawakan minyak ke tengah laut,
Macam mana tupai nak kerik;
Kalau lebat bunga tengah rambut,
Macam mana hamba nak ambik.

Bawal tambak bawal cermin,
Ketiga dengan bawal Pak Isa;
Tuan tak hendak saya tak ingin,
Sama-sama tidak merasa.

Bawang dibeli di kedai Cina,
Cina apek di kedai kopi;
Adik ikut barang ke mana,
Adik hendak bersama mati.

Begini baju begitu baju,
Air dipotong sayup sekali;
Begini malu begitu malu,
Baik dilangsung sama sekali.

Belah batang penjara padi,
Rebah padi dipukul ribut;
Adik saya datang ke mari,
Tanda kasih seumur hidup.

Belah mana pasang pelita,
Tarik sumbu di balik bukit;
Telah mana orang bermain mata,
Tarik senyum kening terangkit.

Belah permatang mengalir pergi,
Pasir Mak Bayu dipukul ribut;
Sembahlah datang salam ke mari,
Pohon kasih seumur hidup.

Belayar dari Mengurung,
Patah tiang layang-layangan;
Sudah mendapat bunga tempisung,
Akan dibuang sayang-sayangan

Belah buluh jangan diusik,
Kalau diusik menjadi bilah;
Bunga tangguh jangan dikutip,
Kalau dikutip menjadi salah.

Belas hati pandang ke bukit,
Kerana bukit tidak berkayu;
Belas hati pandang ke adik,
Kerana adik tidak beribu.

Beli atap bawa balik,
Ambil timba menuju perigi;
Semakin ditatap semakin molek,
Termenung hamba menggigit jari.

Beli ketam di luar kota,
Masak sedikit campur rebung;
Mabuk pitam awal bercinta,
Penyakit lain dapat ditanggung.

Beli pauh beli serbat,
Makan bersama gula batu;
Kalau jauh apa nak buat,
Sama-sama menanggung rindu.

Beli kain terus dilipat,
Lipat pula cara sedia;
Cari yang lain tidak dapat,
Balik pula pada dia.

Beli suasa beli tembaga,
Sudah dibeli tidak dipakai;
Malam ini malam celaka,
Sudah dijanji tidak ditunai.

Beli ubi beli keladi,
Anak belanak dalam tapisan;
Puan berlaki saya berbini,
Kalau beranak kita berbesan.

Belok-belok ke jamban pilih,
Teras seraya di dalam padi;
Elok buruk aku tak pilih,
Asalkan berkenan dalam hati.

Benang bertali,
Anak putu dikasi makan;
Teguh-teguh memegang janji,
Seperti paku lantak di papan.

Benggali main ke darat,
Kain pelikat di atas peti;
Berapa kali kamek melihat,
Sudah terikat di dalam hati.

Mengkudu masak di hutan,
Dipatuk punai gumbali;
Belum duduk belum suratan,
Mana bertemu sama sekali.

Bengkang-bengkok jalan ke Bangi,
Di atas pokok dipetik bunga;
Jumpa sekuntum bunga yang wangi,
Rasa nak turut sampai ke kereta.

Berangkat dari pangkalan Landeh,
Mencari tali pasar Senyawan;
Sudah kupandang kedua kasih,
Merosak hati menggugur iman.

Berapa banyak bintang,
Aku hitung lima ribu lima;
Apa pembujuk hatimu dayang,
Hati dayang tidak menerima.

Berapa dalam lubuk Inggeris,
Lebih dalam lubuk India;
Berapa tajam sidak keris,
Terlebih tajam tergesel mata.

Berapa dalam Sungai Kuantan,
Hendak menyeberang perahu tidak;
Ilmu apa tuan pakaikan,
Tidur malam badan tersentak.

Berapa dulang nak mandi?
Nak cuba bunganya;
Berani buat berani mati,
Nak cuba hati jantungnya.

Berapa jauh negeri Limbang,
Datanglah burung pulang ke mari;
Berapa jauh dudukku bertimbang,
Datang juga berkepit jari.

Berapa jauh tanah Palembang,
Tempatlah burung pulang berhenti;
Berapa jauh adinda datang,
Mendengar tuan ada di sini.

Berapa mahal gula putih?
Mahal lagi gula jawa;
Berapa lama kita berkasih?
Biar sama membuang nyawa.

Berapa tinggi pucuk pisang?
Lebih tinggi asap api;
Berapa tinggi Gunung Ledang?
Lebih tinggi harapan hati.

Berapa tinggi si matahari,
Anak kerbau mati tertambat;
Lama sudah kami mencari,
Baru ini masa mendapat.

Beras basah mari taburkan,
Pengantin diarak gelak ketawa;
Puas sudah hamba hiburkan,
Hati rindu terkenang jua.

Beras padi dalam guni,
Padi tidak rimbun lagi;
Maka dikarang warkah ini,
Hati nan tidak bertahan lagi.

Beras padi makanan itik,
Itik biasa makan berdua;
Belas hati pandang ke bilik,
Bilik biasa tidur berdua.

Berbunyi mercun di tengah pekan,
Anak angsa datang menyudu;
Bagi racun saya nak makan,
Tiada kuasa menanggung rindu.

Bercincin di jari manis,
Hendak kusimpan di dalam peti;
Adik-adik tunduk menangis,
Mari kita bersama mandi.

Berdentum tabuh di Rian,
Minta tabuh lagi;
Kalau untung di hari kemudian,
Boleh berbalik sekali lagi.

Berderai tiung di Linau,
Punai turun dinihari;
Bercerai kasih bujang panau,
Makan nasi sesuap sehari.

Berdua-dua berjalan malam,
Kain disidai di rumah sebelah;
Mabuk arak dari semalam,
Main mabuk bila nak sudah?

Berebab orang atas lepau,
Turun ke bawah berbiola;
Kan bercampur sutera dengan akau,
Berhiba hati benang biola.

Berenang ada berjemur tidak,
Orang berjimat mandi di kali;
Berpandang ada bertegur tidak,
Rasa kiamat di dalam hati.

Bergelang batu berantai dua,
Mana yang rantai mana yang tidak;
Mana satu kekasih kitak berdua,
Mana dikasih mana yang tidak.

Bergiat beguk Ulu Tembeling,
Nampak dari Pulau Sari;
Adik duduk sanggul melintang,
Bagai bunga kembang pagi.

Bergoncang pohon ditiup angin,
Habis luruh si buah saga;
Tuan sepantun kilat cermin,
Di balik gunung nampak jua.

Beribu biji nangkaku,
Cincin permata jatuh ke ruang;
Kalau rindu sebut namaku,
Air mata jangan dibuang.

Beribu-ribu biji nangkaku,
Cincin permata jatuh ke gaung;
Kalaulah rindu sebut namaku,
Air mata jangan dibuang

Beringin di tepi huma,
Daun lebat sebelukar;
Ingin hati memetik bunga,
Pangkal dililit ular besar.

Berjalan kaki menuju ke paya,
Singgah sekejap menggali cacing;
Wahai tuan saya bertanya,
Di mana jari menyarung cincin.

Berjumpa gajah dua serupa,
Gajah kecil mati terkepung;
Banyaknya lebih daripada adinda,
Keningnya lentik bagai berladung.

Berkasut jalan ke pasir,
Seorang garib di dalam puan;
Rambutnya kusut tidak tersisir,
Dendam berahi denganmu tuan.

Berjudi kalah lari ke mana,
Lari ke hutan ke celah rimba;
Abang nak bujang sampai ke mana,
Kalau tak boleh macam adinda.

Berkawan melayang ke kuala,
Hinggap mari di dahan duku;
Manakala dikenang hatiku gila,
Cintakan puteri belahan jiwaku.

Berkilat air di perigi,
Nak mandi rasa tak jadi;
Berlilat laka di gigi,
Itulah pembawa rosak di hati.

Bersigup tidak ku pandai,
Baranya jatuh ke lantai;
Kasih mengejut tidak ku pandai,
Ibarat angin tiup selesai.

Bersigup tidak ku pandai,
Siguplah mari pinsaran daun;
Kasih mengaju tidak ku pandai,
Kasih bermain beribu tahun.

Bersilat kami tidak ku pandai,
Siraung kami berdiri duduk;
Kasih menahun tidaklah ku pandai,
Kasih kami seumur hidup.

Bertali jalan Gumantong,
Kalakati rendam di paya;
Putus hati rasa bergantung,
Orang benci apakan daya.

Bertolak dari Kimanis,
Belayar angin utara;
Berhadapan mulutnya manis,
Lain belakang lain bicara.

Bertolak dari Mesapol,
Mari menuju pergi Labuan;
Apa manis gula sepikul,
Manis lagi dindamu tuan.

Bi Semat di kepala tangga,
Cubalah juak menabur padi;
Beri alamat kepada kamek berdua,
Dapatlah kamek berdua menghibur hati.

Biar Cina kelapa Cina,
Biar manis menjahit baju;
Sudahlah tinggal berdiri tiga,
Jangan menangis ditinggal aku.

Biar tidak menaiki lori,
Asal boleh naik kereta;
Biar tak makan dua hari,
Asalkan boleh berjumpa mata.

Bidadari dari hutan,
Singgah menganyam di dalam kota;
Tepuk dada kenangkan tuan,
Jatuh berlinang air mata.

Bila maharaja diam di hutan,
Tebu dan jagung rosak binasa;
Lama ditinggal wajah tuan,
Rindu ditanggung setiap masa.

Bila riak bilalah pasang,
Bila melajak atas perahu;
Bila teriak abang datang,
Silalah masuk kita bertemu.

Bintang tujuh tinggal enam,
Jatuh sebiji telaga Daik;
Berasa tubuh bagai nak demam,
Sesudah berjumpa baru baik.

Boleh juga belayar kapal,
Patah galah apa galahnya?
Boleh juga bertukar pakai,
Kalau bujang apa salahnya.

Buah anggur buah berangan,
Jadikan dengan si buah manggis;
Minta kubur di tapak tangan,
Mintalah nisan si jari manis.

Buah bacang buah kuini,
Dibawa orang dari tanjung;
Bukannya mudah memegang janji,
Makan hati berulam jantung.

Buah bacang setangkai lebat,
Jatuh sebiji di birai perigi;
Belum teguh tali penambat,
Burung terlepas tak balik lagi.

Buah bahulu dari Semarang,
Sayang gereja di bawah bukit;
Lain dahulu lain sekarang,
Jauh beza bukan sedikit.

Buah beluru bermain angin,
Jatuh sebiji di dalam puan;
Surat sepucuk kami kirim,
Kalau sudi bacalah puan.

Buah beluru buah belerang,
Buah pala atas bukit;
Dari dahulu hingga sekarang,
Jauh berbeza bukan sedikit.

Buah berangan dimasak kari,
Mari masak bersama lada;
Sapu tangan campak ke mari,
Untuk menyapu air mata.

Buah berangan masak hijau,
Masak sebiji di tanah rata;
Luka tangan kerana pisau,
Luka hati kerana kata.

Buah berangan masaknya merah,
Lada cili dalam perahu;
Luka di tangan nampak berdarah,
Luka di hati sahabat tak tahu.

Buah beringin buah bidara,
Dari Lukut ke Pulau Pinang;
Hati ingin kepada dara,
Hati takut hendak meminang.

Buah betik di kedai Cina,
Betik muda masak layu;
Kalaulah tidur abang tak lena,
Adiklah makan rasa tak lalu.

Buah cempaka digoyang ribut,
Jatuh mari Laut Semarang;
Di mulut naga abang kurebut,
Inikan pula di tangan orang.

Buah cempedak nangka di hutan,
Bau juga dengan selasih;
Budak bukan kaya pun bukan,
Tahu juga abang tak kasih.

Buah delima masak merekah,
Sudah tika berbunga lagi;
Bermohon kasih puas sudah,
Ibarat embun dibakar matahari.

Buah duku masak setangkai,
Dalam balang di tepi pintu;
Apakah ilmu yang tuan pakai,
Makin dipandang semakin rindu.

Buah durian dibelah dua,
Mari kutaruh dalam perahu;
Orang perempuan bersanggul dua,
Mari kucium orang tak tahu.

Buah jambu di atas meja,
Sayang selasih datang baiduri;
Hilanglah ingat tidak mengapa,
Hilang kekasih membunuh diri.

Buah jambu masak ranum,
Makan enak bulan puasa;
Abang lalu sambil tersenyum,
Hendak dikenang tidak berjasa.

Buah jarak di dalam dulang,
Buah papaya di atas peti;
Berjarak serasa hilang,
Bercerai serasa mati.

Buah jering di atas para,
Diambil budak sambil berlari;
Keringlah laut selat Melaka,
Barulah saya mungkirkan janji.


Buah kana kedai Cina,
Satu taukeh dua Melayu;
Saya berkehendak sudah lama,
Hendak bercakap rasa malu.

Buah kandis luruh di hilir,
Dimakan orang tidak bergaram;
Hendak manis luar bibir,
Manis tak hendak rasa ke dalam.

Buah keranji buah berangan,
Berangan tidak berbunga tinggi;
Berjanji berjabat tangan,
Kusangka tidak berubah lagi.

Buah keranji di tengah laman,
Mangga tidak berbuah lagi;
Sudah berjanji berpegangan tangan,
Kusangka tidak berubah lagi.

Buah keranji kulitnya hitam,
Masak sebiji atas peti;
Sirih pinang telah dikirim,
Sebab boleh kehendak hati.

Buah kerba masak merekah,
Orang ramai hujung pulut;
Apa khabar orang nak nikah,
Lepas purnama bulan Maulud.

Buah kesebak terasa manis,
Mari dicampur biji selasih;
Bercerai emak tidak menangis,
Inikan pula bercerai kasih.

Buah lemak buah bidara,
Daun selasih kulurut juga;
Buang emak buang saudara,
Hati kasih kuturut juga.

Buah macang buah kuini,
Masak sebiji dalam daun;
Mengapa begini hatiku ini,
Habis bulan berganti tahun.

Buah macang tergolek-golek,
Golek mari atas peti;
Sekejap datang sekejap balik,
Macam menyuruh anak b

Buah manggis pokoknya rendang,
Panjat mari pakai tangga;
Mulut manis hati bimbang,
Takut tak sampai bagai didug

Buah mempelam buah papaya,
Mari dimakan pagi hari;
Kalau tuan kurang percaya,
Belah dada lihatlah hati.

Buah mempelam si buah petir,
Tigalah dengan buah beluru,
Jangan dikias jangan disindir,
Keranalah adik sungguh tak tahu.

Buah nyiur di pucuk mahligai,
Anyam ketupat tidak berinti;
Hancur badan tulang berkecai,
Belum dapat belum berhenti.

Buah padi masak bersantar,
Diberi oleh raja Belanda;
Tujuh hari mayat terlantar,
Menanti ubat bawaan adinda.

Buah padi masak sepenggal,
Mari diketam anak Melayu;
Buah hati selamat tinggal,
Bukanlah kami membuang lalu.

Buah padi selasih dulang,
Saya menumpang menabur lada;
Buah hati kekasih orang,
Kami berdua berpandangan mata.

Buahlah padi terjuntai-juntai,
Terjuntai-juntai di pokok tiang;
Buah hati intan kumalai,
Aku mengenang malam dan siang.

Buah padi terlalu masak,
Buah dia lalu ke pucuk;
Hati kami sudahlah rosak,
Siapa dia dapat memujuk.

Buah padi selasih dulang,
Menumpang mari ke Jawa saja;
Buah hati kekasih orang,
Kami menumpang ketawa saja.

Buah pauh asam pauh,
Mari diambil dari hulu;
Tuan jauh saya jauh,
Sama-sama menanggung rindu.

Buah pauh buah bidara,
Jatuh sebiji di atas peti;
Tuan jauh jadi saudara,
Bila dekat si jantung hati.

Buah pauh delima batu,
Anak sembilang di tapak tangan;
Saya jauh beribu batu,
Saya di sini dilupa jangan.

Buah pauh disinar bulan,
Dahannya repih membawa buah;
Berapa jauh antara badan,
Hatiku kasih tidak berubah.

Buah pedada dimakan kera,
Jatuh ke pantai dimakan tupai;
Kalau hayatku salah ada,
Sudilah juak bunga terpakai.

Buah perang buah keranji,
Buah pauh lebat sangat;
Kalau sebulan boleh dinanti,
Kalau setahun lambat sangat.

Buah putat kukata ulam,
Bukanlah ulam kulari pulang;
Adinda pucat kukata demam,
Bukannya demam di hati yang pulang.

Buah rambai buah rambutan,
Masak sebiji di hujung dahan;
Jangan diusik burung di hutan,
Burung di rumah mati tak makan.

Buah rambai buah rambutan,
Masak sebiji di hujung dahan;
Kalau ada mudah-mudahan,
Ambillah saya dengan perlahan.

Buah rambutan masaknya ranum,
Hendak ditaruh bulan puasa;
Abang lalu adik tersenyum,
Hendak bertanya belum biasa.

Buah rambutan setangkai ranum,
Mari dimakan bulan puasa;
Tuan ketawa saya tersenyum,
Hendak ditegur belum biasa.

Buah tebu disangka kandis,
Terlebih kandis di dalam puan;
Gula madu disangka manis,
Lebih manis wajahmu tuan.

Buah terap di atas peti,
Buah redan masaknya merah;
Kalau sudah harap di hati,
Merana badan sahaja ditempah.

Buah timun dimakan landak,
Buah mempelam di muka pintu;
Tengok senyum katakan hendak,
Memang perangai sudah begitu

Buahlah padi selasih dulang,
Adik menumpang ke hulu saja;
Buah hati kekasih orang,
Adik menumpang bergurau saja.

Buang bacang setangkai lebat,
Jatuh sebiji di birai perigi;
Berapa teguh tali penambat,
Burung terlepas tak balik lagi.

Buang batu timbul kelapa,
Banyak udang di Pasir Mayang;
Buang satu tidak mengapa,
Banyak orang kasih dan sayang.

Buat budak tengah rumah,
Tepung gomak tengah perahu;
Tuan main satu rumah,
Orang di luar habis tahu.

Buat ketupat bakul baru,
Buang kulit lautan Siam;
Abang dapat kekasih baru,
Buang saya dalam diam.

Buat padi tak jadi padi,
Padi bunganya lalang;
Buat budi dibalas budi,
Kekasihku sentiasa dikecek orang.

Buat rumah berdinding papan,
Papan Jawa empat persegi;
Bila terkenang tengah makan,
Air mata jatuh ke nasi.

Bubuh di atas dulang suasa,
Beri minum ratu Majapahit;
Mustahil kan hilang penyakit cinta,
Jika tak dapat tidur pun sakit.

Budak menembak tiga sekawan,
Sagun berderai di atas tikar;
Pesan saya lupalah jangan,
Lupalah jangan di dalam sedar.

Budak-budak bermain api,
Pasang lilin dalam istana;
Kalaulah adik berani mati,
Abanglah hendak mati bersama.

Budak-budak gelang besi,
Cik Sureh jual bunga;
Kalau hendak bermati-mati,
Sudah boleh apa hendak guna.

Budak-budak memakan tebu,
Tebu ditanam di depan kota;
Duduk termenung di muka pintu,
Terkenang kekasih jauh di mata.

Budak-budak menjual pulut,
Pulut dijual di pagi hari;
Kasih adinda hanya di mulut,
Kasih tak sampai ke dalam hati.

Budak-budak pasang mercun,
Pasang mari Kuala Muar;
Kepada tuan menjadi racun,
Dengan saya jadi penawar.

Budak-budak ramai menimba,
Dapat banyak si ikan keli;
Karam di laut dapat ditimba,
Karam di hati susah sekali.

Buih putih di air terjun,
Dara jelita menangguk ikan;
Biar pun kuih bercampur racun,
Kerana cinta sanggup dimakan.

Bujang kelana mandi subuh,
Dari pagi tidak berhenti;
Bagaimana hati tak gundah,
Semalam-malam tidak berhenti.

Bukan asam sebarang asam,
Asam kandis dari seberang;
Bukan hitam sebarang hitam,
Tidak puas mata memandang.

Bukan bukit saja meruntuh,
Orang Serani meruntuh juga;
Bukan penyakit saja membunuh,
Dendam berahi membunuh juga.

Bukan bukit saja meruntuh,
Bemban serai meruntuh juga;
Bukan penyakit saja membunuh,
Gila berahi membunuh juga.

Bukan jua bukit meruntuh,
Bemban perbaik meruntuh jua;
Bukan penyakit saja membunuh,
Cinta dan kasih membunuh jua.

Bukan kuda sebarang kuda,
Kuda sudah biasa bermain;
Bukan muda sebarang muda,
Muda sudah biasa bermain.

Bukan mudah bunga engkodok,
Bunga serupa dengan daun;
Bukan mudah adik kehendak,
Hilanglah hilang berganti tahun.

Bukan mudah memakai purdah,
Sungguh bunga berupa daun;
Bukan hati tertambat mudah,
Hilang bulan berganti tahun.

Bukan padi sebarang padi,
Padi ditabur menjadi lalang;
Buah hati sekeping hati,
Hati rindu denganmu abang.

Bukan parang baru ditempa,
Parang ada dari dahulu;
Bukan sekarang baru berjumpa,
Memang dijanji tatkala dahulu.

Bukan saja saya menali,
Saya menali benang melati;
Bukan saja adik menyanyi,
Adik menyanyi menghibur hati.

Bukan saya tolak buluh,
Saya tolak batang padi;
Bukan saya kehendak sungguh,
Saya jolok nak tengok hati.

Bukan sengaja saya berkain,
Saya berkain menutup tubuh;
Bukan sengaja saya bermain,
Saya bermain bersungguh-sungguh.

Bukanlah padi masak berhimpun,
Dimasak mari santan kelapa;
Walau kumati ditembak Jepun,
Kerana adinda tidak mengapa.

Bukanlah padi masak berhimpun,
Dimasak mari santan kelapa;
Walau kumati ditembak Jepun,
Kerana adinda tidak mengapa.

Bukannya parang hulu permata,
Parang sakti tidak berulu;
Bukan sekarang saya berkata,
Sudah terjanji dari dahulu.

Bukit Acheh gunung pun Acheh,
Kerbau balar dua sedenin;
Tengok boleh nak ambil tak boleh,
Seperti gambar dalam cermin.

Bukit Besi hala ke bendang,
Rama kutatang dalam mangkuk;
Sudah benci jangan dipandang,
Nama saya jangan disebut.

Bukit Besi pandang ke bendang,
Pati santan diminum mabuk;
Kalau rindu jangan dipandang,
Nama saya jangan disebut.

Bukit Chuping Gua Beringin,
Tempat orang ambil baja;
Putih kuning jangan diingin,
Banyak orang balik saja.

Bukit Embung Hulu Kuantan,
Tempat buluh perindu;
Minta racun saya nak makan,
Saya tak tahan menanggung rindu.

Bukit gunung Juasih,
Tempat berakub berulang petang;
Alangkah sakit bercerai kasih,
Lebih baik pula celaka badan.

Bukit Kaduk Ulu Telemu,
Singgah menanak Batali;
Saya tak masuk kerana ilmu,
Saya masuk kerana janji.

Bukit Gebuk Gunung Melintang,
Nampak dari Pulau Segi;
Adik duduk sanggul melintang,
Bagai bunga kembang pagi.

Bukit Kalong jalan ke Kedah,
Tempat orang menumpang lalu;
Minta tolong kepada Allah,
Nak ambil juga pelepas malu.

Bukit Keling gunung berapi,
Ikan seluang mati dituba,
Hilang ghaib katakan mati,
Abang seorang jangan dilupa.

Bukit lagi bintang berkarang,
Anak yu dua serupa;
Adik pergi abang tak larang,
Janji dahulu janganlah lupa.

Bukit Tetagun Pulau Jerjak,
Singgah semalam Padang Mat Sirat;
Tubuh tembun badan pun segak,
Mahu orang tak terpikat.

Bulan cerah bersinar benar,
Cahayanya cerah sampai ke pintu;
Cuba cubit abang nak kenal,
Lainkah tidak dari dahulu?

Bulan cerah langit putih,
Ambil galah menikam tebing;
Bukan mudah mencerai kasih,
Seperti darah meninggal daging.

Bulan mengambang cahaya cemerlang,
Nampak memancar di celah awan;
Rasa lemah sendi dan tulang,
Bila teringat wajahmu tuan.

Bulan puasa pergi ke pasar,
Dua tiga membeli gelama;
Menanti masa hamba tak gusar,
Setahun dua tidaklah lama.

Bulan Rejab bulan Syaaban,
Ular lidi memanjat daun;
Hilang sekejap rasa sebulan,
Hilang sebulan rasa setahun.

Bulan terang memungut paku,
Anak kumbang terayap-rayap;
Orang seberang hendakkan aku,
Hendak terbang tidak bersayap.

Bulan terang menembak camar,
Camar ditembak celah batu;
Budak berdua memang dilamar,
Tidaklah adik abang malu.

Buluh aur jangan dibelah,
Titi dibuat berikat akar;
Teguh setia tidak berubah,
Janji ikrar jangan bertukar.

Buluh perindu di atas gunung,
Habis luruh buah padiku;
Rindu hamba tidak tertanggung,
Hancur luluh rasa hatiku.

Buluh perindu dipukul ribut,
Jatuh mari di dalam mengkuang;
Kalau rindu nama disebut,
Air mata jangan dibuang.

Bunga andana bunga andani,
Tiga dengan bunga cipur;
Tuan di sana saya di sini,
Arwah juga berulang tidur.

Bunga anggerik bunga di taman,
Bau harum wangi semerbak;
Jikalau kumbang dapat di tangan,
Kutangkap sekali terlepas tidak.

Bunga apa di dalam baju,
Bunga nanas kelopak padi;
Jangan diharap kekasih aku,
Dirasa panas hilang sekali.

Bunga baju disangka tali,
Malam tadi menyindir puan;
Madu disangka manis sekali,
Kalaulah manis terlajakmu tuan.

Bunga cempaka baunya harum,
Ditanam orang di dalam kota;
Berpandang rupa bertemu belum,
Di dalam hati sangat bercinta.

Bunga cempaka dipukul ribut,
Dibawa orang ke tanah seberang;
Di mulut naga lagi kurebut,
Inikan pula di tangan orang.

Bunga cina jambangan Cina,
Lalu dibungkus dalam kertas;
Ayuhai tuan tumpang bertanya,
Di dalam hati tidak lepas.

Bunga cina jambangan Cina,
Lalu dibungkus dalam kertas;
Saja rupa bena tak bena,
Di dalam hati haramtak lepas.

Bunga cina kembang sejemput,
Siapa cakap melarangkannya;
Yang empunya datang menjemput,
Siapa cakap melarangkannya.

Bunga cina jambangan Cina,
Lalu dibungkus dalam kertas;
Hati saya sudah merana,
Di dalam hati mana nak lepas.

Bunga cina permainan Cina,
Mari dibungkus dengan kertas;
Kalau saya bena tak bena,
Hati di dalam haram tak lepas.

Bunga cina tanaman Cina,
Ambil sekuntum bungkus kertas;
Pandang tuan bena tak bena,
Di dalam hati haram tak lepas.

Bunga cina tanaman Cina,
Mari bungkus di atas kertas;
Lihat saya bena tak bena,
Tak usah harap katakan lepas.

Bunga dedap lebat di dahan,
Bila kembang warnanya merah;
Kalau cinta menjerat badan,
Hati juga selalu gelisah.

Bunga kenanga bunga kenangan,
Kenangan Uda bersama Dara;
Seribu tahun dalam kehilangan,
Namun lupa tidak ketara.

Bunga lada tangkainya sama,
Petik setangkai kembang melati;
Adinda berjanji terlalu lama,
Tidak sanggup kanda menanti.

Bunga melati tumbuh di ceruk,
Dialih mari ke dalam taman;
Sekeping hati hancur remuk,
Meranalah saya sepanjang zaman.

Bunga melor bunga melati,
Ketiga dengan bunga kertas;
Dari telur lagi dinanti,
Inikan pula sudah menetas.

Bunga melur bunga inai,
Biji selasih di dalam timba;
Seberang alur seberang sungai,
Kerana kasih kuturut juga.

Bunga melur di atas peti,
Mari dibungkus dengan kertas;
Dalam telur boleh dinanti,
Konon pula sudah menetas.

Bunga melur kembang berkaki,
Mari dibungkus di dalam kertas;
Di dalam telur lagi kunanti,
Inikan pula telah menetas.

Bunga melur kembang sekaki,
Ambil sekuntum bungkus kertas;
Dalam telur lagi dinanti,
Inikan pula sudah menetas.

Bunga pandan dalam serahi,
Indera berarak ke Padang Temu;
Betapa tuan dendam berahi,
Bila gerangan hendak bertemu.

Bunga pudak tujuh setangkai,
Gajah bersila di uratnya;
Angin ribut boleh kutangkal,
Hati gila apa ubatnya?

Bunga rampai di dalam puan,
Buluh perindu di atas gunung;
Adakah sampai padamu tuan,
Merindu hamba tidak tertanggung.

Bunga rampai si bunga jagus,
Anak itik renang-renangan;
Kalau sampai alangkah bagus,
Tidak menjadi kenang-kenangan.

Bunga raya di atas peti,
Bunga melur di atas batu;
Memang ada niat di hati,
Hendak menyunting bunga yang satu.

Bunga ros batang berduri,
Petik mari dara jelita;
Kalau tuan sudikan kami,
Saya menunggu sepenuh mata.

Bunga ros dalam pasu,
Mari tudung dengan kain;
Janji tuan janji palsu,
Janji sudah berubah lain.

Bunga ros bunga melati,
Bersama dengan bunga cempaka;
Bila bersua idaman hati,
Luput segala hati nan duka.

Bunga selasih di dalam dulang,
Dibawa orang ke negeri Kemboja;
Buah hati kekasih orang,
Saya tumpang tertawa sahaja.

Bunga selasih dibawa melayang,
Bunga pudak dalam padi;
Orang kasih saya tak sayang,
Baru sedar dalam hati.

Bunga tanjung dari utara,
Jatuh sekuntum melayang-layang;
Bagaimana hati tidak gila,
Tidur malam terbayang-bayang.

Bunga tanjung dari utara,
Dikarang bersama bunga kenanga;
Bagaimana hati tak gila,
Makan tidur rasa tak lena

Bunga tanjung di atas titi,
Ditiup angin ke barat daya;
Di mana tempat tuan menanti,
Boleh tuan ceritakan saya.

Bunga tanjung putih berseri,
Ambil dibubuh dalam puan;
Rumah saya tuan tak mahu pergi,
Boleh kita jumpa di jalan.

Bunga telur bertekat-tekat,
Mari dikarang berikat-ikat;
Adik duduk tersimpuh rapat,
Abang akan duduk dekat.

Bunga terhambur di dalam perigi,
Dari jauh nampak putih;
Rosak nasi kerana api,
Rosak hati kerana kasih.

Bungalah melur kembang setangkai,
Taruh mari di lipatan kain;
Jikalah benar adik memakai,
Janganlah adik ingat yang lain.

Bungkus kecil berisi kain,
Bawa dari Padang Seberang;
Kalau abang bercari lain,
Tumpang duduk bersama orang.

Bunyi guruh bandar Rani,
Selasih di dalam puan;
Saya nak nyuruh tidak berani,
Hati berani kepada tuan.

Bunyi kuang permatang tujuh,
Gesel sembilu di tengah jalan;
Dengar pesan abang jauh,
Bangun merindu tengah malam.

Burung balam terbang tinggi,
Dari Palembang terus ke Langkat;
Tidur malam termimpi-mimpi,
Duduk siang teringat-ingat.

Burung bintik disangka puyuh,
Puyuh hinggap di ranting saja;
Mimpi-mimpi disangka sungguh,
Buka selimut seorang sahaja.

Burung enggang burung kelengking,
Tarik lepas bawah jerami;
Kalau berderai air di tebing,
Barulah lepas malunya kami.

Burung haji terbang ke haji,
Tapak Sulaiman di bawah tangannya;
Jika adinda mengubah janji,
Melungsur iman dari badannya.

Burung helang terbang melayang,
Singgah mari di pohon rimbu;
Kuteringat kasih teringat sayang,
Setiap hari menanggung rindu.

Burung lekung berbunyi malam,
Bunyi di atas bumbung penghulu;
Allah belum menjadikan alam,
Suratan kita dah terjadi dahulu.

Burung jelatik makan padi,
Burung puyuh dalam jebak;
Wahailah adik Sita Dewi,
Pandaikah cik adik masak-memasak?

Burung merak burung di rimba,
Burung makan padi setangkai;
Belum layak rupanya dia,
Hendak mati bertindih bangkai.

Burung merbuk burung merpati,
Terbang berpusing hala bendang;
Wajah elok menawan hati,
Siang malam hamba terkenang.

Burung merbuk terbang ke tebing,
Hinggap ia di dahan manggis;
Kalau hendak menyarung cincin,
Sarungkanlah di jari manis.

Burung merpati beranak tunggal,
Mati dibela di kaki meja;
Ibu mati bapa tinggal,
Mana tempat tumpang bermanja?

Burung merpati bertelur tunggal,
Menetas anak turun ke paya;
Ibu mati bapa pun meninggal,
Di manalah tempat kami nak bermanja.

Burung merpati di Bukit Ngulang,
Anak merbuk sarang di luar;
Kuulang pagi kuulang petang,
Hingga buruk kaki seluar.

Burung merpati selindung awan,
Suka hinggap atas pintu;
Dalam hati sangat rawan,
Mulalah awak tunang aku.

Burung merpati terbang ke Perlis,
Singgah hinggap ranting buluh;
Sungguh jinak tangkap tak boleh,
Seperti lalat hinggap ke tubuh.

Burung merpati terbang melambung,
Mari hinggap di awan putih;
Buah hati pengarang jantung,
Tuan seorang penyudah kasih.

Burung merpati terbang sekawan,
Singgah hinggap di pohon sena;
Hati kita sudah tertawan,
Makan tak lalu tidur tak lena.

Burung merpati terbang sekawan,
Terbangmari ke awan biru;
Semenjak berkasih dengan tuan,
Siang malam menanggung rindu.

Burung merpati terbang sekawan,
Dekat dengan burung cenderawasih;
Belah hati gunung dan awan,
Mana sudah hilangnya kasih.

Burung merpati terbang seribu,
Mari berhenti di tengah halaman;
Abang nak mati di hujung kuku,
Hendak berkubur di tapak tangan.

Burung nuri burung tiung,
Mari hinggap di muka pintu;
Putus benang dapat disambung,
Putus hati siapa tahu.

Burung nuri ekornya panjang,
Hinggap mari rumah Cik Ali;
Sudah lama hidup membujang,
Hajat hendak beristeri.

Burung nuri hinggap di dahan,
Melihat undan di pokok cendana;
Pilu hati tidak tertahan,
Melihat tuan duduk merana.

Burung nuri terbang di awan,
Hinggap mari di kayu jati;
Hatinya rindu kepada kawan,
Rinduku jua separuh mati.

Burung perling mata merah,
Mari hinggap pohon kekabu;
Saya menjeling bukan marah,
Hati di dalam bagai digaru.

Burung pipit datang ke mari,
Tempat orang menanam pala;
Kening diangkat senyum diberi,
Bagaimana hati tak gila.

Burung pucung terbang melintang,
Sudah melintang membujur pula;
Cium hidung bayar hutang,
Cium pipi berhutang pula.

Burung punai terbang ke hulu,
Berkawan melayang ke kuala;
Tak dapat dikenang zaman dulu,
Bila dikenang hatiku gila.

Burung punai terbang melayang,
Turun ke sawah makan padi;
Sana kasih sini sayang,
Di mana tempat letak hati.

Burung pungguk burung dewata,
Hinggap mari di ranting mati;
Sungguhpun duduk jauh di mata,
Kasih tetap di dalam hati.

Burung putih hinggap di batu,
Burung merpati selindung awan;
Adik putih masuk beradu,
Di dalam hati sangat rawan.

Burung putih terbang malam,
Hinggap balai raja;
Kain putih atas tilam,
Buat pengesat air mata.

Burung putih terbang melayang,
Rasa nak tangguk rasa tidak;
Sudah boleh berkasih sayang,
Rasa nak masuk rasanya tidak.

Burung puyuh meniti di batang,
Batang manggis condong ke paya;
Kebaya labuh bersanggul lintang,
Senyum manis di pagi raya.

Burung serindit di dalam perahu,
Bunga bayam di dalam dulang;
Hati adik merasa rindu,
Kerana berjauhan dengan abang.

Burung serindit terbang melayang,
Singgah sebentar di pohon buluh;
Wahai mari adikku sayang,
Hatiku berasa haram tak luluh.

Burung serindit terbang melayang,
Turun ke tanah makan padi;
Duit ringgit saya tak sayang,
Asal berkenan di dalam hati.

Burung serindit terbang merindit,
Lalu singgah di dalam mengkuang;
Kalau rindu pesan kubalik,
Air mata jangan dibuang.

Burung serindit terbang melayang,
Mari hinggap di pohon jati;
Wahai adinda kekasihku sayang,
Kembali kasih si buah hati.

Burung serindit terbang melayang,
Jatuh ke tanah mencari padi;
Sepuluh ringgit abang tak sayang,
Asalkan setuju dengan hati.

Burung tekukur digulai lemak,
Daun selasih saya lurutkan;
Sudah lumpur bertambah semak,
Kerana kasih saya turutkan.

Burung tekukur gulai lemak,
Batang padi dibelah dua;
Biar saya dimarah emak,
Asal jadi kita berdua.

Burung tekukur terbang ke Jeddah,
Bubuk padang sehelai tak layu;
Sirih sekapur tanda penyudah,
Rokok sebatang bercerai lalu.

Burung tekukur terbang ke Tana,
Anak buaya di Tanjung Jati;
Orang tak tegur hamba tak tanya,
Begitulah susah di dalam hati.

Burung tekukur terbang melambut,
Mari hinggap di pokok ciku;
Hendak mati di hujung rambut,
Hendak berkubur di hujung kuku.

Burung tekukur terbang menuku,
Turun makan padi di laman;
Rasa nak mati di hujung kuku,
Hendak berkubur di tapak tangan.

Burung tekukur terbang seratus,
Hinggapnya mari di kayu jati;
Diukur serta dipirus,
Kandaku jangan berjauh hati.

Burung tiung terlompat-lompat,
Minum air dalam cerana;
Hendak cium tidak bertempat,
Ada tempat orang punya.

Buyong si amat Jutan,
Lelap tinggi hari;
Hari-hari gila sumpitan,
Tegal dek burung terbang tinggi.



Dipetik Dari Buku Kuri Kundi Merah Saga Terbitan Dewan Bahasa Dan Pustaka

15 Pandangan:

NURA Oktober 10, 2009  

salam sobat
wah bagus puisinya,,panjang lagi..
kasih, sayang dan cinta suatu kesatuan yang saling erat dan tak bisa dipisahkan,,,,
semua orang mendambakan semua itu,,,

jhonson blog Oktober 10, 2009  

wew puisinya bagus..penggunaan kata kata nya tepat :)

Abg Din Oktober 11, 2009  

seri karang sendiri ya? pandai susun kata-kata....suka abgdin membacanya...

pengumpul blog Oktober 11, 2009  

setiap perenggan mempunyai maksud tersendiri. karen baget ni. suksess seri...

terima kasih...

budi Oktober 11, 2009  

Berat nian perasaan hati yang buat puisi itu,......xixixi.........

pengumpul blog Oktober 12, 2009  

Dari sini hendak kesana,
ingin memetik si bunga tanjung,
Kalau cik seri cantik orangnya,
Jom....mari berkunjung.

hik....

blogku-007 Oktober 13, 2009  

Seri, aku mau bertanya nih..apa sich perbedaan puisi sama pantun?

Lembaga Pelatihan Oktober 14, 2009  

Pantun yang sangat bagus sekali... perlu waktu yang lama untuk memikirkannya..?

moenas Oktober 14, 2009  

mantabbbb nih puisinya kayanya pengen jadi master puisi ya ???? sukses dah mudah2an bisa menciptakan lagu kan lebih bagus tuhhh,,,

Upex Oktober 14, 2009  

Koq text link ku belum di ganti????
Tolong ganti "Upex Rock"
URL : http://upex.blogspot.com/
Makasih...

cahyadi Oktober 14, 2009  

pantun dari sobat selalu indah dan menawan...

widianto Oktober 14, 2009  

tutur bahasa yang santun menggambarkan budi yang tinggi

al-basri Oktober 14, 2009  

salam seri,
lama tak dengar pantun melayu ni, tak sangka ada blogger sehebat ini... hhe
sejujurnya tumpang bangga, walaupun saya bukan orang melayu. siapa lagi yang mahu memertabatkan budaya melayu kalau bukan orang melayu, tapi hati-hati. dunia melayu sekarang dah terganggu...

terima kasih seri

cah ndueso Oktober 15, 2009  

sungguh.....melayu selalu mendayu....

Free Tips Oktober 15, 2009  

Beli batik tulis di Indonesia
Makan nasi lemak di Malaysia
Salam persahabatan dari Indonesia
Buat Seri di Malaysia...

Teman Setia

This Blog Is Proudly Sponsored By SURF7 Template Modified By Seri Bahasa Proud To Be A Kinabatangan Blogger