Selamat Datang Diucapkan Kepada Semua Pengunjung Blog Ini Segala Komen Dan Saranan Teman Teman Amat Seri Hargai

Koleksi Pantun Empat Kerat ‘H’


Kategori Adat:

Hari Isnin kucing berlumba,
Orang Tambirat berkayuh;
Berani jamin berani bawa,
Di dalam surat mengata sungguh.

Hari mana mengayak abu,
Hari tuan mengayak pasir;
Bagaimana bercerai ibu,
Bagai roboh kota besar.

Hari redup mari menuba,
Dapat seekor ikan tapah;
Bukan hidup kerana doa,
Mati tidak kerana sumpah.

Hari ribut pergi ke pulau,
Sayang hati ditinggal orang;
Apa diribut kita bergurau,
Sudah mati tinggal seorang.

Hati-hati pinang muda,
Pinang muda makan pipit;
Sampai hati meninggal saudara,
Tidak mengenang barang sedikit.

Helang-helang kaki pelanduk,
Gulai daun dipatah dua;
Kamek sehelang dengan juak manuk,
Lama laun sudinya juga.

Hendak berembun pergi ke pulau,
Datang ke pulau pergi ke tanjung;
Lagilah hidup kita bergurau,
Sudahlah mati bergolek seorang.

Hendak berumah berumah pula,
Rumah saya di tengah huma;
Hendak bermaaf bermaaf pula,
Maaf seorang maaf semua.

Hendak dulang kuberi dulang,
Dulang berisi antah bertih;
Hendak pulang kuberi pulang,
Pulang beriring gajah putih.

Hendak majun diberi majun,
Majun ada di dalam jeruk;
Hendak pantun diberi pantun,
Pantun orang tua tidaklah elok.

Hendak majun kuberi majun,
Majun saya dalam kuali;
Hendak pantun diberi pantun,
Pantun saya tidak terbeli.

Hendak mangkuk kuberi mangkuk,
Hendak serunai kuberi serunai;
Hendak masuk kuberi masuk,
Aku bayar wang tunai.

Hendak mangkuk kuberi mangkuk,
Mangkuk berisi bunga pinang;
Hendak masuk kuberi masuk,
Hendak masuk belanja tunang.

Hendak menuju ke Pulau Deli,
Buah pauh di dalam guni;
Tenggelem kapal datang ke mari,
Adakah kenal orang di sini.

Hilang baju kerana tapak,
Hilang berjalan di pohon pauh;
Hilang malu kerana takut,
Melangsung adat hajat saudara jauh.

Hilang kapak di dalam padi,
Hilang dilamun para-para;
Hilang bapak boleh diganti,
Hilang ibu amat bicara.

Hujan lebat selalu bah,
Bunyi berdentum tali temali;
Hendak balik serba salah,
Baik kulangsung sama sekali.

Hujan ribut kita ke pulau,
Terendak Cina jatuh ke ruang;
Masa hidup kita bergurau,
Kalau mati tergolek seorang.

Hujan ribut kita ke pulau,
Anak kekati menebar wang;
Terlanjur hidup kita bergurau,
Sudah mati tergolek seorang.

Hujan turun bercurah-curah,
Ramai manusia lari berlindung;
Hidup saya sebatang karah,
Dalam hujan mencari untung.

Kategori Agama:

Hai berkayuh ke Sungai Panjang,
Di sana urusan berhari-hari;
Minta doa umur panjang,
Kalau berjumpa terkenang lagi.

Halia ini halia tanaman,
Tempat hiris bintang berlenguh;
Dunia ini dunia pinjaman,
Akhirat juga tempat yang sungguh.

Halia ini tanam-tanaman,
Di darat jua tumbuhnya;
Dunia ini pinjam-pinjaman,
Akhirat jua akan sungguhnya.

Halia ini tanam-tanaman,
Ke barat juga akan condongnya;
Dunia ini pinjam-pinjaman,
Akhirat juga akan sudahnya.

Hari ini hari Ahad,
Besok hari Isnin;
Mudah-mudahan nabi mengaku umat,
Barulah masuk kaum muslimin.

Hari ini hari Arba,
Besok hari Khamis;
Segala ingat segala qada,
Malaikat Katibin sedia menulis.

Hari ini hari Isnin,
Besok hari Selasa;
Jika masuk kaum muslimin,
Mudah-mudahan terlepas seksa.

Hari ini hari Jumaat,
Besok hari Sabtu;
Jika nak kenal Nabi Muhammad,
Pergilah sembahyang lima waktu.

Hari ini hari Sabtu,
Besok hari Ahad;
Pergi sembahyang lima waktu,
Baharu nabi mengaku umat.

Hari ini hari Selasa,
Hari besok hari Arba;
Mudah-mudahan terlepas seksa,
Segeralah membayar segala qada.

Hendak berjalan jambatan panjang,
Orang bertukang jambatan roboh;
Adik berdoa umur panjang,
Selagi hayat kita berjodoh.

Kategori Budi:

Hanyut kayu dari bukit,
Dari gunung berkati-kati;
Segunung budi bukan sedikit,
Tidak tertanggung sampai ke mati.

Hari Ahad pergi ke panggung,
Melihat cerita Seri Andalas;
Hati rindu tidak tertanggung,
Budi tuan tidak terbalas.

Hari petang nampaknya teduh,
Orang berjalan sebelah kiri;
Pokok ditanam kalau tumbuh,
Harapkan buah balasan budi.

Hari redup berjalan di kota,
Alamat hujan malam hari;
Kalau hidup tak punya harta,
Biarlah mati tinggalkan budi.

Hari redup menyemai padi,
Wak Dolah menanam jagung;
Kalau hidup tidak berbudi,
Duduk salah berdiri canggung.

Hendak berbuah buahlah buluh,
Kaki dulang kuparas juga;
Hendak bertuah bertuahlah tubuh,
Budi orang kubalas juga.

Hilir Daik menyongsong Daik,
Tanam terombong di bawah batang;
Kalau abang budi baik,
Tidak diseru saya datang.

Kategori Jenaka:

Hendak mandi telaga mana,
Telaga darat Padang Kemunting;
Hendak berbini si muda mana?
Mulut birat betisnya bunting.

Hilang tin gunung ditumpal,
Nampak dari Gunung Jematu;
Pinggang ramping badannya tebal,
Pandai juga membuat laku.

Hilir derap mudik derap,
Singgah pangkalan gaharu;
Bini kurap laki pun kurap,
Boleh lawan bergaru-garu.

Hilir perahu dari seberang,
Dengar suara ayam berkokok;
Kalau dah tahu harimau garang,
Pasang jerat di pangkal pokok.

Hujan renyai-renyai,
Pacat naik kaki;
Orang bujang ramai-ramai,
Pakat cari laki.

Hutan serumpun luar kota,
Mari tebas kanan kiri;
Helang tak rabun musang tak buta,
Biring jangan bebaskan diri.

Kategori Kiasan/Sindiran:

Habis bayam disusur babi,
Banyak mati terkena damak;
Ayam jangan bebaskan diri,
Biawak tunggu di tepi semak.

Haluan sarat banyak muatan,
Nampak cahaya batu karang;
Tuan ibarat permata intan,
Di mana tercampak di situ terang.

Hanyut pandan tiga kelopak,
Satu kelopak dipancing rokan;
Malam ini sudahlah kunampak,
Intan kugenggam menjadi sekam.

Hanyut rakit batu tenggelam,
Minyak ada berbuli-buli;
Matahari sakit bulan demam,
Itulah tanda dunia tak suci.

Harap kami belayar ke Sadong,
Kedondong sudah dibawa pulang;
Harap kami hendak bergantung,
Junjung sudah dilayarkan orang.

Hendak mandi paip berkunci,
Turun ke sungai air pun masin;
Satu intan satu baiduri,
Di mana boleh dipakai cincin?

Hendak memakan buah cermai,
Makan bersama jambu susu;
Puas ombak melanda pantai,
Mengapa pantai tak ambil tahu?

Hijau dada burung serindit,
Kuberi makan jambu mawar;
Walau setahun hujan di langit,
Air di laut haram tak tawar.

Hijau-hijau si bulu serindit,
Makan mari jambu mawar;
Berapa tahun hujan di langit,
Air di laut tidaklah tawar.

Hisap rokok dalam kelambu,
Terbit asap menjadi abu;
Saya umpama golok kayu,
Tetak tak lut gadai pun tak laku.

Hujan lebat di tanah Jambi,
Naik ke darat bertanam getah;
Sangat hairan di hati kami,
Hujan lebat haram tak basah.

Hujan rintik cahaya redup,
Batang kelici dalam perahu;
Cantik-cantik pun kain dicelup,
Sudah cuci baru tahu.

Hujan turun di rimba belukar,
Anak itik dikepung nyonya;
Bertahun-tahun gunung terbakar,
Embun setitik jadi pemadamnya.

Hutan di hulu banyaknya rebung,
Potong-potong taruh di karung;
Kalau tak mahu galah disambung,
Buah masak dimakan burung.

Kategori Nasihat:

Hanyut bersepah tempurung,
Basahlah tangan tersiram santan;
Ingat-ingat ayam berkurung,
Helang bermain di tengah halaman.

Hanyut rakit dadan apia,
Dampar di pantai dimakan buaya;
Makansedikit tidak mengapa,
Asalkan boleh membawa gaya.

Hari ini hari Ahad,
Esok hari Isnin;
Kalau kerja tidak muafakat,
Kerja kita itu main-main.

Hari ini hari Isnin,
Besok hari Selasa;
Kalau kerja main-main,
Segala dibuat tidak merasa.

Hari redup membuat gambar,
Gambar dibuat dengan cermat;
Hidup kita mahu sabar,
Baru kita dapat selamat.

Helang laut helang jambangan,
Helang di darat mematuk padi;
Kalau diikut mata timbangan,
Sama berat baru menjadi.

Hendak ke huma boleh ke huma,
Jangan dipijak si anak padi;
Hendak tanya bolehlah tanya,
Tanyalah jangan menyakitkan hati.

Hendak ke pulau ke pulau saja,
Ke pulau jangan berdagang ubi;
Hendak bergurau bergurau saja,
Gurau jangan mengambil hati.

Hendak memagar memagar bangat,
Tumpang padi jerami tinggi;
Hendak berkhabar khabarlah bangat,
Tumpang kami ada di sini.

Hendaklah baik memilih pandan,
Di dalam pandan ada duri;
Hendaklah baik membela badan,
Di dalam badan ada diri.

Hilir rakit bawa berenang,
Hanyut dari tanah seberang;
Bagaimana penyakit mahu hilang,
Sakit ditanggung makan tak pantang.

Hiris rojak hantar ke surau,
Hendak menjemput datuk penghulu;
Gadis bijak orang tak hirau,
Ilmu di dapur laksana dulu.

Hujan lebat di Gunung Api,
Bakar udang di tengah reba;
Saya tak larang tuan berlaki,
Kasih sayang jangan dilupa.

Hujan ribut saya tak basah,
Bukit Tenging bercabang tiga;
Makan minum bujang tak susah,
Sakit pening siapa nak jaga.

Hujan rintik-rintik,
Mari berteduh di pokok sena;
Jangan dipandang orang yang cantik,
Orang yang miskin jangan dihina.

Hujung Batu jauh di kota,
Ke Bohor Temak membeli kopi;
Benda tak tentu jangan dikata,
Benda tak gamak selalu jadi.

Kategori Pahlawan:

Hisap rokok di atas batu,
Keluar di hidung asap apinya;
Jalak berkokok biring tak tahu,
Tedung pula jaga dirinya.

Kategori Peribahasa:

Hari panas mencucuk benang,
Benang menjahit baju kebaya;
Air jernih lubuknya tenang,
Jangan disangka tiada buaya.

Hari raya sembahyang raya,
Raja berangkat dari istana;
Dari daya dan upaya,
Tiada rotan akar berguna.

Hari-hari mengetah tekukur,
Tekukur banyak di pinggir desa;
Kukur apa pada kukur,
Nyiur jugalah yang akan binasa.

Helang pungguk helang berikan,
Tidur siang berjaga malam;
Sungguh unjuk tidak berikan,
Pepat di luar rencong di dalam.

Helang pungguk helang perikan,
Tidur siang jaga malam;
Jari telunjuk diberikan,
Pepat di luar rencong di dalam.

Hempas-hempas jambat pulih,
Ikat gagak dimakan api;
Hitam lepas putih tak boleh,
Buang tangga berhayun kaki.

Hormat dulu diri sendiri,
Itulah tanda orang yang mulia;
Jangan dikejar gunung yang berlari,
Hilang kabus nampaklah dia.



Dipetik Dari Buku Kurik Kundi Merah Saga Terbitan Dewan Bahasa Dan Pustaka

6 Pandangan:

sibutiz Disember 05, 2010  

saya suka ni pantun...
thx...

Atif Hafiz Disember 05, 2010  

untuk pantun kategori nasihat tu kumpul lg...sy suka yang tu..

alienelliz Disember 06, 2010  

wah..banyak yang saya belum pernah dengar..thanks sharing..=)

Tanpa Nama,  Disember 06, 2010  

Thanks for some quality points there. I am kind of new to online , so I printed this off to put in my file, any better way to go about keeping track of it then printing?

faizura rahman Disember 07, 2010  

wah menarik menarik!! hehe

Tanpa Nama,  Disember 09, 2010  

Do you people have a facebook fan page? I looked for one on twitter but could not discover one, I would really like to become a fan!

Teman Setia

This Blog Is Proudly Sponsored By SURF7 Template Modified By Seri Bahasa Proud To Be A Kinabatangan Blogger